Posted on March 9, 2021
Critic’s Choice Awards 2021 yang berlangsung semalam adalah ‘lapangan’ terbaik untuk melihat atau menyaksikan definisi the new glamor. Ya, betul, sejamaknya ramai undangan yang hadir secara maya mendandani ciri cantik dalam sepersalinan dress atau gaun glamor, namun tidak kurang juga yang menongkah arus – membawa perubahan dari aspek penggayaan ke acara anugerah formal.
Emma Corrin dalam Schiaparelli
Ada beberapa gaya atau penampilan yang kami suka, kerana melambangkan kebaharuan dan kemodenan. Daripada Emma Corrin, ke Gillian Anderson sehinggalah ke gaya Andra Day… mereka semuanya tersenarai dalam #STAILavvv kali ini!
Pada kesempatan hampir segenap dunia cuba untuk mengaramkan gundah setelah menonton temu bual Meghan Markle dan Putera Harry bersama Oprah Winfrey semalam, mungkin seeloknya berpaling haluan ke Critic’s Choice Awards sebentar. Paling tidak pun, cukuplah sekadar menyejukkan mata dengan melihat gerombolan orang berpakaian cantik dan berhias diri. Kan?
Selepas seminggu Golden Globes usai, Critic’s Choice Awards menyusul – mind you, bulan ini adalah musim anugerah. Jadi bersedialah dengan ‘hidangan’ pakaian-pakaian cantik karpet merah secara maya. Seperti yang dijangka, sudah tentu ramai yang mengambil peluang beraksi secara maya serta dari rumah ini sebagai satu ‘medium’ untuk bergaya sakan. Menayangkan persiapan dan tidak beralah tunjuk fesyen atau gaya masing-masing, yang mampu memerangkap perhatian orang.
Gillian Anderson dalam Dior
Benar juga. Kerana sedunia rasa ketinggalan dan deprivasi hampir selama setahun, masakan orang tidak mahu bersiap cantik. Sungguhpun di rumah sahaja. Perkara yang sama juga dengan selebriti-selebriti di Critic’s Choice Awards. Ada sebilangan orang membuat tanggapan, “Nah, mungkin mereka bersiap ala kadar sahaja.” Namun, sangkaan itu tidak tepat sekali. Selebriti-selebriti ini sakan bergaya, atas bawah, walaupun hanyalah muncul secara visual sahaja.
Antara gaya yang paling kami suka adalah Emma Corrin, yang kami ramal akan menjadi ikon fesyen suatu hari nanti. Corrin muncul dengan memakai dress haute couture surreal Schiaparelli rekaan Daniel Roseberry, yang seakan-akan berleher decollete berganduh dengan cut-out dan dihiasi sulaman manik. Seorang lagi adalah Julia Garner yang menyarung dress ribbed berciri melekap tubuh, dengan corak jaluran warna-warni yang direka oleh Christopher John Rogers. Sangat ringkas. No glitz, nothing. Tetapi, kami sangat suka dengan penampilannya.
Pemenang pelakon pembantu terbaik untuk siri The Crown, Gillian Anderson dan pelakon siri Schitt’s Creek, Catherine O’Hara juga antara yang mencuri perhatian. Mereka berdua berjaya memunculkan diri dalam sepersalinan pakaian yang nampak moden dan pada masa yang sama, kena dengan usia. Penampilan Anderson dan O’Hara pun ringkas saja, yakni berpakaian serba hitam, tidak ada manik-manik tambahan dan seumpamanya. We love it!
Gaya Amanda Seyfried, Jurnee Smollett dan Kaley Cuoco pula umpama mengoborkan semangat maskuliniti. Seperti Seyfried menyarung rekaan Miu Miu yang memimik kemeja tuksedo lelaki, manakala Smollett memilih pakaian penuh jemeki – rekaan Louis Vuitton – pada seluar serta blazer yang dia pakai. Cuoco hadir secara maya dengan memakai rekaan Dolce & Gabbana yang mengkonsepkan bentuk tuksedo klasik lelaki berlapel lebar.
ANTARA GAYA-GAYA CRITIC’S CHOICE AWARDS 2021 #STAILAVVV!
Phoebe Dynevor dalam Louis Vuitton
Kaley Cuoco dalam Dolce & Gabbana
Regina King dalam Versace
Andra Day dalam Prada
Julia Garner dalam Christopher John Rogers
Cynthia Erivo dalam Vera Wang
Jurnee Smollett dalam Louis Vuitton
Amanda Seyfried dalam Miu Miu
Yara Shahidi dalam Dior
Catherine O’Hara dalam Elie Saab
Apa pandangan anda?