SEARCH

Rest In Peace Karl Lagerfeld, (1933 – 2019)

Rest In Peace Karl Lagerfeld, (1933 – 2019)

Khabar yang tak terduga semalam. Dunia fesyen bungkam dan bagai tidak bernyawa seketika. Kita pasti akan rindu dengan kelurusan hati, lagak serta keletahnya nanti. Benar, siapa sangka, perginya seorang lagi ikon fesyen, Karl Lagerfeld yang meninggal dunia pada usia 85 tahun semalam.

Dalam pada cahaya benderang hati teruja menantikan minggu fesyen berlangsung bulan ini, sesuatu yang mendukakan hari terjadi. Terbetik warta yang tidak diminta, saat mendengar Karl Lagerfeld meninggal dunia. Insan yang menyemat status pereka fesyen sebagai selebriti, bijak dalam membabitkan diri dengan segala aspek daripada seni rekaan sehinggalah menyusun pemasaran dan mencorakkan fesyen pada abad ke 20 dan abad ke 21, tidak lagi gah berada di dunia fesyen kita.

“Today the world lost a giant among men. Karl was so much more than our greatest and most prolific designer—his creative genius was breathtaking and to be his friend was an exceptional gift…”, menukilkan kata Anna Wintour dalam Vogue.com. Kesan pemergian Karl Lagerfeld cukup terasa.

Mengenang kembali Karl, dia seorang yang bisa mengalirkan semangat kepada pereka-pereka fesyen lain. Karl mengilhami nama-nama seperti Marc Jacobs, Viktor & Rolf dan Tom Ford. Viktor & Rolf mengagumi kehebatan luar biasa Karl, manakala Marc Jacobs belajar menginjeksi budaya pop ke dalam rekaannya daripada Karl dan Tom Ford menjadikan kejayaan Karl sebagai sumber inspirasinya. Malah bekas pelatih Chanel, yang kini bergelar pereka fesyen yakni Anne Valerie Hash masih tidak lupa lagi prinsip-prinsip juga ajaran-ajaran Karl.

Karl bukan sahaja sihat akal budinya juga tekal dalam menerbitkan seni grafik dan rekaan bersifat kesenibinaan, dia malah bijak dalam menafaskan identiti tersendiri. Dia hadir sebagai seorang selebriti. Muncul dalam imej atau keperibadian yang mencadangkan dirinya umpama satu watak – rambut ikat ekor kuda, simpulan dasi kecil di leher dengan sarung tangannya lagi. Pemilihan Karl dalam mengatur diri sedemikian rupa bertujuan untuk mengetengahkan jenama fesyen yang dikendalikan olehnya. Seperti Chanel dan Fendi. Membuatkan orang ingat pada dua jenama ini, bukan sahaja atas faktor produk-produknya, malah orang kuat di sebaliknya.

Menggemilangkan penjenamaan Chanel adalah kemenangan Karl. Dia berjaya dalam mendemokrasikan kemewahan, ‘mencuit’ pasaran lebih muda juga tidak gentar mengambil risiko menampilkan imej berani buat Chanel. Semenjak pelantikan Karl sebagai pengarah artistik Chanel, dia menaikkan jualan, menghasilkan produk-produk yang menghimpun pengikut-pengikut yang tidak kisah berbelanja semata-mata mahu berada di hierarki fesyen dan sudah tentu, Karl-lah orang yang membaharui sut Chanel. Karl tidak mengikis ‘bahasa’ Coco Chanel, namun dia memodenkan Chanel dan memperkenalkan material baharu.

Sehingga pada pertengahan tahun 90an, jenama-jenama fesyen lain cuba menyaingi Chanel juga apa yang Karl lakukan. Giorgio Armani memunculkan jenama diffusion, Versace bersama-sama Dolce & Gabbana serta Calvin Klein menghasilkan produk-produk seperti kaca mata, kasut dan pakaian dalam, hanya kerana mahu mengikut jejak langkah Chanel.

Oh, kita pasti akan merindui Uncle Karl. Daya kreatifnya bagai tiada tandingan. Setelah perginya Karl, buat masa sekarang, Virginie Viard mengambil alih Chanel. Rest in peace, Karl Lagerfeld.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE