SEARCH

Gate Crasher Di Pertunjukan Chanel : Gimik / Tak Sengaja?

Gate Crasher Di Pertunjukan Chanel : Gimik / Tak Sengaja?

Gate crasher yang datang menerjah pertunjukan fesyen, tanpa diundang dan tidak dialu-alukan. Ia terjadi kelmarin di atas pentas Chanel musim bunga panas 2020 sewaktu finale. Saat model-model berjalan mendudu-dudu menyudahi pertunjukan, sekonyong-konyong seorang perempuan naik ke atas pentas lalu masuk menyelit di antara model-model tersebut, berjalan memperolok-olokkan lagak model, mencekak pinggang, mendabik dada dan melangutkan kepalanya tanda bangga.

Kejadian penceroboh merodong pentas pertunjukan fesyen : adakah ia tidak disengajakan atau sebenarnya hanyalah gimik?

Apa yang dialami oleh Chanel kelmarin sememangnya mengejutkan. Virgnie Viard baru nak bermegah dengan pentas yang mereplikakan seni bina rooftop bangunan butik Chanel di Rue Cambon tiba-tiba dihidangkan ragam yang tak semena-mena berlaku. Lebih-lebih lagi buat undangan-undangan yang hadir, yang tidak menyangka hal ini terjadi.

Iyalah, untuk sebuah pertunjukan rumah fesyen yang sudah membajai darjat serta kelas tertentu, terusik oleh aksi perempuan bak hilang akal kewarasannya. Dia bukan datang menerjah untuk memperjuangkan advokasi – seperti apa yang dilakukan oleh aktivis haiwan atau sekumpulan penyokong feminisme. Dia hanya menjadi ‘boneka’ yang bercanda dengan sendaan atau gurauan.

View this post on Instagram

Consécration @voguemagazine

A post shared by Marie S'Infiltre (@mariesinfiltre) on

Perempuan gate crasher itu adalah Marie Benoliel, seorang pelawak media sosial, Youtuber dan prankster asal Perancis – yang dikenali dengan nama julukannya Marie S’Infiltre. Bukan kali pertama Marie berkelakuan sebegitu, kerana pernah sekali itu dia melangsungkan idea yang sama untuk satu pertunjukan fesyen sebelum ini dan dia memang lazim dengan aksi tersebut. Buat yang tahu siapa Marie, mereka sudah biasa dengan objektif eksperimen sosialnya, menyahut cabaran yang bukan-bukan serta untuk tujuan lawak semata-mata.

Mengapa Marie tergamak melakukan aksi itu kerana beralasan bahawa dia memasang angan-angan untuk menjadi dewi ilham Chanel. Menurut temu bualnya bersama TIME, Marie bilang Chanel adalah jenama yang menegapkan keabadian dan dia hanya mahu menjadi sebahagian daripada pengalaman tersebut. Entah betul atau tidak.

Marie dapat apa yang dia impikan – bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pengalaman ‘abadi’ Chanel, malah dia menjadi tular, menjadi sensasi juga kemuncak di minggu fesyen, jumlah pengikutnya meningkat dan bertemu muka dengan Gigi Hadid yang bertindak sebagai ‘hero’, mengusirnya keluar dari pentas.

Namun, ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah gimik. Bukan menuduh, cuma mendakwa yang ia sudah direncanakan oleh Chanel. Kerana Marie dikatakan menggambarkan bayangan sikap perempuan Chanel yang berjiwa bebas, tidak mengenal takut dan suka berseronok-seronok. Tambahan pula, sebaik sahaja Marie berjalan bersama model-model lain sewaktu finale, dia terus ke tepi dan pada masa itulah Gigi mendepaninya untuk membawanya keluar. Keseluruhan aksi tersebut umpama gimik atau lakonan. Membuatkan ada yang tertanya-tanya “Adakah semua ini sudah dirancang?” Publisiti? Strategi? Anything could happen nowadays. Apatah lagi jika halnya bersangkut paut dengan media sosial dan ‘konsep’ tular. Sampaikan ada yang menganggap ia sebagai ‘detik ikonik’.

Seandainya betullah Marie hanya mahu gate crash untuk content media sosialnya, aksinya itu sebenarnya agak biadap. Orang berbelanja besar, menghabiskan hari-hari mereka,  memerah keringat untuk menghasilkan satu pertunjukan khas dan Marie dengan selamba datang menghancurkan semua itu?

gate crasher chanel spring 2020

Budaya gate crash bukanlah sesuatu yang tersangat baru pun. Perkara yang sama pernah terjadi di atas pentas Victoria’s Secret pada 2002, di mana sekumpulan aktivis haiwan yakni PETA menyerbu masuk ketika Gisele Bundchen berjalan seraya melaungkan tanda “Gisele : Fur Scum”. Terus ia mengubah Gisele, sehinggakan Gisele tidak mahu lagi memakai pakaian berbulu. Nina Ricci musim bunga panas 2014 pun mengalami kontroversi gate crash, pabila sekumpulan feminis datang separa telanjang kerana mahu mempertahankan hak wanita.

In fact, di minggu fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini juga ada terjadinya gate crash. Dengar-dengar ia melibatkan model-model yang tidak ada komitmen dengan minggu fesyen Kuala Lumpur, yang tiba-tiba datang menutup pentas salah seorang pereka fesyen. Agak kecoh suasana belakang pentas, kerana mereka tercari-cari dress-dress yang ‘hilang’ dan rupa-rupanya, sudah didandani elok oleh model-model tersebut, yang bersedia untuk menutup pertunjukan pereka fesyen itu. Namun, mereka punya sebab kukuh mengapa menyandiwarakan ia. Kerana mereka bukan sahaja diupah menjadi dewi ilham pereka fesyen tersebut, malah sebagai tanda protes kepada agensi atau organisasi yang mengendalikan minggu fesyen Kuala Lumpur. Well, they have rights.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE