Posted on February 22, 2021
Jika perkara yang dibualkan adalah tentang fesyen 90an, serahkan kepada gen zer. Mereka seperti tahu atau mengerti bagaimana rupa fesyen 90an serta apakah item-item fesyen yang popular ketika era 90an dulu. We bet, item-item fesyen 90an yang pernah dipakai oleh generasi Millennial pasti dianggap sebagai vintaj, kan. Lol.
Apalagi Gen Z pantas dan berani, makanya mereka laju mengutip fesyen-fesyen 90an sebagai aspek yang mencorakkan gaya seseorang gen zer masa kini. Misalnya, kami (generasi Millennial) sudah lama tidak nampak item fesyen seperti pakaian likra metalik PVC yang dahulunya selalu digayakan oleh Britney Spears. Namun gen zer seperti Emma Chamberlain menggayakannya semula, merangkul perhatian hampir segenap pengikutnya – yang juga daripada kumpulan gen zer – lalu lahirlah kata-kata (komen di media sosial) seperti “You’re an icon!”, “She’s an icon” dan “I need this!”.
Satu lagi contoh adalah top atau helaian yang berpolakan bentuk rerama, yang dahulunya pernah dipopularkan oleh Mariah Carey. Atau bak kata Camilla Nickerson sewaktu dia mula-mula menyertai Vogue pada awal 90an, “I was called into a fashion meeting… it was all about the butterfly. The butterfly necklace, the butterfly shoe…” And guess what? Penyanyi ‘Drivers License’, Olivia Rodrigo mengembalikan gaya rerama itu. Dia memakai helaian berbentuk rerama yang rupanya sebiji seperti helaian Mariah Carey dulu.
Katakanlah ada yang bertanya, mengapa tercetusnya obsesi Gen Z terhadap fesyen-fesyen 90an? Ringkas sahaja jawapannya : putaran atau kitaran fesyen. Sama seperti bagaimana generasi Millennial dulu pernah ‘taasub’ fesyen-fesyen 80an.
Tambahan lagi, mereka semakin buas menguasai pasaran fesyen sekarang. Lalu, menuntut jenama-jenama pakaian, terutama sekali fast fashion, untuk tidak mempersempit ‘ruang lingkup’ mereka dan ligat berkembang ke pasaran-pasaran gen zer.
Selera berubah-ubah. Industri fesyen menyerasikan ‘diri’ dengan permintaan konsumer semasa. Dengan dunia kini sepertikan bermanja dengan teknologi, makanya apa-apa pengaruh yang berkait rapat dengan teknologi di kalangan generasi ini memuncak dan seorang gen zer akan memandang, malah menyanjung gen zer yang lain. Mempercayai pempengaruh (influencer) atau perkara-perkara yang terlihat di media sosial itu adalah kelaziman buat kumpulan Gen Z.
Menurut kajian Mckinsey & Company, ‘The State of Fashion 2019’, 41 peratus gen zer merujuk pempengaruh terkenal yang mampu merangsang mereka untuk mengikut trend, sehingga mempengaruhi mereka dari aspek pembelian item-item fesyen. Gen zer lebih condong kepada impulse purchasing atau pembelian gerak hati, berdasarkan apa yang mereka perhati di media sosial dan seumpamanya. Ia membantu jenama-jenama fesyen membentuk semula sasaran pasaran.
Jadi bayangkan jika ikon fesyen Gen Z seperti Emma Chamberlain mempopularkan pakaian likra metalik PVC ala Britney Spears itu mampu mengenakan pengaruh pada gen zer yang lain, rasa-rasanya berapa banyak ‘pembelian gerak hati’ yang diraih atau bercambah? Tidak hairan ia menyumbang kepada trend atau fesyen-fesyen 90an menjelma semula. Bermakna, trend report Pinterest yang meramalkan ‘fesyen 90an’ kembali melanda pada tahun 2021 adalah tepat sekali!
Apa pandangan anda?