Posted on July 6, 2020
Tahu apa yang tular minggu lalu? Harry Styles’ cardigan! ‘Berantakan’ orang melihat kardigan yang dipakai oleh Harry sewaktu sesi raptai untuk The Today Show pada bulan Februari lepas, sehinggakan tanda pagar #HarryStylesCardigan berserakan di media sosial. Terutama sekali di Tik Tok dan gerombolan Tik Tokers menyahut cabaran #HarryStylesCardigan dengan menunjukkan kebolehan masing-masing mencipta kardigan Harry Styles sendiri. Hebat penangan Harry Styles!
Menariknya, tanda pagar #HarryStylesCardigan menular secara organik, meraih views lebih 300,000.
Ada apa dengan kardigan kait multi-rona Harry Styles ini sehingga tular? Obsesi yang menghantui fikiran atau jiwa orang adalah sesuatu yang kita tidak bisa jangka, kan. Hari ini kopi Dalgona, esoknya cabaran menari, lusanya stail menangkap gambar sendiri. Yang sekarang ini adalah kardigan Harry Styles, yang menaruh minat pencinta-pencinta fesyen di media sosial – serta peminat-peminat Harry – untuk membuktikan daya kreatif ‘DIY’ kardigan Harry tersebut.
Berbalik kepada soalan pertama di perenggan atas ini lagi, ada apa dengan kardigan ini? Entahlah. Barangkali ia multi-rona, mengingatkan orang pada gaya vintaj 70an atau kardigan kait yang nenek tua selalu bikin dulu-dulu. Dipakai pula oleh Harry yang sememangnya seorang ikon fesyen masa kini. Atau apa yang terbentang di depan mata kita adalah gaya Harry yang bersahaja dan selesa dalam kardigan kait tersebut. Membuatkan orang rasa seperti mahu memilikinya. Tak mustahil juga.
Menurut Vogue Business, trend fesyen DIY – seperti #CraftCore – menular dengan hebat di kalangan Gen-Z, sepanjang tempoh kuarantin pandemik COVID- 19 dan krusye adalah antara seni kraf yang menjadi pilihan mereka. Jadi pabila imej Harry dalam kardigan kait tebal multi-rona ‘timbul semula’ di internet, ia mencuit minat pencinta-pencinta krusye untuk menghasilkan sendiri kardigan Harry.
https://www.instagram.com/p/CCGFhEqp-4g/
Kardigan Harry ini direka oleh Jonathan Anderson untuk jenama senamanya, JW Anderson musim bunga panas 2020 dan dijual di pasaran pada harga 1,250 Pound. Dipersembahkan di atas pentas JW Anderson di minggu fesyen menswear pada bulan Jun tahun lepas, seni kraf di sebalik ciptaan kardigan tersebut yang menjadi perhitungan kuasa tularnya. Bak kata Jonathan sendiri di Instagram, “It’s so amazing the power of craft.” Apalagi dengan kehadiran akaun Tik Tok yang berkaitan dengan berkongsi ilmu menjahit baju, upcycle fashion serta DIY pakaian sendiri – buat pengetahuan kamu, Tik Tok kini menjadi platform untuk mereka yang suka menjahit dan melakukan kraf pada pakaian sendiri, menjahit semula pakaian yang pernah dipakai oleh selebriti, berkongsi ilmu menjahit dengan pengikut-pengikut serta ruang untuk pereka-pereka fesyen muda memperkenalkan rekaan masing-masing. Makanya, ia menjadi kegilaan gerombolan yang suka menjahit pakaian sendiri serta pencinta-pencinta krusye.
https://www.instagram.com/p/CB1D0A3JbDQ/
Jonathan kagum dengan penularan kardigan Harry ini. Sampaikan Jonathan tidak kisah berkongsi pattern guide dalam fail PDF yang menunjukkan pola-pola dan cara membuat kardigan Harry sebagai rujukan Tik Tokers. Dari material ke benang, ke jarum yang digunakan sehinggalah cara menjahitnya, Jonathan jujur mahu menjadi sebahagian daripada gembar-gembur #HarryStylesCardigan.
ANTARA AKAUN TIK TOKERS YANG MENYAHUT CABARAN HARRY STYLES CARDIGAN
Seandainya kamu berminat untuk menghasilkan kardigan Harry, mungkin akaun Tik Tok di bawah ini adalah sumber inspirasi kamu?
Apa pandangan anda?