SEARCH

Trend Couture Spring Summer 2019 Yang Dijangka Ditiru (Atau Inspirasi?) Oleh Pereka Lokal

Trend Couture Spring Summer 2019 Yang Dijangka Ditiru (Atau Inspirasi?) Oleh Pereka Lokal

Bulan Januari padat dengan kalendar sosial fesyen. Minggu fesyen lelaki musim luruh dingin 2019, kemudiannya minggu couture musim bunga panas 2019 lagi. Bagai berpestalah dunia fesyen, tak berkesudahan. Satu persatu trend terlihat – dan sekarang, tiba waktu trend couture pula menjadi buah tutur.

Banyak agenda couture musim bunga panas 2019 yang menjadi ribuan bicara orang. Selain sosok Celine Dion riuh berfesyen di media sosial mengitari kota Paris ditemani teman lelaki barunya dan tema penjelajahan bawah laut sebagai inspirasi kebanyakan rumah fesyen, tumpuan turut diberikan kepada Olivier Rousteing yang mempersembahkan himpunan debut couture-nya untuk Balmain. Olivier berjaya membuktikan dirinya tidak kecut hati bermain dengan bentuk, cenderung kepada sesuatu yang keterlaluan dan berlebih-lebih.

Taburan pujian buat Givenchy dan Valentino kerana tidak gagal menampilkan rekaan-rekaan couture yang menakjubkan! Clare Waight Keller di Givenchy dan Pierpaolo Piccioli di Valentino berjaya membuktikan kebijaksanaan juga inovasi masing-masing dalam mencorakkan couture. Mereka mengkhayalkan kita semula pada aspek-aspek yang kita rindu fasal couture – berkiblatkan aspek-aspek dramatik, poetic, kontemporari yang radikal dan masih menyanjung keanggunan dalam rekaan.

Merenung kembali kesemua trend couture musim bunga panas 2019 ini, terus menerbitkan satu tanggapan. Bukan satu tanggapan bagus, kerana ia sedikit bercampur dengan sesuatu yang… well, agak negatif. Rasa-rasanya adaah pereka lokal kita akan meniru atau merujuk sebulat-bulatnya trend couture musim bunga panas 2019 ini nanti?

Secara peribadi, saya kurang gemar dengan perkataan ‘meniru’ ditukarkan kepada ‘inspirasi’. Kononnya mengubah perspektif orang fasal ‘meniru’. Ia bukan ‘inspirasi’ seandainya apa yang dikutip itu terang-terangan atau begitu ketara! Hal ini menggamit ingatan saya pada zaman ketika belajar seni reka fesyen di universiti dahulu. Waktu itu, profesor saya menegaskan kami untuk mencetak satu imej inspirasi, gunting atau koyakkan ia dan lakukan teknik kolaj seperti tampalan kertas ke atas croquis.

Mula-mula kelihatan merepek, namun lama-kelamaan barulah faham mengapa kami diminta untuk berbuat demikian. Tujuannya adalah untuk mencari bentuk atau siluet baharu – daripada imej dua dimensi teknik kolaj tersebut, ia bisa mencetus jutaan idea yang takkan sama dengan rekaan-rekaan lain. Itu adalah salah satu cara untuk mencari originality dalam rekaan.

Terfikir juga, adakah pereka lokal masa kini menggunakan cara yang sama? Hmm… Berbalik kepada trend couture musim bunga panas 2019, nak bertaruh atau tidak, ada kemungkinan trend-trend ini akan ditiru (okay, okay, inspirasi) oleh pereka-pereka lokal? Tunggu sahaja Kuala Lumpur Fashion Week tahun ini!

BIG BOW

Simpulan dasi dalam skala besar yang menghiasi back bodice. Mencetus kegilaan pereka-pereka lokal, kerana melihat ia sebagai showstopper di pertunjukan fesyen nanti?

SARUNG TANGAN LATEX

Menggabungkan sarung tangan latex yang menudungi jari-jemari dengan dress bersifat feminin. Pasti membuahkan inspirasi!

ROPOL-ROPOL DRAMATIK

Oh, rata-rata trend couture musim bunga panas 2019 banyak mengutip siluet atau butiran ini – ropol-ropol dramatik. Tidak mengejutkan, sudah tentu, Giambatista Valli antara yang mempersembahkannya. Dan tidak mengejutkan juga bahawa ia bakal mencorakkan idea buat pereka-pereka lokal.

PERINCIAN LEHER

Elie Saab antara pereka yang kerap kali ditiru oleh… oh, maaf, ‘dijadikan inspirasi’ oleh pereka lokal. Melihat perincian ropol unik bak kuntuman bunga pada leher ini, tidak hairan satu hari nanti ia akan menjadi ikutan.

MGC’S EFFECT

We call it MGC’s effect, as in Maria Grazia Chiuri’s effect. Butiran lisu penuh sehingga mencorakkan ikatan dasi di bahagian belakang, efek lisu tulle pada lengan, swimming cap berkilau dan apa sahaja berkaitan dengan Dior, diterjemahkan sebagai “inspirasi”.

trend couture spring summer 2019 pereka lokal dior

OLIVIER’S TREND

Oleh kerana Balmain menjadi buah tutur di minggu fesyen couture musim bunga panas 2019, ia pasti menjadi ‘buah inspirasi’ pereka lokal. Lagi-lagilah apabila Olivier Rousteing mengembalikan volum 80an penuh dramatik di atas pentas – termasuklah bentuk kokun yang ada efek berat ini – dan that dramatic-pleats-covering-bodice-look, barangkali akan terlihat di minggu fesyen Kuala Lumpur tahun ini?

TIPOGRAFI KELAKAR

Jika sebelum-sebelum ini motif tipografi nama jenama Alexander Wang menjadi ikutan, percayalah, tiba giliran motif tipografi kelakar atau berbentuk sindiran daripada Viktor & Rolf pula! Malah menyatukan aspek kelucuan sebegini pada rekaan-rekaan berupa feminin juga akan membuatkan pereka-pereka lokal memikirkan idea yang sama.

LENGAN BESAR DRAMATIK

Mungkin tujuannya nanti adalah mahu mencipta siluet baharu? Terima kasih kepada Iris Van Herpen, kerana ‘mencadagkan’ ia.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE