Posted on July 20, 2020
Gucci Epilogue adalah satu penyampaian fesyen yang pastinya membekas dalam ingatan. Naratif visual – julukan Alessandro Michele untuk penyampaian fesyen ini – yang berlanjutan selama 12 jam ini sejajar dengan dasar Milan Digital Fashion Week, yang menyingkap himpunan Gucci Resort 2021, mempertontonkan kepada kita perjalanan di sebalik tirai penggambaran lookbook!
Sungguhpun dalam keadaan tamu tiada, ia tidak menggundahkan hati Gucci. Ia tidak menunda kehendak Gucci untuk mengalih paradigma dan menerokai sesuatu yang baharu. Untuk memecah kebuntuan dan kelesuan dalam memikirkan apa yang bisa dilakukan, Gucci menenggelamkan terus metode lama. Sebaliknya, ia membenarkan kita (audiens) menatap lama ‘hab fesyen’ Gucci yang bagai sudah ‘terhidang’ barisan-barisan pekerja, bekerja tanpa henti untuk merealisasikan penggambaran lookbook menerusi lensa kamera pada satu sudut. Strim secara langsung, umpama sebuah rencana realiti yang mempamerkan senario yang sebetul-betulnya.
Naratif visual Gucci ini adalah idea yang dikembangsuburkan daripada “An Unrepeatable Ritual” – persembahan sandiwara Gucci musim luruh dingin 2020 sebelum ini, yang mementaskan akses belakang pentas yang terlihat model-model seakan-akan dipersiapkan oleh pekerja-pekerja Gucci. Pada kesempatan ini, Alessandro Michele menyalin semula idea tersebut untuk musim Resort 2021. Dia mempertontonkan kru produksi, prop master, staf, jurukamera, jurusolek, penata gaya dan semua yang terbabit di sebalik tabir berkampung di Mannerist Palazzo Sacchetti, dalam seting strim secara langsung yang berlangsung selama 12 jam. Tidak bertapis, segalanya dipamerkan jujur.
Semuanya menjawab kepada kelaziman baharu yang disesuaikan oleh Gucci. Di mana ia tunduk kepada konsep Digital Fashion Week kerana pandemik COVID- 19 yang kiranya ‘mendesak’ gagasan baharu sebegini diusulkan. ‘The new normal’ tidak dipinggirkan dalam menyempurnakan naratif visual Gucci ini – semua yang terbabit dilihat mengenakan pelitup muka atau penutup wajah dan penjarakan sosial diamalkan – dan ia membangkitkan persoalan kita sebagai audiens, bahawa apakah metode ini akan terus menjadi konsep minggu fesyen mendatang?
Namun Alessandro tidak menganggap gagasan sebegini merenggut status Gucci dan satu batasan buat dirinya. Alessandro mensintesiskan gagasan baharu sebegini dengan ketelusannya untuk menunjukkan mekanisme penggambaran kempen fesyen dan lookbook. Biar ia menjadi ilmu yang dikutip oleh audiens dan sumber inspirasi. Dan Alessandro tidak kisah ‘memutuskan’ seketika realiti fesyen daripada pertunjukan pentas peragaan tradisional yang kita sudah biasa lihat.
Apa yang menjadikan naratif Gucci Epilogue lebih unik atau distingtif adalah keberanian Alessandro untuk tidak menggunakan khidmat model profesional. Dia memilih pekerja-pekerjanya yakni pereka-pereka in-house (atau design team) sebagai model dalam kempen Resort 2021! Secara peribadi, ia adalah satu usaha yang bijak untuk terus menjayakan ketelusan bekerja yang cuba dicapai oleh Alessandro. Bukan hanya mampu mengurangkan risiko – atas sebab COVID- 19 yang tidak menggalakkan tempat yang bersesak oleh orang ramai – malah ia menunjukkan apresiasi Gucci dan Alessandro terhadap individu di sebalik yang menjayakan sesuatu rekaan itu.
Tiba masa untuk mereka menghargai pereka-pereka yang mencipta pakaian-pakaian tersebut dan memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri rekaan masing-masing. Pereka-pereka in-house Gucci didandani bak model-model sebenar Gucci. Dari aspek solekan, rambut, cara bergaya dan penataan pakaian. Ia membuatkan kita sebagai audiens dapat mengenali individu-individu di sebalik pembuatan pakaian-pakaian Gucci selama ini, antaranya seperti Olivia Kode yang peranannya adalah pereka pakaian kanak-kanak, Tania Cardelli sebagai pengkaji fabrik untuk womenswear, David Ring yang bertindak sebagai pereka pakaian selebriti, Beatrice Gianni yang memegang jawatan pereka beg tangan, Min Yu Park yang peranannya pula adalah seorang pereka sedia pakai menswear dan pereka untuk womenswear yakni Luca Loviento.
Apa pandangan anda?