Posted on November 18, 2020
Di tengah-tengah kalut-malut pandemik COVID-19, pengasas jenama fesyen lokal Larney, yakni Zura Zabidi berasa optimistik. Zura sekuasa-kuasanya cuba untuk menanam semangat positif dan tidak melihat kemelut pandemik ini sebagai satu kekangan buat dirinya. Ia mendorong diri Zura untuk memulakan sesuatu usaha.
Tidak acuh sama ada ia akan ‘bertemu’ jaya atau hampa, sekali lagi, Zura optimis. Lantas, dia tidak teragak-agak melahirkan satu koleksi yang diinspirasikan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (atau PKP) dan memperkenalkan ia sebagai koleksi kapsul Larney! Bila disoal, apakah matlamat koleksi kapsul PKP Larney, jelasnya, ia umpama ‘hadiah’ istimewa Zura buat pencinta-pencinta Larney. Helaian-helaian atau ceraian-ceraian yang bukan direka untuk acara-acara tertentu sahaja, malah ia bisa dipakai pada bila-bila masa. Baik dipakai ketika sepanjang PKP berada di rumah mahupun dipakai sewaktu bekerja dari rumah.
Terpulang kepada si pemakai. Boleh jadi ia dipakai sewaktu pasca-pandemik, contohnya untuk ke acara sosial, berlibur bersama teman, untuk sambutan perayaan dan seumpamanya. Pendek kata, koleksi kapsul ini dicocokkan dengan senario manusia masa kini. Helaian-helaian atau ceraian-ceraiannya boleh suai dengan apa jua keadaan.
“Menyedari hakikat itu, Larney mengambil inisiatif dengan melahirkan Capsule Collection 2020 by Larney, yakni seleksi pakaian yang boleh dipakai pada bila-bila masa.”
Pada kesempatan mengeluarkan koleksi kapsul ini, Zura tidak mengabaikan faktor krisis ekonomi yang melanda masyarakat sejagat. Kata Zura untuk memastikan kelancaran jualan produk-produknya, “Pakaian Larney dijual pada harga yang berpatutan.”
Kecekapan Zura telah mengajak kami untuk mahu menemu ramahnya secara eksklusif. Kami mendekati Zura, untuk mengenali dan memahami dengan lebih dalam lagi tentang Larney serta koleksi kapsul PKP-nya itu.
BERSAMA ZURA ZABIDI, PENGASAS LARNEY
Sejujurnya, bagaimana jenama Larney mula diasaskan?
Zura : Ia tidak dirancang dan bermula daripada hobi saya. Saya seorang yang suka membeli-belah pakaian di atas talian dan sayangnya, saya tidak pernah puas dengan apa yang telah dibeli. Bukan tidak puas kerana rasa seperti tidak cukup, rasa tidak puas kerana ia tidak mencapai kemahuan saya. Contohnya dari segi saiz serta rekaannya. Adakalanya, ia ill-fitting.
Lalu, saya mengambil langkah untuk pergi ke kelas menjahit, belajar menjahit sendiri dan belajar seni reka fesyen. Sungguhpun latar belakang saya adalah lapangan kejuruteraan, ia tidak menggencat niat saya untuk belajar tentang seni reka fesyen dan cuba untuk memulakan bisnes pakaian sendiri.
Dan kamu cuba jual pakaian-pakaian yang kamu jahit sendiri itu?
Ya, betul. Setelah saya berjaya menjahit pakaian sendiri, pakai dan memperagakan ia di hadapan teman-teman lain, ia mengundang pertanyaan mereka. Ada yang menanya di mana saya beli pakaian tersebut dan kemudiannya, saya cuba menjual pakaian-pakaian yang saya jahit itu sendirian. Tidak sangka, ada yang mahu menempah daripada saya. Jadi saya pun buatlah dalam lebih kurang 30 helai untuk dijual.
Lama-kelamaan, ia membuka mata saya dan memberangsangkan diri saya untuk membina jenama sendiri. Maka, lahirnya Larney – yang sudah bertapak selama hampir lima tahun sudah.
Apakah maksud Larney?
Perkataan Larney itu dikutip daripada perkataan Latin yang membawa maksud “mewah” atau “luxury”. Kerana itu yang saya mahu, yakni nampak mewah dari aspek rekaan tetapi harganya mampu-milik.
Siapa yang menjaga bahagian kreatif Larney? Apakah kamu sudah memiliki team sendiri atau kamu masih lagi menjaga creative direction?
Saya masih lagi menjaga creative direction Larney, walaupun sekarang Larney sudah ada pasukan kreatifnya sendiri. Alhamdulillah, we are growing. Dan sekarang, fokus Larney adalah untuk menubuhkan pasukan pemasaran dan digital pula. Insya Allah.
Bercakap tentang Capsule Collection 2020 by Larney, siapa target market Larney?
Dari dahulu lagi sasaran Larney adalah perempuan-perempuan muda dan berkerjaya. Kami membayangkan sosok-sosok perempuan yang tegas dalam pendiriannya, seorang yang bijak mengurus baik dari segi kerjanya mahupun rumahtangganya dan yang paling penting, bijak berfesyen. Perempuan-perempuan Larney datangnya daripada pelbagai profil – sama ada dia berhijab atau tidak, tua muda, menyukai gaya-gaya modesty dan seorang yang ultra-moden.
Target market Capsule Collection 2020 by Larney pun sama. Kami masih tidak beranjak daripada sasaran tersebut.
Larney dikenali dengan identiti lisu-nya. Adakah koleksi kapsul ini masih lagi mengekalkan butiran lisu?
Sudah tentu! Bila menyebut nama Larney, orang akan ingat butiran lisu. Our pleated skirt is our best seller. Lantaran itu, aspek butiran ini dikekalkan dan apakala Larney mengeluarkan himpunan baharu, butiran lisu tidak dipinggirkan. Dan jika kamu menyoal sama ada saya, secara peribadinya suka butiran lisu… jawapannya, ya! Saya suka lisu!
Butiran lisu memudahkan saya dan pencinta-pencinta jenama Larney. Tidak perlu bersusah-payah untuk menyeterika dah. Bayangkan kaum ibu yang sibuk bekerja atau ada bisnes sendiri dan tidak ada masa untuk menyeterika pakaiannya. Butiran lisu pada helaian-helaian atau ceraian-ceraian Larney mencadangkan practicality itu.
Mengapa koleksi kapsul Larney pilih untuk dikeluarkan sewaktu pandemik COVID-19?
Sudah masuk tahun ketiga, selalunya, setiap bulan Ogos, Larney akan mengeluarkan koleksi urban glam – di mana himpunan-himpunannya memfokus pada rekaan-rekaan yang lebih glamor dan untuk acara sosial tertentu. Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah pemikiran dan daya inovasi Larney untuk tidak mengehadkan diri pada rekaan-rekaan glamor sahaja.
Jadi, saya melahirkan koleksi kapsul ini yang lebih menjurus kepada set pakaian yang selesa, lebih releks, senang untuk dipakai dan praktikal. Saya mengutamakan perempuan-perempuan yang duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, mereka yang bekerja dari rumah dan mereka yang terkadang keluar bekerja sewaktu PKP (atas sebab jadual waktu bekerja bergilir-gilir yang diarahkan oleh tempat kerja masing-masing).
Capsule Collection 2020 by Larney menaruh perhatian kepada golongan ini, yang masih tidak mengesampingkan diri daripada memakai sesuatu yang stailish. Waima dia berada di rumah, dia masih mahu nampak fashionable! Every woman wants to feel special!
Dalam erti kata lain, kiranya koleksi kapsul ini adalah “Inside Clothes” – terma yang dicipta ketika berlakunya pandemik COVID-19 dan berkaitan dengan pakaian yang dipakai di dalam rumah semasa WFH.
Ya, lebih kurang begitu. Namun, koleksi kapsul Larney ini tidak hanya dipakai di dalam rumah sahaja. Seandainya sedunia sudah memutuskan rantaian COVID-19, koleksi kapsul ini boleh lagi dipakai ketika pasca-pandemik.
Apakah rekaan yang menjadi fokus dalam koleksi kapsul Larney kali ini?
Kami beralih kepada rekaan-rekaan yang memenangkan aspek keselesaan dan memudahkan pergerakan. Antaranya rekaan-rekaan berbasi selesa seperti kemeja dress kapas yang panjang – yang bisa dipakai sebagai kemeja mahupun outerwear.
Walaupun butiran lisu masih dikekalkan, ada juga rekaan yang kami cuba untuk tidak ‘melebih-lebihkan’ butiran lisu. Kerana kami cuba untuk bereksperimen dari segi siluet serta rekaan Larney kali ini.
Perbezaan ketara koleksi kapsul Larney kali ini dengan yang terdahulu…
Kali ini ia lebih ringkas, lebih clean. Tidak terlalu crowded dari aspek perincian. Pemilihan warna koleksi kapsul ini dicampurkan dengan rona neutral kerana rona neutral adalah identiti kami dan antara yang menjadi kegemaran pencinta-pencinta Larney. Tetapi, kami juga memberanikan diri untuk mencuba rona baharu seperti rona hijau lumut dan biru Prusia atau biru tua. Rona-rona yang tidak pernah diguna oleh Larney sebelum-sebelum ini. Kami menyelit rona-rona baharu untuk tidak menampakkan koleksi kapsul ini bosan dan pada masa yang sama, memudahkan padanan penggayaan si pemakai.
Apa pandangan anda?