Posted on July 8, 2020
Persembahan maya Dior Couture 2020 / 2021 dalam cereka pendek Le Mythe Dior… bagaimana mahu mengambarkannya? Ia mengirai 1001 rasa yang dicelup ke dalam dada dan minda. Kita lihat keindahan jalan ceritanya, membawa kita bertemasya ke satu fantasi yang tak sampai akal dan pada masa sama, menggugat perasaan kita serasa seram sesudah menontonnya.
Cereka bisu yang buat kita meneka-neka apakah yang mahu disampaikan oleh Maria Grazia Chiuri dan pengkarya filem Itali, Matteo Garrone, selaku pengarah Le Mythe Dior? Kempen fesyen Dior Couture kali ini bukan sekadar berlatarkan siklorama yang direntangkan di dalam studio. Bukan. Ia satu cereka yang benar-benar menyandiwarakan pengembaraan. Dimulakan dengan babak sekumpulan artisan di dalam woksyop menyiapkan busana-busana bersaiz kerdil, berukuran 40 sentimeter. Kemudian muncul dua tukang angkut yang ditugaskan sebagai utusan, melewati rimba dara seraya mengangkut beg peti berupa muka bangunan 30 Avenue Montaigne yang terisi rekaan-rekaan dress Dior couture miniatur.
Dua tukang angkut ini bertemu dengan dewi-dewi yang seakan-akan berceratukan memilih dress-dress miniatur tersebut. Sejurus selepas itu, berjumpa pula dengan nimfa, dewa hutan, si seni pahat patung yang duduk santai di batuan dan pokok hijau yang bertunas menyerupai manusia – ragam mereka semua sama, banyak cengcong dalam memilih dress-dress miniatur yang diangkut. Sesungguhnya, apa yang dihidangkan di depan mata kita, kebanyakannya memperlihatkan Maria dan Matteo mendekatkan diri mereka dengan menyalin semula mitos Greek. Menerusi aspek jalan cerita dan subjek yang diketengahkan.
Keadaan hening membungkusi jiwa sepanjang menonton cereka Le Mythe Dior ini. Barangkali kerana indah permai rimba dara yang menyuasanai jalan cerita, telatah pelakon-pelakon yang serba-serbi tidak tergesa-gesa, dengan iringan lagu tenang dan latar bunyi-bunyian yang kedengaran ‘halus’. Namun, pada kesempatan menontonnya, bila mengamati subjek-subjek ‘aneh’ yang bermukim dalam rimba cantik sebegini, membikin rasa gamang atau takut.
Maria dan Matteo kira berjaya jugalah kerana bisa menerbitkan keserabutan rasa itu.
Maria dan Matteo mengambil inspirasi Le Mythe Dior ini daripada unsur Theatre de la Mode – Theatre de la Mode yang mula diperkenalkan tujuh dasawarsa yang lalu, bertujuan menghidupkan semula industri fesyen Perancis selepas musnah oleh Perang Dunia Kedua. Theatre de la Mode melawat ke beberapa lokasi, membawa boneka pakaian (bersama hasil rekaan pereka-pereka fesyen Paris) dalam saiz miniatur bagi meraih dana. Dior melihat keindahan di balik sejarah ini, lalu ‘membudayakan’ semula teater tersebut dalam olahan cerita khayal karut atau dongengan dewata.
Menariknya, bila dikaitkan dengan senario marcapada, seperti boleh faham atau mengagak hasrat Maria yang menyetujui jalan cerita Theatre de la Mode dan kisah sejarahnya. Apalagi dunia dihimpit kegentingan wabak yang datang bak ‘perang gerila’, yang mengesankan industri fesyen, terutama sekali di Eropah. Menurut anggapan kami, keadaan darurat tersebut menggugah Maria untuk mengaitkan ia dengan Theatre de la Mode yang diusulkan kerana kesan Perang Dunia. Tetapi apa yang Dior dan Maria lakukan adalah “Theatre de la Mode dalam olahan cerita khayal karut, yang diusulkan kerana kesan pandemik COVID- 19”. Masuk akal? Tak mustahil. Membuktikan perjuangan Maria dalam rumah fesyen Dior masih tiada noktah.
Dalam pada mata pencinta-pencinta fesyen dan pemerhati-pemerhati mengepung persembahan maya Dior Couture, – diolah dalam rupa dongeng dewata, cerita khayal karut yang dironai oleh karakter-karakter rencam – tetap ada suara-suara kasar yang menegur tindakan Dior, Maria dan Matteo. Kerana bukan sahaja pandemik, malah isu diskriminasi ras yang seperti badai melanda dunia sekarang. Di mana mereka menyoal ketiadaan people of colour mana perginya mereka dalam cereka fesyen Le Mythe Dior? Seandainya Dior berani, tidak salah untuk mereka mengubah sejarah, kan. Sudah alang-alang menabur fantasi, apa kata ubah dan memfantasikan sebahagian karakter-karakter dalam Le Mythe Dior kepada people of colour?
Antara ‘key looks’ Dior Couture 2020 / 2021
Apa pandangan anda?