Posted on February 3, 2020
Kami telah menemukan vintage tee yang menjadi ketaasuban baharu, yakni kemeja T Coach X Richard Bernstein! Kolaborasi yang menggambarkan semangat New Wave Coach sepanjang usia 78 tahunnya ini telah mendasari Stuart Vevers yang menerawang dalam lamunan New York dan menjadikan ia sebahagian daripada pangsi ilhamnya. Kelazatan dunia New York ini memekat dalam rentetan fikiran Stuart sehingga dia mementaskan pertunjukan Coach musim bunga panas 2020 di salah satu mercu tanda yang dekat dengan hati New Yorker : The High Line.
Kerana angka tahun 2020 menuntut segala kemahuan – baik ekonomi, budaya, pemikiran serta teknologi – ia mempengaruhi Stuart Vevers dalam mencemerlangkan Coach yang dipimpinnya. Stuart menjadikan musim bunga panas 2020 sebagai permulaan dekad, mengambil aspek lama dan baharu, yang mengharumi inspirasi Stuart. Dalam ribuan hasrat hatinya yang mahu memperbaharui dekad Coach, citra 80an terbina kuat dalam mencorakkan medan arah rekaan-rekaannya.
Apatah lagi bila Stuart mengeluarkan himpunan rangkaian kemeja T yang sarat dengan ilustrasi wajah yang dilukis oleh Richard Bernstein di atas pentas, yang mengiakan ‘fakta’ dirinya dibolosi kuasa 80an. And guess what? Kemeja T Coach X ilustrasi Richard Bernstein ini adalah “kemeja T vintaj” baharu yang mesti dimiliki musim ini!
Kamu tahu bagaimana setiap kali pergi ke butik baju vintaj, membeli kemeja T vintaj yang bercorak tipografi ‘AC/DC’ atau grafik radikal Iron Maiden mahupun disimbah grafik seni pop Andy Warhol? That’s exactly how this Coach X Richard Bernstein is going to be. Cuma yang berbeza adalah, ia tidak dibeli di butik vintaj, sebaliknya hanya didapati di butik-butik Coach. Well, barangkali dalam masa berpuluh tahun nanti-lah, kemeja T Coach X Richard Bernstein akan menjadi vintaj dan terlihat ia dijual di butik-butik vintaj. Manalah tahu?
Kolaborasi Coach bersama pengilustrasi fesyen Richard Bernstein – yang bukan asing lagi dalam dunia permajalahan, kerana hasilan-hasilan kerjanya yang distingtif adalah cover majalah Interview sewaktu era 80an – berjaya melambangkan warisan jenama Coach. Mereka memilih ilustrasi-ilustrasi wajah Barbra Streisand, Rob Lowe dan Michael J. Fox yang juga idola-idola Stuart ketika itu. Dengan ledakan kreativiti Richard yang psikedelik bercampur glamor 80an, penuh bertenaga, ada sedikit biasa estetika pop dan media berus angin tipikal 80an, sekali lagi ditegaskan di sini, rangkaian kemeja T Coach ini mesti dimiliki!
Richard Bernstein
Apa pandangan anda?