Posted on September 8, 2020
Cukup semusim luruh kali ini, Kim Jones mengenang sahabatnya, Judy Blame dalam himpunan Dior. Tiga puluh tahun lalu, awal perkenalannya dengan Judy bagai ‘membuah’ sampai ke sudah dan Kim tidak sekali pun lupa jasanya. Bermula dari masa Kim menuju ke arah Judy di kelab malam dan tak berat mulut menegurnya, kemudian Kim berpeluang bekerja dengannya ketika masih muda remaja, ke era mereka berdua bekerjasama sewaktu Kim mengepalai Louis Vuitton sehinggalah Kim kini yang duduk di kerusi pengarah artistik Dior Men, Judy tetap dalam ingatannya.
Apatah lagi selepas pemergian Judy dua tahun lalu, Kim memeterai janji bahawa suatu hari nanti himpunan Dior-nya didedikasikan kepada insan yang dekat pada hatinya itu – Judy Blame, seorang pereka fesyen serta aksesori, penata gaya dan antara yang membudayakan fesyen British. Kim lekas menggemilangkan imej, sosok, segala estetika serta budaya Judy dengan menyisipkan semua itu pada himpunan musim luruh kali ini.
Contohnya, Kim menampilkan motif juga aksesori yang berasaskan pin dan ia ‘menguit’ ingatan kita pada bakat DIY Judy dalam menghasilkan aksesori pin. Malah ada look yang dihiasi lakaran grafik pada baju panas intarsia sebagai penghormatan buat Judy dan menamakan ia ‘Toile de Judy’ serta topi newsboy – rekaan Kim dengan Stephen Jones – bermotifkan corak yang diilhamkan daripada gaya rambut Judy.
Bagi meneruskan lagi aspek penghormatan buat Judy, Kim memunculkan satu rekaan jaket yang mengunjungi semula jati diri punk Judy. Kegeligaan akal Kim terbukti sekali lagi pabila dia mempersembahkan jaket bomber double zipped yang pastinya membulatkan mata kita, meleretkan senyuman dan menggamamkan mulut kerana kagum dengan daya inovasi yang tersisip pada rekaan jaket ini. Antisipasi kami adalah memperkirakan bahawa jaket bomber double zipped ini akan menjadi item kegilaan si lelaki!
Zip yang tak hanya mengancing bahagian badan baju hadapan, namun juga pada badan baju belakang. Di mana ada bukaan di bahagian belakang (dari leher atau nape sampailah ke pinggang) dan inovasi yang terlihat ini membolehkan ‘pengasingan’ badan baju pada belah kanan juga kiri. Menurut nota Dior, aspek double zipped ini mencadangkan simetri hipnotik yang menyerlahkan percanggahan dua rona kontra.
Kerana asas rekaannya adalah pola jaket bomber, ia menjadikan jaket bomber double zipped ini tak makan dek zaman. Ia turut memegahkan signature Dior yakni courbes emblematiques du sac Saddle (terjemahannya : bentuk lengkung pada beg Saddle Dior) dan mengolah ia kepada bentuk poket jaket. Menakjubkan, bukan? Mengoptimumkan kemodenan gaya, couture-inspired dan bersifat inovatif… masakan jaket ini tak tersenarai dalam ‘mesti-ada’ musim ini!
Apa pandangan anda?