SEARCH

Eksklusif! STAIL.MY Melawat Pameran Manus X Machina di New York

Eksklusif! STAIL.MY Melawat Pameran Manus X Machina di New York
ManusVSMachina(Intro)_stailMY
Bahagian artificial flower menampilkan dress-dress Prada dan Christopher Kane antaranya

Idaman setiap pencinta seni fesyen tentulah sekali dalam hidup (kalau boleh setiap tahun) mahu melawat dan mendalami pameran seni di Costume Institute Metropolitan Museum of Art di New York. Alangkah bertuahnya saya, dibawa oleh Kiehl’s, walaupun bukan khusus untuk melawat pameran fesyen di MET Museum tetapi peluang ini saya gunakan untuk menyaksikan sendiri dengan mata kepala saya pameran agung yang mencetus perbualan dan perdebatan dalam dunia fesyen saban tahun ini.

MET Museum terletak di 5th Avenue 81 Street. Aduh kalaulah saya boleh gambarkan perasaan saya dengan kata-kata dalam perjalanan ke MET itu. Setiap yang saya bayangkan selama ini pabila melihat pameran ini di dunia maya apalagi melihat selebriti-selebriti menghadiri MET Gala untuk acara pembukaan pameran ini. Tiba di kaki tangga MET Museum, jantung saya berdebar-debar. Membayangkan insan-insan terkenal yang pernah melewati tangga ini, hati saya puas bercampur bangga.

MET Museum sama seperti yang saya bayangkan. Seni binanya. Hiasan dalaman dan auranya yang agung itu sama sahaja seperti yang saya baca sebelum-sebelum ini. Mana boleh saya bandingkan dengan muzium-muzium di sini (rasa seperti akan menulis satu pos khusus untuk isu ini). Pameran ‘Manus X Machina: Fashion in an Age of Technology’ berlangsung di sayap Robert H. Lehman yang berbentuk bulat. Pameran ini mendalami subjek antara rekaan handmade dan mechanized dalam fesyen. Ia memberi pendedahan kepada proses pembuatann setiap rekaan yang dipamerkan berdasarkan garis panduan ensiklopedia Diderot’s 1751: embroidery, featherwork, artificial flowers, lacework, leatherwork, pleating, tailoring dan dressmaking.

Kurator, Andrew Bolton menyebut, “Secara tradisionalnya, perbezaan antara couture dan prêt-à-porter ialah berdasarkan antara handmade dan machine-made. Tapi kini perbezaan ini semakin samar kerana kedua-dua disiplin ini semakin menerima dan menggunapakai latihan dan teknik sesamanya.”

Jadi kebanyakan helaian-helaian yang dipamerkan menunjukkan penyatuan mesra antara kedua-dua disiplin ini. Setiap satunya disertai dengan penjelasan tentang teknik-teknik yang digunakan sama ada handmade atau machine-made. Dua tingkat dikhusukan untuk pameran ini.

Pameran ini juga menghimpunkan rekaan pereka-pereka berbakat dunia dari gaun Charles Frederick Worth di era 1880-an hingga kepada dress koktel Yves Saint Laurent dari 1969–70 juga sut daripada koleksi musim luruh Haute Couture oleh Karl Lagerfeld untuk Chanel. Selain itu tentunya rekaan pereka-pereka hebat masa kini seperti Alber Elbaz, Raf Simons, Christian Lacroix dan Olivier Theyskens.

Galeri pameran ini sengaja direka agar nampak seperti “a cathedral” seperti kata pengarah Met Thomas Campbell. Sebaik memasuki ruang pertama pameran, gaun pengantin neoprene daripada koleksi Spring 2014 Haute Couture Chanel menjadi jamuan mata. Train panjang berjurai dari gaun ini diletakkan di atas platform tinggi untuk dikagumi. Gaun ini dijadikan centerpiece bagi menunjukkan kombinasi antara kerja tangan dan teknikal bagi mencetak dan menyulam train gaun ini. Ilham-ilham hebat Nicholas Ghesquiere menggunakan celluloid sequin yang dipotong menggunakan laser untuk Louis Vuitton, penggunaan silk mesh oleh Sarah Burton untuk Alexander McQueen dan dress floating Kaikoku oleh Hussein Chalayan bukan sahaja membuat saya terpukau tetapi juga kalau boleh mahu berlama-lama dan menatap puas-puas setiap helaian agung ini. Selain itu, tentunya saya meresapi juga rekaan Christopher Kane, Maria Grazia Chiuri dan Pierpaolo Piccioli untuk Valentino, Iris van Herpen, Jack McCollough dan Lazaro Hernandez untuk Proenza Schouler dan Gareth Pugh. Pengalaman yang cukup istimewa dan takkan saya tukar dengan apa-apa sekalipun di dunia.

“Manus x Machina: Fashion in an Age of Technology” berlangsung di Metropolitan Museum of Art sehingga Ogos 14.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE