SEARCH

Dior Memuliakan Senibina Perempuan & Hitam Di Couture 2019!

Dior Memuliakan Senibina Perempuan & Hitam Di Couture 2019!

Bukan kerana sendu menangis mahupun sebal hati. Atau kejur tersungkur, mati kerana emosi. Ada yang bilang Dior berkabung. Rata-ratanya hitam, tanda bersungkawa. Dan membesarkan pengertian ambang maut. Apa sudah jadi?

Sebenarnya, Dior tidak langsung mengkhabarkan ‘kematian’ menerusi himpunan couture-nya. Ia merai ikon perempuan, memuliakan kemasyhuran kesenian turus yang melambangkan simbol keperempuanan!

Daya seorang perempuan yang tangkas dan lapang dalam gerak langkah, menjunjung sesuatu di atas kepala yang kuatnya bukan kepalang, pada dasarnya mencorakkan ilham Maria Grazia Chiuri. Gambaran sosok perempuan sebegini hampir sama jasmani dengan kariatid pada bangunan-bangunan bersejarah – figura-figura seni ukir perempuan menghiasi turus bangunan, di kepalanya bercantum dengan bibir atau hujung atap – menjadi subjek utama Maria.

dior couture fall 2019

Maria yang tergoda lalu menikmati kecantikan kariatid atau arca perempuan himpunan couture musim luruh dingin 2019… seakan-akan menonton cereka esei Agnes Varda yakni Les Dites Cariatides. Maria merenung jauh ke dasar kesenibinaan sebagai pangsi ilham kali ini, mengait ia bersama esei kontemporari arkitek Bernard Rudofksy dalam menyempurnakan segenap himpunan. Maria malah mengambil kata-kata dalam esei Bernard, “Are Clothes Modern?” sebagai motif tipografi untuk salah satu look.

Mengapa senibina menjadi pilihan Maria? Kerana senibina adalah salah satu daripada ‘segala’ kecintaan Monsieur Dior. Dan mengapa hitam menimpa kekuasaan pada pentas couture? Kerana ia juga bersangkut paut dengan kata-kata Monsieur Dior, “I could write a book about black.” Maria meraup kesemua ini, ‘mengaparkan’ ia menjadi tema utama couture musim luruh dingin 2019. Dia sengaja memilih hitam kerana baginya, hitam itu tidak langsung membunuh kecitraan potongan serta konstruksi rekaan. Hitam adalah asas sempurna dalam mencemerlangkan seni potongan dan konstruksi tersebut.

Menurut nota pertunjukannya, couture musim luruh dingin 2019 merangka tanggapan rencam – ‘clothes and habitat, space and time, nature and culture, the flou and tailoring’ – yang menjadikan himpunan ini begitu poetic.

Menyentuh hal kesenibinaan mempengaruhi Maria, ada look yang dipersembahkan menerokai pola modular. Rekaan yang diilhamkan daripada tuksedo, dilengkapi lengan modular bagi menegaskan estetika senibina. Siluet kegemaran Maria turut membuat kemunculan, yakni blazer dengan skirt kembang paras buku lali, yang in a way, menyemat tailoring yang mencerminkan kesenibinaan.

Maria juga tidak melupakan kelembutan dalam himpunan couture ini, barangkali mengiaskan sifat romantik. Menggunakan tulle serta butiran-butiran feminin seperti veil dan gaun potongan klasik, menjadikan keseluruhan himpunannya bagai satu misteri.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE