Posted on January 26, 2021
Sejujurnya, pengakhiran jalan cerita Its A Sin cukup menyedihkan. Tragik. (No spoiler!) Bayangkan gerombolan enam kawan sepermainan yang sangat rapat, saling menyokong sesama sendiri, bersama-sama memasang cita-cita tinggi untuk berjaya di London akhirnya kecundang. Disebabkan perebakan AIDS yang mengganasi anak-anak muda pada masa itu. Seorang demi seorang mati. Yang tinggal, cuma mampu melangsungkan kehidupan seperti biasa, ‘diselubungi’ dark days of AIDS.
Drama mini siri Inggeris lima episod yang ditulis serta dihasilkan oleh Russell T Davies ini sudah mula ditayangkan di United Kingdom akhir bulan Januari dan bakal muncul di HBO Max pada Februari nanti. It’s A Sin menampilkan Olly Alexander (vokalis Years & Years) sebagai teraju utama memegang watak Ritchie Tozer, bersama Lydia West, Nathaniel Curtis, Callum Scott Howells dan Omari Douglas.
Sedikit sipnosis tentang It’s A Sin : Ia adalah siri yang ‘berpecah’ kepada lima rangka masa berbeza – dari tahun 1981 sehingga tahun 1991. Bermula dengan kisah Ritchie (lakonan Alexander) yang berhijrah ke London pada 1981 untuk menjadi seorang pelakon dan penyanyi. Manakala watak Roscoe Babatunde (lakonan Douglas) lari dari rumah kerana keluarganya tidak dapat menerima dorongan seksnya terhadap lelaki. Watak Colin Morris-Jones (lakonan Howells) pula berpindah ke London untuk bekerja di Savile Row. Setibanya di London, mereka bertiga dipertemukan dengan Jill Baxter (lakonan West), Ash Mukherjee (lakonan Curtis) dan Gregory ‘Gloria’ Fitch (lakonan David Carlyle). Lalu mereka menjadi rapat seperti satu unit keluarga baharu. Keseronokan hidup mereka sebagai anak-anak muda di London, bebas menjadi diri sendiri dan pada masa sama masing-masing cuba membina kerjaya, akhirnya dinoktahi oleh kemunculan penyakit AIDS – yang dikira satu virus baharu pada era 80an. Apabila ada kawan-kawan yang ‘tewas’ disebabkan AIDS, ia mengubah kehidupan mereka.
Berlatarkan tahun 80an dan awal tahun 90an, Davies menyunting pereka kostum, Ian Fulcher – yang pernah bekerja untuk siri Giri Haji (Netflix) dan Orange Shirt (Hulu) – untuk mengolah gaya atau fesyen dalam siri tersebut. Dalam siri It’s A Sin, Fulcher berperanan mengatur gaya setiap watak mengikut personaliti masing-masing dan dia bijak dalam menyusun gaya-gaya terebut berdasarkan perbezaan tahun (1981 – 1991).
Roscoe Babatunde
Antara banyak-banyak watak, watak Roscoe antara yang ketara menunjukkan character development. Watak Roscoe asalnya bekerja di tapak pembinaan dan di awal permulaan cerita lagi sudah memperlihatkan ‘transisi’ gayanya : daripada gaya kelalakian yang mencerminkan lelaki bekerja sebagai buruh kasar ke memakai skirt pendek bersama cropped top (yang menunjukkan dirinya yang sebenar) sewaktu dia lari dari rumah.
Menurut British GQ, watak Roscoe “embraces London’s LGBT nightlife scene” pada zaman itu. Tidak hairan pabila penggayannya sedikit loud dan punk – fesyen subbudaya yang popular di London. Roscoe sering mengenakan pembayang mata berwarna untuk menunjukkan sisi keperempuanannya yang suka berhias dengan mekap.
Sepanjang episod It’s A Sin, penggayaan Roscoe berubah-ubah. Di samping gaya feminin, suka mengenakan ceraian halter top, cropped top, jean acid wash dan bermekap, Roscoe juga mengubah imejnya dengan memakai sut sewaktu menjadi ‘toy boy’ (spoiler alert!). Lama-kelamaan, gaya Roscoe menjadi lebih matang. Toned down. Rosco mula memakai baju panas 90an, apabila rangka masa siri tersebut beralih ke tahun awal 90an dan bagi kami, perubahan gayanya itu seolah-olah mahu menggambarkan usianya yang meningkat.
Colin Morris-Jones
Watak Colin pula melambangkan karakter yang lurus bendul orangnya, a mama’s boy dari Wales dan jurujual di Savile Row. Bagi menghidupkan karakter tersebut, Fulcher banyak mengenakan sut lengkap dengan waistcoat dan tali leher pada Colin. Colin malah mencerminkan imej lelaki Inggeris tipikal kerana selain memakai sut, ada juga babak-babak yang memperlihatkan Colin menyarung jaket Harrington dan jaket hujan. Berdasarkan pemerhatian kami, penataan gaya klasik ini seolah-olah mahu menerbitkan gambaran bahawa Colin adalah seorang homoseksual closeted. Yang tidak biasa dengan dunia liar homoseksual pada zaman itu.
Fulcher berjaya dalam menghidupkan kembali stail sut 80an pada watak Colin – seperti potongan sut klasik, sedikit besar atas tubuh Colin, lapel notch lebar, berona asas dan bukannya siluet slim seperti sut masa kini.
Jill Baxter & Ash Mukherjee
Penggayaan watak Jill dan Ash lebih kurang sama. Mereka berdua pelajar seni teater di universiti digambarkan melalui penggayaan seperti baju panas, sweats dan leggings – so 80’s! Jika menganalisis gaya Jill dan Ash, mereka sebenarnya melambangkan gaya ‘arketaip’ Londoners yang bergerak sealiran dengan perubahan fesyen new wave 80an. Ada pengaruh streetwear, memakai jaket bomber 80an, berkasut sniker, menyarung braces serta melilit hiasan kepala… yang sememangnya what 80s is all about. Malah, ada babak-babak dalam It’s A Sin yang memperlihatkan Jill menyarung jaket militari dan pada pendapat kami, ia umpama gambaran obsesi era 80an terhadap fesyen new romantic.
Ritchie
Ritchie, watak utama It’s A Sin, menterjemahkan gaya atau stail homoseksual kaukasia di London – gaya-gaya soft boy yang cukup sekadar berkemeja, berseluar jean ketat, memakai blazer dan berjaket shear. Bagi menjelmakan karakter tersebut, Fulcher tidak melebih-lebih dengan penataan gaya Ritchie. Sungguhpun Ritchie seorang homoseksual yang spontan dan lantang bersuara menafikan kewujudan AIDS, namun penggayaannya tidak digambarkan loud – berbanding Roscoe.
Mungkin berdasarkan karakter, Fulcher mahu mencerminkan Ritchie sebagai homoseksual kaukasia tipikal pada masa itu, yakni seorang yang yakin dengan dirinya dan angkuh dengan pendapatnya. Tambahan lagi, Ritchie juga menyembunyikan seksualitinya di hadapan keluarga, namun dia liar mengadakan hubungan seks kasual bebas di London. Jadi penggayaan ringkas pada Ritchie itu barangkali untuk menonjolkan sikap sebenarnya yang masih terbatas, tetapi pada masa yang sama, terkadang dia pretentious.
Apa pandangan anda?