Posted on March 18, 2021
Mungkin soalan yang berputar ligat dalam kotak fikir : apakah Coach Forever? Sewaktu Coach menampilkan himpunan musim bunga panas 2021, nama Coach Forever (musim pertama) diperkenalkan sekali. Umpama utusan, Coach menggunakan platform Coach Forever untuk membelah sifat konformis, apalagi pada masa sekarang yang sepertikan ‘bertemu muka’ dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dahulu.
Coach mahu bergerak senada dengan permintaan dunia sekarang. Ia memikul tugas untuk merawat alam – berkaitan dengan kelestarian fesyen – dan mengentalkan semangat komuniti menerusi kraf serta rekaan-rekaannya.
Bancuhan idea Coach dan Coach Forever untuk mengharmonikan serta mencungkil harapan baharu menggunung tinggi. Coach Forever membawa maksud : yang lampau, masa kini dan masa hadapan. Berpegang teguh pada prinsip “Crafted to last, it features new, vintage and archival styles”, ada tiga perkara yang menjadi keutamaan Coach Forever. Yakni kraf yang ditampilkan mengangkat nilai atau mutu buatan yang tidak ada batasnya. Ibarat memiliki ciri-ciri durability yang tidak berkesudahan. Misalannya, rekaan beg musim bunga panas 2021 biarpun lama dimiliki sehinggalah ke masa hadapan, sifat usangnya bisa dibarui.
Satu lagi fokus Coach Forever adalah membawa suatu penceritaan yang berkaitan dengan legasi. Ia menerapkan aspek perolehan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Misalannya, item Coach musim bunga panas 2021 yang kini tidak ‘terputus’ di tengah jalan. Sebaliknya ia diserahkan kepada generasi seterusnya – kepada anak-anak atau cucu-cucu, biarlah ia berpanjang-panjangan. Perkara ketiga Coach Forever adalah meminjam atau menyalin gaya-gaya vintaj untuk diserasikan dengan semasa. Hal ini pula berkaitan dengan penerokaan idea gaya atau stail musim bunga panas 2021 Coach yang dipengaruhi oleh sifat-sifat vintaj. Coach memilih olahan gaya vintaj sebegitu atas sebab ia dikira “tak lapuk dek zaman”.
Lebih daripada sekadar rekaan fesyen. Pengarah Kreatif Coach, Stuart Vevers memiliki pandangan yang lebih luas ketika memunculkan rekaan-rekaan musim bunga panas 2021. Vevers menyisipkan sekali kesedaran dan tanggungjawab tinggi dalam proses rekaannya kali ini. Dia mahu melihat himpunan musim bunga panas 2021 ini dari segala sudut dan segala sudut yang dia terokai itu dikaitkan dengan kebaikan atau kepositifan. Coach Forever membenarkan Vevers mengambil kesempatan untuk tidak gentar mencuba sesuatu yang baharu.
“It was important to me to challenge how we create our collections, and consider their impact on our communities and the planet. I’m excited to keep exploring that through designing and learning.”
Coach Forever musim bunga panas 2021 memperkenalkan himpunan beg yang direka dengan menggunakan material yang dihasilkan dengan metode penyamakan semula jadi (vegetable-tanned) dan juga bahan-bahan kitar semula. Menyentuh bab kitar semula, koleksi ini memfokus pada kecermatan menjaga alam – mengelakkan pembaziran. Seperti menggunakan fabrik-fabrik yang diperbuat daripada botol plastik yang dikitar semula dan baki-baki fabrik (atau material) yang dipotong daripada bahagian kemasan beg – contohnya bahagian binding atau piping. Semuanya dikutip, kemudiannya dijadikan perhiasan atau tekstur pada permukaan beg dan pakaian sedia pakai.
SULAMAN : BUTIRAN UTAMA COACH FOREVER
Teknik sulam-menyulam diangkat sebagai ciri-ciri utama Coach Forever musim bunga panas 2021. Jika diteliti rekaannya, hampir setiap daripadanya menampilkan butiran sulaman – bermotifkan organik, tulisan (pernyataan semangat), initial nama pemilik dan seumpamanya. Stuart Vevers menyelit idea sulaman itu bertujuan untuk membangunkan semangat komuniti serta kraf.
Bagi menyambung unsur sulaman yang menyatukan komuniti dan kraf, Coach membawa aspek tersebut ke sini. Ke Malaysia!
Coach memperkenalkan servis menyulam secara eksklusif di butiknya – di Pavilion Elite di Kuala Lumpur dan Gurney Plaza di Penang – dan bekerjasama dengan penyulam-penyulam lokal, bagi menghasilkan embroidery customization. Dihasilkan secara ‘buatan tangan’, Coach Forever menawarkan servis sulaman eksklusif yang bisa dilakukan atau diolah pada beg dan pakaian sedia pakai musim bunga panas 2021. Dari segi kraf pula, pencinta-pencinta Coach boleh memilih motif-motif atau susunan kata (pernyataan) tertentu dan akan disulam khas oleh penyulam-penyulam yang bertugas di Craftsmanship Bar.
Penyulam-penyulam lokal ini ditempatkan di butik Coach Pavilion Elite bermula pada 16 Mac 2021 sehingga 23 Mac 2021 dan di butik Coach Gurney Plaza pula pada 19 Mac 2021 sehingga 23 Mac 2021. Namun, servis sulaman eksklusif ini akan diteruskan sehingga 11 April 2021 nanti.
Apa pandangan anda?