SEARCH

Peter Lindbergh ‘Raja Hitam Putih’ Dalam Kenangan : 10 Fakta (Mungkin Kamu Tidak Tahu) tentangnya

Peter Lindbergh ‘Raja Hitam Putih’ Dalam Kenangan : 10 Fakta (Mungkin Kamu Tidak Tahu) tentangnya

Jika hendak berkongsi kisah Peter Lindbergh menangkap gambar kulit majalah Vogue isu November 1988 – isu julung kali Anna Wintour sewaktu dia dilantik sebagai ketua pengarang Vogue US – menampilkan model Michaela Bercu, dalam helaian Christian Lacroix dipadankan dengan jean biru (hasil penataan gaya oleh Carlyn Cerf de Dudzeele), bukan nak cakap ia ‘lapuk’ atau ‘basi’, tapi rata-ratanya semua sudah tahu cerita tersebut. Seandainya mengulang kisah itu, umpama mengunyahkan orang bergigi.

Semua tahu isu November 1988 itu menimbulkan tengkarah, menjulang tinggi nama Anna dan membuktikan kebijaksanaan Carlyne yang tidak takut menukar paradigma couture. Ia malah mencabar kemampuan Peter yang selama ini melekat dengan julukan fotografer imej hitam putih dan untuk isu tersebut, dia bermain dengan warna.

Persamaan yang terjalin antara tiga nama termashyur ini – Anna, Carlyne dan Peter – adalah sifat ketegar mereka yang tidak gugur memberontak. Tepat sekali haluan yang mereka pilih, sehingga kini kulit hadapan Vogue US isu November 1988 itu merangkul label ‘ikonik’ sehinggalah sekarang. Tetapi itulah resmi Peter. Di balik otak geliganya, dia seorang yang tidak pernah lentur pendirian. Peter menegakkan apa yang dia percaya dan dia sepertikan Nostradamus, kerana dia tahu atau bisa ramal apa yang akan memperoleh kemenangan pada masa akan datang.

Rest in peace, Peter Lindbergh.

 

Segenap dunia fesyen membahasakan kesedihan minggu lepas kerana hilangnya insan yang tersangat kreatif ini dari muka bumi. Tiga September, pada bulan minggu fesyen lagi, adalah titimangsa yang pastinya paling diingati.

Sebagai memperingati Peter, kami menyenaraikan sepuluh fakta mengenainya. Ada di antaranya yang barangkali kamu tidak tahu dan di sini, kami kongsikan bersama.

1. HITCH-HIKE UNTUK MENGEJAR IMPIAN

Sewaktu berusia 18 tahun, Peter mengorak langkah berani untuk berhijrah – mengejar impian. Berbanding dengan zaman sekarang, Peter dahulu mengembara tumpang ke Arles kerana membayangi jejak inspirasinya, Vincent Van Gogh. Peter kemudiannya belajar dalam bidang seni abstrak di Krefeld dan akhirnya, berjaya mengasas studio sendiri. Ketika berusia 27 tahun, barulah dia menemukan cintanya pada dunia fotografi serta pengimejan.

2.SUKA MENGOLAH CERITA MENERUSI IMEJ FOTOGRAFI

Seperkara tentang Peter adalah dia senantiasa mengolah jalan cerita, setiap kali menghasilkan imej. Cerita itu sama ada sudah direncanakan awal sebelum penggambaran ataupun secara spontan, sewaktu berlangsungnya penggambaran. Itulah Peter. Dia tak selalu melihat dirinya sebagai fotografer sahaja, sebaliknya dia seperti seorang pembikin filem – pengolah cerita.

3.ANTI-MAKE-UP, SUKA YANG ‘RAW’ DALAM GAMBAR

Bagi Peter, imej yang diambil olehnya harus menjurus kepada mengamati jiwa atau emosi sebenar subjek. Maka sebab itulah Peter lebih gemar subjek-subjeknya tidak dirias wajah dengan solekan. Dia sebenarnya kurang gemar subjek-subjek yang bersiap cantik dengan solekan dalam imej-imejnya! Kadang-kadang, jika subjek-subjek sudah siap disolek untuk bergambar, Peter akan meminta solekan itu dibuang sepanjang berlangsungnya penggambaran tersebut.

4.MENGGUNAKAN ATLANTIC CROSSING CHARLES LINDBERGH UNTUK ‘REVAMP’ DIRI

Nama dia yang sebenar adalah Peter Brodbeck. Namun dia menukar nama ke Peter Lindbergh setelah berhijrah ke Paris. Bagaimana dia menguar-uarkan dirinya revamp, bertukar ke ‘Lindbergh’? Dengan mengambil warta Charles Lindbergh merentasi Atlantik, tertera headline, ‘Lindbergh Hits Paris’.

5.PETER YANG MENYURUH LINDA EVANGELISTA POTONG RAMBUT PENDEK

Tak terduga, kan, rambut pendek Linda Evangelista antara faktor utama yang menaikkan namanya dan merangkul perhatian satu dunia fesyen. Rambut pendek ala-ala gaya rambut lelaki yang sudah menjadi sinonim dengan nama Linda. Atas sebab apa Linda berani membuat keputusan memotong rambutnya pendek? Atas sebab Peter yang menyuruhnya memotong rambutnya menjadi pendek ala boyish. Kata Peter kepada Linda, rambut itu bukan sahaja akan mencetus populariti Linda, malah akan mengangkat namanya menjadi supermodel. Linda percaya dan true enough, lihat sahaja pencapaian Linda!

6.GRACE MIRABELLA ‘BUANG’ GAMBAR SUPERMODEL BERKEMEJA PUTIH!

peter lindbergh

Oh, siapa tidak tahu imej enam supermodel berkemeja putih – Christy Turlington, Karen Alexander, Tatjana Patitz, Estelle Lefebure, Rachel Williams dan Linda Evangelista – di pantai Santa Monica? Imej hasilan Peter yang sampai ke sudah membekas dalam ingatan kita. Sebenarnya, ia tidak disukai oleh Grace Mirabella (mantan ketua pengarang Vogue US masa itu) dan barangkali dia tidak tahu betapa ‘ikonik-nya’ imej tersebut. Bak kata Carlyne, imej supermodel berkemeja putih itu tak makan dek masa. It can be now. Dan oleh kerana penangan Peter dan impak supermodel, ia mengilhami George Michael untuk menggunakan model-model yang sama dalam video muzik ‘Freedom’.

7.TIDAK berapa gemar MEMOTRETKAN SUBJEK SEDANG KETAWA (sebenarnya)

Dalam menghasilkan potret, Peter suka imej-imej yang bersifat melankolik. Bila disoal, mengapa dia menyisihkan idea subjek-subjek ketawa dalam gambar, terutama sekali potret, jawabnya, ketawa itu biasa sahaja. Ketawa baginya tidak ada nilai dalam imej potret dan lebih senang mengukur emosi menerusi wajah atau muka yang tidak ketawa.

8.TIADA TRIPOD, SUKA PERGERAKAN BEBAS

Stail gambar-gambar Peter kebanyakannya berupa pergerakan. Model bergerak dari satu titik tempat ke satu titik tempat dan Peter akan berada di hadapan, bersedia menangkap gambar seraya dirinya juga bergerak sekali. Tidak berkenan menggunakan tripod, lebih kepada free-hand. Akan tetapi, Peter selalu berjaya mengabadikan komposisi yang cantik, menarik dan unik. Dia bijak mengalih perhatian, sehinggakan mata tertumpu pada subjek utama. Entah apa magis yang dia miliki!

9.DEBAT ‘ARTIFICIAL BEAUTY’ & ELLE FRENCH ISU APRIL 2009

Dunia fesyen dari dahulu lagi dibelenggu kebimbangan yang melibatkan imej-imej palsu – gambar model-model terlalu edited, banyak menggunakan teknologi retouch, airbrushing dan seumpamanya. Isu ini mendorong Peter, memberanikan dirinya untuk mengeluarkan imej cover majalah Elle versi Perancis, isu April 2009, yang menampilkan Eva Herzigova, Monica Bellucci dan Sophie Marceau dalam keadaan tidak bersolek, berwajah ‘mentah’ serta tidak ada sebarang suntingan. Isu ini menggemparkan pembaca-pembaca di Perancis yang rasa gemuruh atau gentar dengan idea ‘natural beauty’ oleh Peter. Aktivis organisasi hak wanita, Sandrine Leveque mendukung idea Peter juga Elle ini seratus peratus, kerana memperlihatkan keberanian nama-nama besar seperti Eva, Monica dan Sophie yang nampak selesa dengan rupa sebenar mereka.

10.BRITISH VOGUE SEPTEMBER 2019 – ISU TERAKHIR

Siapa sangka, British Vogue isu September 2019, ‘Forces For Change’ yang berpangsikan keperkasaan, membariskan gerombolan wanita yang membawa perubahan optimis kepada dunia adalah antara isu terakhir Peter sebelum dia meninggal dunia. Mengenali Peter, dia amat suka subjeknya jika seorang wanita. Kerana baginya, wanita lebih bebas, tidak terlalu terkawal, emosi rencaman dan lebih versatil dalam proses menangkap gambar. Dia malah memahami wanita itu bagaimana olahnya. Kebetulan, keluaran British Vogue yang memperjuangkan kewanitaan adalah isu terakhir Peter. Sedih.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE