Posted on January 27, 2021
Dior couture kali ini menitipkan fantasi. Fantasi yang bukan hanya untuk disimpan sehingga ‘dimakan karat’. Namun sebagai eskapisme, lari daripada kenyataan semasa yang sepertikan didera oleh perebakan ganas wabak yang belum pasti lagi bila agaknya berkeputusan. Pada kesempatan dunia sedang lesu, Maria Grazia Chiuri secara ketakketaraan mencelup kuasa ghaib. Barangkali cita-citanya menggergasi, mahu kuasa ghaib itu membantu kita menjadi lebih tenang dan mencerdikkan akal manusia untuk membulatkan tekad.
Berdasarkan pemerhatian, atas dasar kuasa ghaib, Chiuri memilih kad tarot sebagai sumber ilham untuk Dior Haute Couture musim bunga panas 2021. Chiuri bukan memandai-mandai diri nak jadi seorang tukang tilik atau penenung nasib. Dia hanya mahu berideologi. Menjadikan kad tarot itu sebagai satu ideologi.
Chiuri bukannya mahu mengusik atau mengecutkan hati kita dengan aspek-aspek ngeri kad tarot. Sebaliknya, dia faham tentang suatu sifat cantik yang khalayak suka. Jadi, untuk himpunan couture musim bunga panas 2021, Chiuri menilai erti cantik dan mengukur keindahan pada kad tarot. Dia berkeinginan menonjolkan unsur fantastik, mencungkil simbolik magis dan kecantikan yang tersimpul dalam kad tarot.
Daripada pengamatan itu, Chiuri mengesani makna serta ‘atribut’ kad tarot, untuk dijadikan “perihal” dalam mempersembahkan himpunannya – baik sebagai tema rekaannya, motif mahupun membentuk siluet. Maka itulah, simbol-simbol dek kad tarot seperti simbol arcana, medalion, malah juga rona mencorakkan rekaan-rekaannya. Kiranya Dior dan Chiuri mengibaratkan kad tarot sebagai ‘alegori’ untuk menerangkan gagasan di balik rekaan-rekaan tersebut.
Tambahan lagi, Chiuri dan Monsieur Christian Dior sendiri adalah orang yang kuat percaya pada kebenaran juga ramalan kad tarot. Mereka tidak menyembunyikan sikap berasa yakin terhadap perkara-perkara karut. Jika imbau kembali apa yang Chiuri pernah buat sebelum-sebelum ini, dia sudah lama menampakkan ketaasuban kepada ideologi kad tarot – ingat lagi himpunannya empat tahun lalu?
Untuk kedua kalinya, Chiuri menugasi pengkarya filem Itali, Matteo Garrone, membikin cereka fesyen himpunan couture-nya. Berjudul ‘Le Château du Tarot’, cereka ini berlatarkan lokasi di Castello di Sammezzano, di Tuscany. Berteraskan imaginatif dan intuitif, Chiuri bersama-sama Garrone mengangkat tema kad tarot dan tatacara pengolahan ini merangsang visual serta pandangan. Kefahaman visual kita diperkaya melalui aspek kad tarot – yang berkaitan dengan ramalan dan nasib.
‘Le Château du Tarot’ tidak sesak dengan komunikasi antara satu watak dengan watak lain. Tidak dipadatkan dengan dialog panjang dan seumpamanya. Cukup sekadar sarat dengan bahasa badan dan rekasi seraut wajah setiap watak. Syot-syotnya juga perlahan dan nampak lembut, barangkali untuk membangkitkan suasana romantik.
Garrone memandu pemerhatian kita bukan hanya pada watak utama, namun juga keberpecahan watak-watak sampingan lain. Bermula dengan kemunculan gadis muda memakai jaket Dior Bar bertemu dengan si tukang tilik yang membabarkan kad-kad tarot di hadapannya. Gadis muda itu kemudiannya diangkut ke alam fantasi kad tarot. Lalu bersua muka dengan karakter-karakter yang tedapat dalam kad tarot. Menurut jalan cerita cerkea fesyen Garrone, setiap karakter yang bersandarkan kad tarot membawa pengertian yang berbeza-beza. Berbalik kepada kenyataan ‘mencerdikkan akal manusia untuk membulatkan teka (pada perenggan pertama), hal itulah yang dihadapi watak gadis muda tersebut. Dia diuji oleh fiil karakter-karakter kad tarot yang mengocakkan hatinya dalam membuat keputusan. Contohnya watak setan itu melambangkan godaan, yang bermatlamat untuk mengelirukan dan menggodai gadis muda itu.
Apa pandangan anda?