Posted on January 25, 2021
Ketika asyik menonton presiden dan naib presiden megah mengangkat sumpah, mata tertuju pada Ella Emhoff. Ada juga yang tertanya-tanya, “Siapa dia? Siapa perempuan yang nampak quirky, stylish memakai kot dengan hiasan batu-batu, berkolar prairie atau ala puritan daripada Miu Miu itu?”
Itulah dia, anak tiri Kamala Harris.
Dalam kegembiraan bukan kepalang yang dirai oleh Amerika, bak satu cahaya benderang menyinari hati mereka setelah Joe Biden secara rasminya menjadi Presiden Amerika yang ke-46, ada ‘benda-benda lain’ juga yang tular – usai upacara angkat sumpah presiden dan Naib Presiden Kamala Harris minggu lepas! Daripada JLo melafazkan “Let’s get loud” yang membuatkan orang tersentak, ke Melania Trump berlaku dingin terhadap suaminya sehinggalah ragam Senator Bernie Sanders memakai miten sambil duduk bersendirian, sepertikan tidak mempedulikan yang lain, sampai ke hari ini menjadi memes!
Tidak lupa juga ada yang memalingkan percakapan kepada perkara lain, yakni fesyen-fesyen atau gaya-gaya yang ditampilkan pada hari bernama tersebut. Perkara itu juga sampai sekarang masih menjadi pokok bicara. Kata orang, bagai puyuh berlaga. Namun, dalam ramai-ramai yang hadir itu, kami memusatkan pandangan pada Ella Emhoff. Gaya atau penampilanya di upacara angkat sumpah minggu lepas nampak terserlah dan lain daripada yang lain. Seperti apa yang dinyatakan oleh kami di atas : Emhoff nampak quirky. Kot Miu Miu yang dipakai oleh Emhoff nampak kena dengan dirinya dan kita seakan-akan boleh mengagak personalitinya.
Penata gaya Emhoff, Jill Lincoln dan Jordan Johnson berkongsi sedikit cerita dalam mengatur gayanya. Kata mereka berdua, kot Miu Miu tersebut mencerminkan identiti Emhoff dengan jayanya. Mereka memang bercadang memilih gaya yang ‘tak makan dek zaman’, “because we knew that the images from the day would live on forever in their family (and the universe!).” Tambahan lagi, Lincoln dan Johnson tahu penggayaan Emhoff pada hari itu pasti membangkitkan rasa ingin tahu di kalangan audiens. Maka sebab itulah, penampilannya menjadi tular di atas talian!
Kehadiran Emhoff di upacara angkat sumpah itu mencungkil perasaan seperti mahu bersahabat dengannya. Menjentik rasa seperti mahu mengenali Emhoff dengan lebih dekat lagi. Agakan kami tentang Emhoff seorang yang cool juga tepat sekali. Jika ‘melawat’ akaun Instagram milik Emhoff, dia mempamerkan identiti sebenar. Emhoff tidak malu dan tidak menyembunyikan siapa dirinya. Bukan sahaja quirky, Emhoff juga menjinakkan dirinya dengan stail-stail yang ada pengaruh flower child, bersahaja, ethereal dan dia juga seorang pencinta fesyen vintaj. Or shall we say, unapologetic-thrift-shop-high-fashion?
Menerusi akaun Instagram-nya (@ellaemhoff), Emhoff selalu berkongsi beberapa gambar pakaian atau ceraian yang dijahit olehnya sendiri. Emhoff malah menunjukkan juga hasil krusye pada sampel serta pakaian yang dijahit. Meneliti latar belakang Emhoff – untuk melanjutkan rasa ingin tahu yang kuat tentang dunia kreatif Emhoff – rupa-rupanya, dia pelajar seni reka tekstil di Parsons School of Design. Tidak hairanlah mengapa Emhoff sangat kreatif dalam menghasilkan atau menjahit pakaiannya sendiri. Emhoff diyakini berpotensi besar menjadi ikon stail pada satu hari nanti. Harapan kami menggergasi untuk melihat Emhoff digelar ikon stail Gen-Z!
Apa pandangan anda?