SEARCH

Seksi! Raw & In-Real-Life Jadi Kempen Baharu Calvin Klein!

Seksi! Raw & In-Real-Life Jadi Kempen Baharu Calvin Klein!

Seksi yang ditatap sangat sempurna pada mata telanjang sudah tidak relevan dengan keadaan sezaman. Basic. Terlalu biasa dan mudah ditelah. Masa kini, perihal seksi itu berbeza. Tak lagi terbelenggu oleh fahaman lama. Medan fesyen sekarang sedaya upaya mahu mengubah persepsi dan perspektif, masakan ia mahu terkebelakang, kan?

Masih ingat bagaimana kempen fesyen Calvin Klein yang broke the internet awal tahun ini, menampilkan Shawn Mendes dan Noah Centineo? Musim ini, Calvin Klein sekali lagi bersungguh-sungguh memperkenalkan kempen fesyen #MYCALVINS – yakni #MYCALVINS IRL, yang menampilkan sekumpulan wajah baharu yang datangnya dari latar belakang berbeza. Pendek kata, menerbitkan kepelbagaian!

Naomi Campbell, disertai Bella Hadid, bersama pemain ragbi Amerika, Odell Beckham Jr., pelakon Euphoria, Jacob Elordi, penyanyi Beth Ditto dan Diplo. Berbalik kepada perenggan awal di atas, sungguhpun kempen baharu Calvin Klein ini membariskan wajah-wajah model seperti Naomi, Bella juga sosok-sosok lelaki yang punya perawakan tegap, namun ia tidak mengabaikan figura plus-sized seperti Beth Ditto yang termasuk dalam intepretasi seksi masa kini.

Pendekatan kempen fesyen #MYCALVINS IRL ini mengajak audiens untuk membuat interpretasi baharu tentang apa yang mereka tahu atau faham pabila memerihalkan seksi. Soalan seperti “How do you sexy? Perfectly filtered or IRL raw?” tercetus, meninggalkan satu pertanyaan kepada audiens untuk mengerti darjah keseksian. Adakah seksi itu palsu yang disunting ataupun seksi itu semulajadi yang tak bertapis? Ia semua bersangkut paut dengan bercakap benar atau “speaking truth in my Calvins” – gerakan yang diperjuangkan oleh Calvin Klein.

Menurut Calvin Klein, #MYCLAVINS IRL menaruh sudut pandangan luar biasa fasal seksi yang mendorong ekspresi diri dan menegaskan idea bahawa seksi itu hanyalah satu perasaan sahaja. Fotografer Daniel Jackson memerangkap imej kempen fesyen yang mempamerkan ketidaksamaan antara seksi pada gagasan umum dengan persona peribadi. Imej hitam putih dan berwarna diletakkan sebelah-menyebelah, di mana imej hitam putih menggambarkan apa orang umum lihat dan imej berwarna dengan efek penyegerakan kilau mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir.

calvin klein #mycalvins jacob elordi kempen irl seksi

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE