Posted on September 7, 2020
Kehadirannya tidak mahu dirasakan seperti satu ‘kerugian’. Cate Blanchett bertamu ke Venice Film Festival, melewati karpet merah dengan berbekalkan sebakul mesej serta perjuangan. Dia memasang hasrat yang sama dengan apa yang pernah dilakukan oleh selebriti-selebriti lain sebelum ini – yakni menggayakan penampilan formal karpet merah seperti dress, gaun mahupun sut yang didasari mesej sustainable atau dilelong untuk tujuan amal jariah. Joaquin Phoenix pernah mengusulkan idea yang sama, begitu juga Saoirse Ronan.
Kini, azam ini mengekar pula dalam dada Cate Blanchett. Dia ke Venice Film Festival dengan memakai rekaan-rekaan atau baju-baju yang pernah dia pakai sewaktu ke acara-acara dahulu!
Cate hadir sebagai presiden juri di Venice Film Festival dengan melaung aspek ‘rewear’. Dia tidak segan memperkenalkan aspek rewear pakaian atau dress ke acara terpenting sebegini atas dasar advokasi yang mahu diketengahkan. Di acara pembuka tersebut, Cate ‘mengulang tayang’ dress rekaan Esteban Cortazar yang pernah dia sarung ketika ke BFI Film festival pada 2015. Dress yang menampilkan kemasan binding putih pada lengan serta panel skirt ini dipakai untuk pupuk semangat sustainability.
Bukan atas sebab sustainability sahaja, Cate bersama-sama Esteban sendiri malah berhasrat untuk melelong dress rewear ini dan kutipan itu akan didermakan kepada persatuan UN Women juga Facing History.
Cate tidak hanya sekadar bahu-membahu dengan pereka fesyen dressnya, dia juga mengajak sekali penata gaya peribadinya yakni Elizabeth Stewart untuk turut serta dalam perjuangan ini. Bak kata Elizabeth tentang aspek atau konsep rewear, “It’s chic to repeat!” bagi menegaskan bahawa tidak larangan atau kepantangan dalam ‘mengulang tayang’ semula pakaian yang pernah dipakai sebelum ini. Apalagi matlamatnya untuk tujuan-tujuan baik.
Selain dress Esteban Cortozar, untuk gaya keduanya, Cate memakai semula top yang sarat butiran floral berona merah hitam. Top ini pernah terlihat digayakan oleh Cate sewaktu dia menghadiri anugerah BAFTA empat tahun \ lalu. Asalnya, top ini dimadukan bersama skirt labuh yang menudungi lantai. Tetapi di Venice Film Festival, top rekaan Alexander McQueen ini dipadankan bersama seluar slek labuh berona hitam pula. Sama seperti apa yang Cate dan Esteban mahu lakukan dengan dress BFI Film Festvial, Cate dengan Sarah Burton (daripada Alexander McQueen) juga mendermakan dress ini kepada badan kebajikan yang sama.
https://www.instagram.com/p/CEr84njMRMb/
Apa pandangan anda?