Posted on September 30, 2020
Hmm… bagaimana hendak memulakan bicara tentang Harry Styles? Secara spesifik, tentang gayanya yang tak pernah lekang disebut-sebut di bibir kita. Daripada tentang gaya Harry yang bersifat feminin, ke pernah sekali itu, penampilannya yang memimik gaya Elton John, kemudiannya dia antara yang mempopularkan rantai mutiara sehinggalah dia menjadi ‘topik hangat’ di Tik Tok hanya kerana kardigan JW Anderson yang dipakainya ketika sesi latihan menyanyi.
Apa sahaja yang Harry buat, apa sahaja yang dia pakai dan apa sahaja yang dia gayakan, semedang jadi perbualan orang. Dan mesti tular!
Selain ‘mereplikakan’ Sir Elton John, menyarung rantai mutiara juga kardigan JW Anderson, apakah kamu sudah bersedia untuk penggayaan terbaru Harry yang kami jangka akan tular dan jadi ikutan? Harry kini ‘berjinak-jinak’ pula dengan gaya berantai manik-manik millefiori – manik yang asalnya dari Itali (yang selalunya bila kita ke Venice akan kedengaran ajakan orang tentang muzium pembuatan gelas Murano) dan manik ini diperbuat daripada potongan gelas Murano.
Harry ketika ditemui, terlihat menyarung beberapa rantai pada lehernya. Rantai mutiara yang sudah sinonim dengan dirinya itu dilapis bersama rantai manik-manik millefiori dan rantai manik-manik millefiori ini adalah hasil rekaan jenama barang kemas yang berpangkalan di Miami, yakni eliou!
https://www.instagram.com/p/CFkBr79Apct/
Menurut pengasas bersama eliou, Cristy Mantilla, rantai manik millefiori tersebut adalah rantai buatan tangan yang direka khusus untuk penata gaya Harry, Harry Lambert dan dia menghadiahkan ia kepada Harry – ya, penata gaya Harry Styles juga bernama Harry, lol! Sedari itu, Harry seperti teramat suka pada rantai millefiori eliou tersebut dan tak melepaskan ia dari lehernya.
Menurut apa yang kami faham, rantai manik-manik millefiori eliou ini menampilkan rekaan manik-manik berona biru, dengan corak yang terlihat sepertikan motif bunga psikedelik pada butir-butir manik tersebut dan setiap susunannya dijarakkan oleh mutiara-mutiara. Tidak pasti tentang rantai yang dipakai oleh Harry ini, tetapi gelang tangan eliou yang diperbat daripada manik-manik yang sama (dengan corak bunga yang sama), tersisip sekali mesej ‘VOTE’ pada talinya. Barangkali mesej yang sama ada pada rantai yang Harry pakai?
Jadi, lelaki, tiba masa untuk memasukkan sekali rantai manik-manik millefiori dalam himpunan aksesori kamu!
Apa pandangan anda?