Posted on February 9, 2021
Apa yang terkandung dalam February fashion news STAIL.MY kali ini? Louis Vuitton memperkenalkan rangkaian leather goods baharu mereka untuk lelaki yakni ‘Aerogram’ ; double ‘C’ Coach dan Champion berpadu tenaga ; dan kempen kaca mata Gucci musim bunga panas 2021 yang mengumpamakan dongeng dua kota raya!
#STAILelaki Louis Vuitton Memperkenalkan ‘AEROGRAM’
Mengapa ia dinamakan aerogram?
Aerogram bermaksud surat yang dikirim melalui pos udara. Makanya, Louis Vuitton – yang sinonim dengan dunia pengembaraan – memilih ‘aerogram’ kerana ia melambangkan falsafahnya, Art of Travel.
Nama Aerogram dikutip oleh Louis Vuitton sebagai nama rangkaian himpunan aksesori leather goods yang terbaru untuk lelaki. Ia adalah rangkaian himpunan yang dihasilkan menerusi daya cipta pengarah artistik, Virgil Abloh dan mula diperkenalkan secara rasmi pada bulan Januari lepas. Setelah dilancarkan, LV Aerogram terus ‘melekat’, menjadi himpunan kekal Louis Vuitton.
Kecirian aerogram menjadi pengisian serta idea konseptual Abloh. Keringanan dan kelembutan – yang dikaitkan dengan aerogram atau surat udara – mendasari prinsip rekaan Abloh, mengahwinkan warisan pengembaraan Louis Vuitton dengan kemodenan. Kecirian tersebut mempengaruhi rekaan-rekaan LV Aerogram yang memperlihatkan bentuk atau gaya streamlined, architectural-like dan garis jelas bersih, yang sememangnya simbol stail lelaki-lelaki urban.
Double ‘C’ – Coach X Champion Kempen Menampilkan Paloma Elsesser, Wisdom Kaye, Maha Gondal & Jeffrey Tung!
Dua jenama yang mendewasa dengan keamerikaan. Dua jenama yang ‘ekstrovert’ dalam melampiaskan citra serta bangga menunjukkan kewajaan semangat Amerika-nya!
Coach dan Champion!
Dua jenama ini sudah mula berpadu tenaga, menghasilkan satu himpunan edisi terhad yang tidak hanya memenangkan satu belah pihak sahaja. Coach dan Champion sama-sama membancuh idea, mengeluarkan himpunan yang menyatukan mutu ketukangan serta keterampilan Coach dengan sifat cekal atletik Champion. Himpunan edisi terhad Coach X Champion membariskan produk-produk seperti beg, seluar jogger kulit, baju-baju panas, kemeja T dan jaket shearling – jaket shearling ini menampilkan motif cetak baharu yang menggabungkan storypatch Coach (yang selalu ada pada label Coach) dengan logo ‘C’ Champion.
Selaku pengarah kreatif Coach, Stuart Vevers teruja dengan kemunculan himpunan yang bertunjangkan kolaborasi ini. Jelas Vevers, Coach X Champion membuahkan inspirasi dan umpama mengajaknya untuk berkarya lebih, memperkayakan siluet sportswear dengan penggunaan material kulit serta kulit bebiri. Menurutnya lagi, kolaborasi ini juga membenarkan Vevers menerokai proses kreativiti, menyatukan simbol-simbol ikonik Coach dalam bentuk yang jauh lebih segar, serasa muda.
How To Coach A Champion
Kolaborasi Coach X Champion menampilkan empat wajah utama telah dipilih sebagai wajah rasmi kempen fesyennya : model Paloma Elsesser, bintang TikTok Wisdom Kaye, penata gaya Maha Gondal dan selebriti Jeffrey Tung. Bagi merai ‘kedatangan’ Coach X Champion, kami di STAIL.MY mahu mengemukakan dua idea #TipStail – menggunakan semua produk Coach X Champion – berdasarkan penggayaan Elsesser dan Kaye!
Paloma Elsesser
Wisdom Kaye
Kempen Dongeng Dua Kota Gucci
Perjalanan menelusuri sungai yang mengalir tenang di Venice, dengan si pendayung gondola mengawani penumpang telah mencorakkan satu jalan cerita dongeng buat Gucci. Gucci membingkaikan suasana tersebut sebagai perihal utama kempen himpunan kaca mata musim bunga panas 2021.
Gucci membayangkan dongeng dua kota yang kejauhan namun saling berhubung. Dua senario yang bercambah ke perkara yang tidak diduga seperti terbitnya kesamaan, semangat setia kawan serta moment of leisure, dengan himpunan kaca matanya diumpamakan sebagai watak protagonis.
Sengaja memilih sungai Venice kerana Alessandro Michele (pengarah kreatif) mahu melanjutkan ketenangan dan kedamaian air sungai mengisi ruang kempen fesyennya kali ini. Dia mahu mententeramkan pemerhati, menunjukkan keriangan hati dan memaparkan imej yang tidak berat dengan aspek ketegangan. Bagi Michele, sungai Venice yang bersifat misteri, dengan jalan airnya yang ‘dibelah’ oleh palazzo marmar dan seni bina penuh bersejarah itu, menyempurnakan visual serta visinya dalam menghidupkan kempen kaca mata musim bunga panas 2021 ini.
Apa pandangan anda?