Posted on June 24, 2020
Mengabadikan cakerawala California sebagai tunjang ilham utamanya, lantas menamai himpunannnya Fendi California Sky. Silvia Venturini Fendi memperkenalkan himpunan kapsul – Fendi California Sky – untuk musim Pre-Fall 2020 yang mencerminkan gaya dinamik dan punya aura berjiwa bebas, kerjasamanya dengan artis visual Los Angeles yakni Joshua Vides!
Ada apa dengan California yang memenangkan hati Silvia Venturini Fendi? Barangkali ligat mentari yang meronai langit California atau keriangan siang yang menitipkan rasa optimis dalam jiwa. Ataupun kerana California memiliki aura tempat manjanya manusia untuk menikmati rasa lapang dan santai. Mengutip matahari sebagai elemen utama, Silvia tidak alang-alang dalam menculik sekali rona langit biru bagi menyempurnakan keseluruhan ideanya. Tambahan lagi, Silvia memasukkan juga elemen kejernihan senja untuk menguatkan inspirasi California.
Maka, rona-rona yang diamati oleh Silvia kali ini adalah rona bak warna senja, ada simbahan kuning, putih serta sedikit biru yang menggambarkan langit dan disertakan motif botani yang melanjutkan idea ‘kebebasan’ dalam rekaan-rekaannya untuk Fendi California Sky. Silvia memperubahkan ia dengan hasil coret grafik yang memimik grafik kartun atas kanvas, lalu menjadikan himpunan kapsul ini lebih distingtif dan ada kelainan tersendiri. Coret grafik ini adalah kerjasama Silvia dengan Joshua Vides, artis visual yang berpangkalan di Los Angeles, yang mencurah idea kreatif coret pen dakwat hitam dan putihnya – stail seni yang sinonim dengan Joshua – pada semua item-item Fendi California Sky.
Artis visual Los Angeles, Joshua Vides yang sudah menjalin kerjasama dengan Fendi dari tahun lepas
Kerjasama Silvia dan Joshua yang sudah lama terjalin, bermula daripada hasilan Joshua melakar grafik dua dimensi – untuk hiasan dalaman serta luaran Peekaboo Bar pop-up dan Fendi Café di Harrods, yang dibuka pada bulan Julai lepas. Daripada situ, Silvia meneruskan integrasinya bersama Joshua dan kali ini, menyunting Joshua sebagai ‘orang kuat’ dalam merevolusikan rekaan-rekaan pakaian sedia pakai serta aksesori.
Joshua mengekspresikan identiti coret grafik pen dakwat hitamnya dengan sentuhan rona langit biru (seperti yang dinyatakan di perenggan kedua) dan sedikit rona ungu lembayung, bagi menghidupkan efek tiga dimensi atau trompe-l’oeil yang memperdayakan mata – dengan melakar grafik garis yang kononnya adalah kemasan atau kelim jahit atas. Joshua malah menginterpretasikan semula motif botani cara wimsi yang signifikan buat Fendi serta mengubah Fendi Stamps dan logo ikonik FF dalam karakter ala-ala kartun.
Cetusan idea grafik yang diolah oleh Joshua ini mengunci pemerhati kerana kelainan yang dipamerkan. Gaya motif nakal, bersahaja dan tidak terlalu terikat pada disiplin tertentu, menjadikan item-item kapsul Fendi musim Pre-Fall 2020 ini tersenarai sebagai “mesti ada” buat pencinta-pecinta fesyen. Ia menyuntik semangat baharu dalam kod penggayaan, apatah lagi corak grafiknya itu disimbah sekali pada pakaian-pakaian sedia pakai – bukan sahaja aksesori!
Baik jaket adang angin, seluar pendek berbasikal, baju-baju panas, sut, ceraian-ceraian denim, blouson serta helaian-helaian pakaian malam yang tak hanya sarat dengan motif botani, malah grafik Joshua. Oh, simbahan idea Joshua ini juga sudah tentu tidak meminggir dua aksesori ikonik Fendi yakni Peekaboo, Fendi Roma shopper dan Baguette yang turut diberi cartoon-treatment. Tak ketinggalan juga aksesori-aksesori lain seperti topi bucket dan sniker FF Fluid.
Ia umpama ledakan hasilan grafik Joshua pada hampir kesemua item Fendi musim Pre-Fall 2020!
Apa pandangan anda?