Posted on September 20, 2023
Coach memperkenalkan kempen baharu, “Wear Your Shine” yang menampilkan Dove Cameron, Lil Buck, Youngji Lee dan Yanfei Song!
Tidak ada apa yang mustahil seandainya berani candang untuk mengekspresikan diri melalui mengolah cara penggayaan. Yang bersemi menjadi pemerkasaan diri dan mengubur terus rasa ragu yang terbit dalam jiwa. Aspek ini dicedok oleh Coach, memberi saranan kepada kita agar tidak menjejaskan keyakinan dan percaya pada ‘kirana’ yang ada dalam setiap individu. Mengambil tema “Wear Your Shine”, Coach merencanakan lembaran baharu, untuk tidak menunda matlamat Courage To Be Real – yakni kempen fesyen Coach yang bertumpu kepada mesej-mesej positif seperti tidak menyempadani diri dan buang rasa ragu itu!
Kempen fesyen “Wear Your Shine” daripada Coach – yang membariskan Dove Cameron, Lil Buck, Youngji Lee dan Yanfei Song – mempersembahkan rangkaian beg, aksesori serta pakaian sedia pakai (daripada rangkaian Coach Shine) yang ronanya berkilau dan metalik. Mereka masing-masing dalam selengkap pakaian dan aksesori berkilau atau metalik, yang menyempurnakan objektif Coach. Dan pemilihan wajah-wajah ini pula berteraskan sifat mereka yang tidak dapat dialahkan serta tidak mengenal erti sangsi.
Lantas, ia digambarkan menerusi mood kempen fesyen ini yang diarahkan oleh Lope Serrano dan foto-fotonya pula ditangkap oleh Joshua Woods. Manakala koreografi dicipta oleh Emma Portner yang mengolah gerak tari bak berlaga untuk memerihalkan karakter-karakter yang bersedia untuk step out and shine.
Sederap melangkah dengan pandangan Stuart Vevers untuk himpunan Coach musim ini yang menginspirasikan attitude generasi masa kini yang menggalakkan self-expression. “Kami bermain dengan youthful proportions, rona dan kebaharuan yang merangsang naluri mengharapkan sesuatu kemungkinan. ‘Wear Your Shine’ menghidupkan semangat pada koleksi ini,” jelas Vevers. Tambah Vevers lagi, kempen ini dijayakan berdasarkan pemerhatian mereka terhadap konsumer-konsumer Gen Z, yang sehaluan dengan aspek “expressing themselves”. Matlamat Coach untuk bukan sahaja merangkaikan hubungan dengan konsumer-konsumer menerusi perihal yang cuba disampaikan daripada kempen-kempen atau produk, bahkan menjadikan jenama ini sebagai satu platform bebas untuk tidak menggentarkan hati mereka dalam mengekspresikan diri.
Apa pandangan anda?