Posted on February 2, 2021
Seperti menaruh dendam pun ada. Kerana tidak berkesempatan mengadakan pertunjukan Moschino secara fizikal pada bulan September lalu, Jeremy Scott melampiaskan hasratnya yang terkubur itu menerusi kempen Moschino SS 2021. Dia tidak mahu membiarkan apa yang telah terjadi menghitamkan cita-citanya.
Lantas Scott ‘mengendong’ konsep pertunjukannya – yang berteraskan boneka bertali – ke masa kini dan ia bersemi menjadi tema kempen fesyen musim bunga panas 2021!
Masih ingat konsep pertunjukan Moschino musim bunga panas 2021? Yang mempamerkan niat Scott mahu ‘mengajangi’ situasi gawat serta kekusutan dunia dengan perkara baharu. Yang menjentik perasaan manusia untuk melapangkan hati masing-masing dan jangan mengalah dalam hidup.
Pada masa itu, Scott tunduk kepada perubahan. Dia menyenangi teknik atau metode boneka miniatur bertali untuk mempersembahkan himpunannya. Boneka-boneka bertali ini mereplikakan model-model serta insan-insan terpenting dalam industri fesyen. Scott menyusun boneka-boneka tersebut duduk sebaris – umpama berada di pertunjukan fesyen sebenar – dan beberapa watak model keluar, seraya menggayakan rekaan musim bunga panas 2021. Rekaan-rekaan pakaian musim bunga panas 2021 ini juga direka mengikut skala saiz boneka.
Kegeligaan Scott yang bercampur dengan idea gila-gilanya berhasil jua. Pertunjukan fesyen boneka bertali tersebut merangkul gelaran ‘paling diingati’ dan ia mendorong Scott untuk tidak mahu menoktahi gagasan atau konsep itu. Scott membawanya dan menjadikan ia tema utama sepanjang musim bunga panas kali ini.
Scott menugasi Steven Meisel untuk menangkap gambar-gambar kempen, yang menampilkan model-model seperti Bella Hadid, Irina Shayk, Yasmin Wijnaldum, Julia Nobis dan Achenrin Madit. Kempen yang bertajuk ‘No Strings Attached’ ini memperlihatkan Hadid, Shayk, Wijnaldum, Nobis dan Madit menjadi boneka bertali dan saiz mereka sebesar saiz sebenar manusia. Mereka menyandiwarakan karakter boneka, dengan tali-tali panjang berikat pada tubuh masing-masing dan seolah-olah mereka dikawal oleh si dalang.
Setanding pertunjukan fesyennya tahun lalu, Scott mengembalikan aspek glamor dalam kempen Moschino SS 2021 kali ini. Dari segi dandanan dan penataan gaya kelima-lima modelnya pun lebih tertumpu kepada rupa elegan. Namun, Scott mengaitkan rupa elegan itu dengan tema boneka bertali kerana barangkali dia tidak mahu kempen fesyen tersebut terasa keterlaluan seriusnya. Lantaran itu, kempen fesyennya nampak glamor, very-fashion tetapi turut hadir sekali visual keanak-anakan dan nakal.
Apa pandangan anda?