Posted on December 31, 2020
Sebakul pengalaman bermukim di rantau orang yang dijinjing, mencungkil sedikit keupayaannya mengenal budaya Amerika. Stuart Vevers umpama mengerti benar bahawa New York adalah tempat manjanya Keith Haring berkarya – tahu yang pada era 80an, Haring disinonimkan dengan arena seni pusat kota New York.
Barangkali Vevers menyebak halaman jurnal Haring, mengamati aliran populisme dalam seni Haring dan menyelongkar idea “The public has a right to art” yang tekal menjadi pendiriannya. Selam rencana perjalanan seni Haring yang menelusuri laluan bawah tanah New York dan sering dipengaruhi oleh grafiti serta poster-poster iklan. Bagi Vevers, apa yang Haring lakukan melambangkan jati diri seorang New Yorker.
Sebagai anak dagang, sekurang-kurangnya itulah yang diketahui Vevers dalam memahami budaya Amerika. Dalam mengutuhkan lagi pemahamannya tentang semangat Amerika, Vevers mengutip karya seni Haring yakni ‘Mickey Mouse’. Kerana berdasar pada pandangan Vevers, Coach + Keith Haring + Mickey Mouse adalah tiga ikon signifikan Amerika!
Lalu, Vevers memperkenalkan himpunan terbaru Coach – Disney Mickey Mouse X Keith Haring – yang menerokai pengaruh budaya pop Haring. Himpunan ini membariskan sekali kerja seni Haring, ‘Andy Mouse’ yang bukan hanya merai seni pop, namun juga menandakan diri Haring seorang pengagum Andy Warhol.
Semarak kerja seni Haring terlihat nyata pada setiap rekaan Vevers untuk Coach Disney Mickey Mouse X Keith Haring. Vevers ‘menconteng’ kerja seni doodle Haring sebagai motif sarat pada jaket berpad, pada badan baju, lining jaket berhud, bandana sutera serta menghiasi aksesori-aksesori seperti beg silang, tote dan beg gelang tangan. Vevers malah membentukkan kepala ikonik Mickey Mouse pada rekaan coin case dan telinga bulat Mickey Mouse sebagai butiran tambahan beg Kisslock.
Vevers menganggap pemilihan Mickey Mouse dan Keith Haring mampu memperhebat rekaan serta memperluas makna. Asosiasi Mickey Mouse dan Keith Haring padan dengan matlamat Coach – pertembungan budaya yang pada mata kasar nampak hampir mustahil, namun bisa mencemerlangkan sesuatu rekaan. “I love Disney and I love Keith Haring, so this collaboration makes for my ultimate treat,” kata Vevers. Tambahan lagi, Vevers melihat kerja seni Mickey Mouse oleh Haring mendahului zamannya dan dirasakan relevan dengan semasa.
Bersempena merai kedatangan himpunan Coach Disney Mickey Mouse X Keith Haring, instalasi pop-up dibina di tengah-tengah Pavilion Kuala Lumpur kepada umum sehingga 10 Januari 2021!
Apa pandangan anda?