Posted on September 18, 2020
SITTING EDITOR & PENATA GAYA ARDI IDEWANI FOTOGRAFER JORDI HARRIS
PEMBANTU PENYELARAS AMIRA AZMAN
SOLEKAN & RAMBUT EMMY AGUNG
LOKASI PAVILION HOTEL KUALA LUMPUR BY BANYAN TREE
Umpama bersenandung, tidak ada siapa atau apa pun yang menguasai Daiyan Trisha. Daiyan ria mengembara dunia seni, tidak membiarkan ‘beting-beting’ merintangi perjalanannya. Dia akan terus membenihkan kejayaan, mencari rezeki dengan menjadi dirinya sendiri. Dia bebas berlagu, berkarya dan berdikari, bukan hanya mahu mengait harapan serta cita-citanya, malah juga untuk meraup sekali kepuasan juga kebahagiaan.
STAIL.MY mendekati Daiyan – menggayakan himpunan terbaik musim luruh / dingin 2020 – membuka bicara tentang bakat menulis, konsep swaurus & pelan 2021-nya!
Di tengah gelegak senja yang bercampur angin dingin di bumi Korea Selatan, Daiyan Trisha masih mampu meleretkan senyuman. Sungguhpun penat memekat dalam diri, semua itu ditolak ke tepi. Kerana keseronokan yang tercipta sepanjang percutian bertemu penggambaran yang dijalankan sepanjang berada di sana.
Dari Seoul ke Busan. Kenangan manis kami di STAIL.MY bersama Daiyan dan Nabil Aqil tahun lalu – merantau ke Korea Selatan, demi projek isitimewa bersama Air Asia. Itulah detik perkenalan kami dengan Daiyan. Seraut wajah mesra seraya lembut pertuturannya, malah orangnya juga lucu membuatkan Daiyan cukup disenangi. Tidak pernah menyulitkan kerja dan dia (dan Nabil sekali) mudah sekali beri kerjasama.
Bukan sahaja suasana bekerja sepanjang di Korea Selatan yang diingati, namun juga moment ‘kecil’ kami di sana. Yakni bermain UNO pada malam hari di Busan untuk mengisi kelapangan masa, berjalan-jalan mengitari kota Seoul dan Busan malam hari sambil berlawak bodoh, meladeni ragam masing-masing, pergi ke tempat-tempat makan unik serta menikmati suara ketukan piano mainan Daiyan di Dongdaemun. Antara kembara yang masih membekas dalam ingatan, bak kata Daiyan sendiri.
Daiyan Trisha dalam kot tanpa lengan & sarung tangan daripada MSGM musim luruh / dingin 2020
Penyatuan semula mini kami dengan Daiyan untuk penggambaran bulan September kali ini di Pavilion Hotel Kuala Lumpur merawat semula kenangan Korea. Apalagi yang hadir ke penggambaran bulan September ini adalah saya, Amira Azman dan Emmy Agung (antara yang merantau ke Korea bersama Daiyan). “Bila nak travel lagi? Rindulah!” Jelas Daiyan kepada kami. Hai, memang rindu. Apakan daya, keadaan sekarang tak mengizinkan kita. Sudah sebegini lama, rasanya nak keluar bercuti tak kunjung tiba.
Bagi menyambut penyatuan semula ini, penggambaran September 2020 bersama Daiyan diistimewakan. Kami meminta Jordi Harris – selaku fotografer – untuk memotret Daiyan dalam helaian-helaian musim luruh / dingin 2020, dengan kamera filem lama yang menggunakan filem gulung, tanpa monitor dan tanpa pencahayaan ekstra. Menghasilkan imej yang telus, ‘mentah’ dan ada yang tidak jelas. Sengaja diolah begitu, kerana ia mengumpamakan ilham kami mendalami dan memahami Daiyan tanpa bertapis.
DAIYAN IS ON HER WAY
Bait lirik ‘On My Way’, nyanyian Daiyan Trisha, “Ku bukan semakin muda…” seperti satu peringatan. Peringatan yang mencucuk ke dalam hati. Mengingatkan kita yang tangan atau umbi kaki, satu hari nanti tak lagi tersentak pabila menua. Daiyan gabung lagi bait itu dengan “Takdir ku bukan di sini sahaja, seringkali aku merasa yeah, aku sudah bersedia,” mencadangkan sikap tak mahu mengalah, sikapnya untuk terus berjuang dan tidak mahu membiarkan apa-apa menggugat kedudukannya.
Daiyan Trisha dalam kot, baju panas, seluar & topi daripada Gucci musim Pre-Fall 2020
Lagu ‘On My Way’ yang dilepaskan awal bulan Julai lalu sejujurnya menggambarkan diri Daiyan. Bagaimana ia memerihalkan Daiyan, berasaskan perca-perca pengalaman yang dirangkul olehnya. Bersifat motivasi atau bekalan dorongan, ‘On My Way’ menyampaikan makna tentang penilaian diri atau self-exploration, yang menguntum kepada insan yang selama ini kita mahu jadi dan semua ini tercapaikan seandainya kita tidak memaku diri pada satu tempat sahaja. Jangan berhenti bergerak, berjalan atau berkelana untuk mengubah diri sendiri.
Pengalaman yang mendasari ilham, maka tidak sukar untuk Daiyan menulis kendatipun ia ditulis secara spontan atau tanpa apa-apa perancangan. Sebaik menghala pertanyaan kepada Daiyan, bagaimana lagu On My Way muncul, jawabnya, “Ia adalah projek tak dirancang daripada saya bersama-sama Joox yang menghendakkan kelainan. Awalnya, saya menyangka mereka mahu saya menyanyi rap. Rupa-rupanya, tidak.”
Daiyan Trisha dalam jaket quilt, kemeja, tali leher, skirt & kasut daripada Prada musim luruh / dingin 2020
Setibanya Daiyan ke studio rakaman, segalanya sudah tersedia untuknya. Lagu itu sudah disusun dalam bentuk draf, namun tanpa lirik. Sebatang pen dicapai pantas oleh Daiyan, terus dia menulis lirik di atas kertas. “Saya mula menulis lirik dengan ‘Adakah ini sahaja?’, satu pertanyaan buat diri saya. Kemudian, saya tak berhenti menulis sehingga terhasillah ‘On My Way’,” kata Daiyan. Dalam mencari judul lagu, telinga Daiyan laju menangkap rentak muzik yang berbunyi ‘Omaway, omaway’ yang berkali-kali kedengaran dan ia bercambah, bertukar menjadi ‘On My Way’, terus dikutip sebagai judul utama lagu.
“Ada lagu baharu nanti?” tanya saya. Jawab Daiyan, “Insya Allah, ada. Buat masa sekarang, saya baru sahaja selesai merakam lagu baharu. Tetapi ia adalah untuk jenama… it is a song for a brand. Nantikan.”
BERDIKARI & TAKKAN BERHENTI MENULIS…
Dianugerahi kegeligaan dan keteguhan hati dalam menjadi seorang yang berdikari, pencapaian Daiyan sangat membanggakan. Pada kesempatan usia mudanya, Daiyan sudah memiliki rumah sendiri. Melihat kesungguhan dia mengejar cita-citanya dan menguruskan segala sendiri-sendiri, bikin kami mahu ikut terdorong. Ingat lagi teman saya, Ryan, berkongsi posting Instagram Daiyan mengenai dirinya sudah memiliki rumah, membuatkan Ryan melafazkan kata, “I am so proud of her.”
Benar. Ketekunan dan kegigihan Daiyan membuahkan hasil. Seandainya saya berada di tempat Daiyan, saya puas dengan apa yang dikepal buat masa sekarang ini.
“It is up to me to make a difference,” Daiyan menyuarakan pendapatnya tentang menjadi artis yang berdikari. Bukannya Daiyan tidak mahu ada pengurus, tetapi dia selesa dengan konsep swaurus. Bukannya Daiyan mahu menyombong atau mencurigai orang lain, tetapi dia senang dengan kata putus yang datang daripada dirinya sendiri. Tidaklah dia tergolong dalam kelompok tertentu. Malah mudah bagi Daiyan untuk membangunkan keperibadian diri mengikut kemahuannya.
Daiyan Trisha dalam dress Bottega Veneta musim luruh / dingin 2020
Menurut Daiyan, swaurus tidak memayahkan. Yalah, apatah lagi kita sebagai manusia yang berotak satu, mudah untuk mengeset matlamat yang tidak ada anasir-anasir luar. Terkadang sesetengah kelompok berhalakan sesuatu yang tak sama dengan arah tuju kita. Sambung Daiyan, “Saya buat hal atau perkara yang saya sendiri mahu. What I do, I do it for myself. Dan perkara yang saya buat sendiri ini bukan untuk saya seorang sahaja, namun juga untuk dikongsikan dengan orang lain.” Daiyan mencintai karyanya sendiri. Dia menghargai seninya. Apa yang dia mahu pupuk adalah untuk berkongsi karya dan seninya itu bersama orang lain.
‘Struggles? There are struggles. But I find and get another blessing in that struggles,” ujar Daiyan. Daiyan faham semua artis ada alirannya dan aliran Daiyan adalah untuk tidak mengikut arus yang sama. Pendek kata, Daiyan berpapasan arus. Dalam soal penghasilan lagu atau album, lanjutan daripada swaurus ini tidak mengekang Daiyan untuk bekerja dengan sesiapa pun, berhajat untuk mengolah genre lagu yang bagaimana dan membenarkan dirinya bebas memilih konsep.
Dengan tingkat pengalaman Daiyan mengawal sendiri urusan, menghormati karya seninya dan tidak mengekor di belakang orang lain, sebenarnya ia meneladani anak-anak muda lain untuk yakin pada suara sendiri. Ia memotivasikan dan menginspirasikan anak-anak muda lain untuk percaya pada ‘kuasa’ yang dimiliki. Bila mana ada anak-anak muda yang menjadikan Daiyan sebagai inspirasi, kegembiraan tak terperi terjalin. Jelasnya, “I’m happy they find me as an inspiration. Saya pernah menerima mesej daripada pengikut saya yang mengatakan saya adalah sumber inspirasinya. Saya bersyukur kerana saya mampu membuktikan keberadaan saya di industri seni ini mempunyai asas. Bagi saya, itu sahaja pun sudah memadai.”
Daiyan Trisha dalam dress Moschino musim luruh / dingin 2020
Seperkara tentang Daiyan yang dekat pada hati kami adalah, dia seorang penulis. Daiyan mengiramakan kata-kata menerusi tulisannya, baik dalam lagu-lagu yang ditulis olehnya sendiri mahupun dalam media sosial. Tambahan pula, ibu Daiyan sendiri adalah seorang penulis, barangkali darah penulis sudah mengalir dalam diri dan tersemat dalam jiwanya. Menulis baginya umpama satu eskapisme. Faham perasaan itu, kerana menulis sepertikan bekalan udara untuk bernafas atau ‘makanan’ yang mengisi perut, dan ia banyak membantu Daiyan.
Akaun Instagram Tulisan By Daiyan Trisha adalah satu ruang untuk dia melahirkan segala mungkin ungkapan yang bersandarkan ekspresi dirinya. Tentang keriangan hati, menaruh harapan, bagi semangat, kesebalan hati, gusar atau yang membarai hati… semuanya dicurahkan dalam Tulisan By Daiyan Trisha. “Tulisan By Daiyan Trisha adalah curahan apa yang sedang saya lalui sekarang,” kata Daiyan.
Daiyan Trisha dalam dress kemeja, kemeja & kasut but Dior musim luruh / dingin 2020
Di samping menitipkan perasaan diri, Daiyan menemukan juga ilham menulis berdasarkan hasil seni orang lain. Terkadang berdasarkan pemerhatian dan filem-filem yang ditontonnya. Apa yang disemai ke dalam minda atau kepala adalah penting. Daiyan percaya dari cepu kepala itulah, menggelodak semua perasaan dan memudahkan dia untuk menulis. Tidak hairan mengapa Daiyan bijak dalam menulis lagu-lagunya. Bila disoal, apakah penting untuk semua penyanyi untuk tahu menulis, balas Daiyan, “Tidak semestinya. Kerana setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing. Jika kekuatannya vokal dan tidak menulis lagu, makanya itulah bakatnya yang ‘dijual’. Jika penyanyi itu tahu menulis lagu, menyanyikan lagu yang ditulis olehnya sendiri, itu pula adalah kelebihannya. Masing-masing ada keunikan dan cara tersendiri.” Cuma bagi Daiyan, menulis lagu sendiri dan menyanyikan lagu tersebut mengecap satu kepuasan bagi dirinya.
DAIYAN TRISHA PELAN 2020 KE 2021
Kerana tahun 2020 dianggap tidak beroleh kemenangan dalam membujuk kita – sesetengah orang seperti sudah putus asa dan merasakan matlamat tahun 2020-nya tertancap – Daiyan bersikap positif. Dia tidaklah menganggap tahun 2020 sebagai tahun yang mengubur impiannya. Mengenali Daiyan, – seorang yang bijak berdikari – dia memandang 2020 sebagai permulaan yang baharu. Memanglah ia meninggalkan kesan, cuma tidak terlalu pahit untuk ditelan.
Daiyan Trisha dalam blazer kulit, kutang sheer & skirt Valentino musim luruh / dingin 2020
“I make do around my plans,” jelas Daiyan. Daiyan tidak berhenti dalam mempositifkan minda dan fizikalnya sepanjang tahun 2020 bersesak mendepani kemelut wabak. “Semua yang terjadi ada sebabnya. Harapan saya cuma satu. Yakni untuk sedunia kembali pulih, ekonomi kembali seperti sediakala agar tidak menjejaskan mereka yang terkesan.”
Jadi, apa pula rencana kehidupan Daiyan selepas ini? Ada sesuatu yang baharu menanti kelak pada tahun 2021?
“Sebelum menjelangnya tahun 2021, saya akan muncul dalam satu cereka baharu. Sebuah filem. Tetapi masih hush, hush. Saya juga sedang sibuk dengan penggambaran drama televisyen. Seperti biasa… hush, hush. Tunggu sahaja bila keluar nanti,” balas Daiyan. Tahun 2021 pula menjanjikan sesuatu yang pasti mengujakan, khusus buat peminat-peminat muzik Daiyan. Daiyan dalam proses mengerjakan muziknya, memasang niat untuk menghasilkan album kedua pada tahun hadapan.
Daiyan Trisha dalam kot labuh & dress Miu Miu musim luruh / dingin 2020 dan hiasan kepala Prada
Apa pandangan anda?