Ernie Zakri merangka perjalanan kariernya, mengembang luas daripada bergelar sebagai seorang penyanyi dan kini, mengikat hubungan kolaborasi bersama jenama tudung lokal yakni Ayuwan!
Baru kelmarin Ernie Zakri released muzik video untuk lagu baharunya, berjudul ‘Aura’ – yang dipetik daripada albumnya sendiri, juga mengambil nama yang sama yakni ‘Aura’. Imbau kembali sewaktu pelancaran album ‘Aura’ pada tahun lalu, Ernie turut diumumkan sebagai wajah rasmi untuk jenama tudung lokal yakni Ayuwan dan pada masa itu juga, dia terlihat menggayakan tudung Ayuwan seraya menandatangani plak khas. Bila disoal tentang perasaannya terpilih sebagai wajah rasmi untuk jenama Ayuwan, balas Ernie, “Ayuwan adalah cerminan kepada kecintaan saya pada fesyen dan membenarkan peminat-peminat saya menjadi sebahagian daripada dunia stail peribadi serta kreativiti saya.”
Pemilihan Ernie sebagai wajah atau duta rasmi seiringan dengan matlamat jenama Ayuwan yang memenangkan citra lemah lembut, individualiti dan kecantikan yang tak makan dek zaman. Lantas, ketrampilan, karisma serta keberadaan Ernie dalam industri hiburan tanah air menjadikan dia pilihan ideal untuk jenama Ayuwan.
Di sini, kami di STAIL.MY berpeluang menemu ramah Ernie untuk mendekati dan mengetahui sedikit sebanyak tentang kolaborasi istimewa ini!
Mengapa Ernie berkata ‘Ya’ kepada kolaborasi ini?
Sewaktu mula-mula ditawarkan untuk menjadi duta rasmi, seperti biasalah, saya belum pasti lagi apakah matlamat utama jenama ini. Apabila sudah mendekati mereka, memahami tujuan mereka adalah pemerkasaan wanita dan berpegang pada prinsip untuk memperelokkan imej wanita, ia terus melekat dalam hati saya untuk berkata ‘ya’ kepada kolaborasi ini.
Kerana ia sealiran dengan matlamat Ernie sendiri, kan?
Ya, betul. Matlamat Ayuwan senada dengan keberadaan saya dalam industri hiburan tanah air. Yakni memperjuangkan pemerkasaan wanita. Ini adalah mesej yang saya sangat gemari. Alhamdulillah, setelah melalui proses perbincangan rapi dan seumpamanya, akirnya pengumuman saya sebagai duta rasmi Ayuwan turut dilakukan bersama pelancaran album ‘Aura’. Bagi saya, kolaborasi ini memperkukuhkan lagi mesej kekuatan wanita yang diketengahkan oleh saya dan Ayuwan.
Bilakah Ernie menjalin perikatan kolaborasi bersama Ayuwan ini?
Tahun lalu. Sewaktu lawatan saya ke kilang Ayuwan, untuk meneliti proses pembuatan, bagaimana mereka memilih fabrik dan sebagainya. Apa yang uniknya fasal Ayuwan adalah kelebihan ilmu mereka dalam mengenali jenis-jenis fabrik yang sesuai untuk dibuatkan menjadi tudung. Mereka tahu kain yang bagaimana harus digunakan, apa yang kena dengan bentuk wajah serta keselesaan si pemakai, memberatkan hal-hal kualiti dan praktikaliti. Semuanya dilakukan secara in-house. Setelah menyaksikan keberiaan dan kegigihan Ayuwan, saya tidak teragak-agak lagi untuk mempersetujui kolaborasi bersama mereka.
Ceritakan sedikit tentang apa yang uniknya fasal tudung Ayuwan ini.
Sewaktu pelancaran, saya memakai salah satu rangkaian koleksi Ayuwan yakni rangkaian Gemala. Saya diberitahu yang koleksi ini cukup unik. Saya tertanya-tanya juga, apa yang uniknya. Namun, setelah dipakai, barulah saya faham keunikan Gemala. Bila rangkaian tudung ini dipakai di luar (outdoor), fabriknya memancarkan corak monogram. Dalam pencahayaan dalam (indoor), ia tidak kelihatan. Namun, bila dipakai di luar, barulah nampak! Selau itu, saya juga suka pada rona-rona rangkaian tudung Ayuwan yang sangat-sangat bertenaga dan yang penting… tudung-tudungnya tidak memekakkan telinga! Terutama sekali ketika saya berada di atas pentas membuat persembahan.
Apakah kita akan melihat koleksi Ayuwan yang direka khas oleh Ernie nanti?
Insya allah. Akan ada nanti. Ia masih lagi dalam proses perbincangan. Ada sedikit pembetulan sana sini dari aspek teknikal dan sebagainya. It is going to be a beautiful collection. Inspirasi corak atau gaya koleksi istimewa ini adalah muncul daripada rekaan-rekaan Islamik dan ada sedikit Moroccan vibe.
Boleh kongsi sedikit tentang gaya peribadi Ernie?
Saya ada penata gaya peribadi yang menjaga imej saya. Daripada penampilan sehinggalah gaya tudung. Terkadang itu, penata gaya saya akan mencuba gaya-gaya yang tidak pernah digayakan oleh saya sebelum-sebelum ini. Penata gaya saya juga kerap menggayakan tudung berbentuk shawl untuk saya pakai sewaktu membuat persembahan-persembahan tertentu. Ada kalanya, gaya go-to saya hanyalah bertudung bawal sahaja. Kalau imbau kembali sebelum ini, saya suka bereksperimen dengan fesyen atau penggayaan. Tetapi sekarang ini, saya lebih gemar menggayakan sesuatu yang praktikal, kena dengan usia sendiri dan tak makan dek zaman. Kalau boleh, seandainya sepuluh tahun lagi, bila kita lihat balik gambar-gambar fesyen saya, orang tidaklah mentertawakan saya. Haha!
Lima perkataan untuk menggambarkan Ayuwan?
Ayu, bold, perkasa, versatil dan unik.
Apa pandangan anda?