Posted on September 1, 2020
Lady Gaga menang besar di anugerah MTV Video Music Awards 2020 semalam. Dia raih Song Of The Year, Artist Of The Year, Best Collaboration, Best Cinematography dan MTV Tricon Award. Satu kepuasan buat dirinya. Dahlah disaingi keadaan sekarang ini yang berdepan dengan pasca-pandemik dan tanggapan orang tentang ‘2020 is cancelled’, Lady Gaga yang telah ‘menang besar’ itu membuktikan bahawa tahun 2020 adalah tahun yang bermakna.
Apalagi album studio keenamnya yakni Chromatica, – yang memuatkan lagu duetnya bersama Ariana Grande ‘Rain On Me’ – yang dilepaskan ketika sedunia berkurung disebabkan COVID- 19 dan album tersebut hanya mendapat favorable reviews, banyak pula tercalon dalam VMAs 2020 kali ini. Bila Lady Gaga meraih anugerah Tricon dan Artist Of The Year, ternyata album Chromatica itu umpama mendatangkan tuah buat dirinya.
Namun ada satu perkara yang memusatkan perhatian kita pada Lady Gaga semalam. Selain kemenangannya, penampilan rencaman Lady Gaga yang disempurnakan pelitup muka – pelbagai rekaan pelitup muka – adalah antara tumpuan di VMAs. Aneka ragam rupa penampilan Lady Gaga, menghiasi persada pentas VMAs! Gigih dan dia rela bertukar-tukar pakaian, selaraskan penampilan dengan setiap satu anugerah yang diterimanya. Bukan sahaja bertukar pakaian untuk persembahan, malah untuk upacara menerima anugerah. Dari karpet merah ke persembahan kemudiannya menerima anugerah…hmm, Lady Gaga at Met Gala 2019 all over again. Ingat lagi?
Setiap penukaran gaya itu, disertakan sekali penukaran pelitup muka. Sewaktu Lady Gaga menerima anugerah Best Collaboration untuk lagu ‘Rain On Me’, dia naik ke pentas menggayakan dress couture technicolour rekaan Iris Van Herpen, yang dipadankan bersama pelitup muka berona merah jambu ala-ala topeng BDSM bertemu topeng Bane, yang direka oleh Cecilio Castrillo. Beralih ke penampilannya ketika membuat persembahan pula, Lady Gaga menyarung pakaian rekaan Vex Latex dengan pelitup muka yang siap ada teknologi reaktif bunyi hasilan kolaborasi Smooth Technology dan Diego Montoya.
Lady Gaga memakai dress couture Iris Van Herpen & pelitup muka Cecilio Castrillo
Persembahan ‘Rain On Me’ Lady Gaga bersama Ariana Grande. Lady Gaga memakai pakaian custom Vex Latex bersama pelitup muka Smooth Technology X Diego Montoya
Lady Gaga turut menyarung gaun kembang pemenang CFDA tahun lalu, yakni himpunan Christopher John Rogers musim luruh dingin 2020 ketika menerima anugerah Song Of The Year. Kelembutan dan elemen dramatik gaun tersebut dimadukan lagi bersama pelitup muka bertanduk yang dihasilkan oleh Lance Victor Moore. Dan bila Lady Gaga menerima anugerah Artist Of The Year di VMAs semalam, dia menggayakan bodysuit rekaan Valentino dan ia dipadankan dengan pelitup muka mesh metalik daripada MaisonMet.
Lady Gaga dalam gaun kembang Christopher John Rogers & pelitup muka Lance Victor Moore
Lady Gaga menyarung rekaan Valentino & pelitup muka oleh MaisonMet
Pujian buat Lady Gaga kerana dia tidak meminggirkan terus hal keadaan kemelut dunia sekarang dan atas dasar itulah dia mengenakan pelitup muka dengan setiap penampilan over-the-top-nya. Sewaktu membuat kemunculan di atas pentas, Lady Gaga sempat melontarkan mesej, “Wear a mask. It’s a sign of respect”. Yes Mother Monster! Sungguhpun rekaan pelitup muka Lady Gaga ada yang kelihatan meraban dan aneh, sekurang-kurangnya dia tunduk dengan keadaan kelaziman baharu yang menghendaki semua orang memakai pelitup muka, kan?
Apa pandangan anda?