SEARCH

MFW F/W 2019 : Pujian Buat Hasilan Daniel Lee Di Bottega Veneta!

MFW F/W 2019 : Pujian Buat Hasilan Daniel Lee Di Bottega Veneta!

Seni kraf, menjunjung asalan menerusi mata marcapada, pada masa sama cuba untuk tidak menyirnakan warisan dan ditindih lagi keperkasaan teknologi, Daniel Lee mengubah paradigma Bottega Veneta! Bertepuk tangan kita seraya meleretkan senyuman dan mencungkil rasa suka setelah menyaksikan debut Daniel di Bottega Veneta – kerana kelainan serta kemodenan yang dipamerkan olehnya.

daniel lee di bottega veneta

Daniel Lee sepertikan tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga. Daniel mengutip pengalaman sewaktu ‘berteduh’ di bawah bumbung jenama Celine sebelum-sebelum ini, masakan daya kreatifnya terabai. Dia menyesuaikan ilmu yang diperolehi itu sebaik sahaja dilantik sebagai pengarah kreatif baharu untuk Bottega Veneta, yang akhirnya berhasil juga. Sungguhpun seorang pereka British, bak si anak dagang yang ‘bermukim’ di rumah fesyen Itali, dia tidak meminggirkan terus estetika yang sudah tersimpul erat sebagai identiti Bottega Veneta.

Tomas Maier duduk di atas kerusi penghulu kreatif Bottega Veneta untuk selama mungkin. Lepas lebih satu dasawarsa, Tomas mengundurkan diri. Daniel yang dipanggil oleh Francois-Henri Pinault daripada Kering untuk ambil alih posisi ini dijangka memiliki visi yang mampu membaharui Bottega Veneta. Ternyata benar! Melantik Daniel adalah keputusan yang tepat sekali. Mana taknya, lihat saja himpunan musim luruh 2019 kali ini, Daniel mengolah kembali material kulit yang sangat signifikan buat Bottega Veneta. Nampak segar, punya kualiti distingtif dan baharu.

daniel lee di bottega veneta

Himpunan Bottega Veneta musim pra-luruh 2019 yang terdahulu oleh Daniel sahaja sudah menyatakan segala kehebatannya. Mulanya bagai ada segregrasi antara estetika Daniel dengan jenama Bottega Veneta, tetapi tidak menerbitkan disharmoni. Sebaliknya tenaga Daniel dan Bottega Veneta membentuk paduan yang berjaya.

Merujuk nota pertunjukan himpunan musim luruh 2019-nya, tertulis inspirasi, “celebration of freedom, self-expression and sensuality.” Deskripsi tersebut agak generik, membuatkan kita terfikir apa maksudnya. Adakah ketiga-tiga itu bersangkut paut dengan pembaharuan Bottega Veneta?

daniel lee di bottega veneta

Dalam pertunjukannya kali ini yang diadakan di ruang acara lut sinar yang membenarkan pancaran terik matahari tembus menyinari suasana, mempersaksikan dengan jelas sekali pembaikan semula material kulit Bottega Veneta dalam olahan luar jangkaan. Material kulit dalam rupa quilt, ditambah pad dan potongan laser, mencadangkan warisan Bottega Veneta dicabar oleh sesuatu yang lebih moden. Malah Daniel melangsungkan idea dalam mengaitkan material kulit dengan stail seorang biker – memunculkan gaya seluar kulit dengan susunan perincian piping manakala jaket pula dilengkapi pad.

Pengaruh falsafah Celine juga Phoebe Philo amat nyata dikepal oleh Daniel, terutama sekali dari segi menjelmakan siluet-siluet musim luruh 2019. Bahu jatuh, outerwear labuh yang menyembunyikan bentuk tubuh serta gaya workwear yang diperbaharui, umpama menyedarkan kita pada ciri-ciri siluet Celine dan Phoebe. Berbicara fasal diperbaharui, aspek yang sama juga turut terlihat pada jaket-jaket hujan yang disempurnakan oleh butiran gathers dan lengan kembang. Daniel menyaingi lagi rekaan-rekaannya dengan barisan ceraian baju kait ribbed yang disuntik manipulasi pola. Dia tidak gentar dalam mengubah baju-baju panas lelaki yang seakan-akan dipotong bahagian bodice hadapan, cut-out bahagian tepi dan tambahan butiran panel, yang membangkitkan keluarbiasaan.

daniel lee di bottega veneta

Mengintegrasikan unsur ketukangan manusia dengan teknologi… itulah kekuatan Bottega Veneta kali ini. Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Daniel dengan “freedom, self-expression and sensuality,” yang lebih menjurus kepada kebebasan dan ekspresi diri. Sungguhpun warisan masih kuat, namun tidak perlu takut pada sedikit pembaharuan dan tiada lagi pembatasan dalam menukar haluan.

daniel lee di bottega veneta

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE