Posted on November 17, 2020
Semarak seni yang tiada berkesudahan. Jonathan Anderson dan Loewe sekali lagi memartabatkan seni, memandang karya-karya Ken Price (atau Kenneth Price) – yakni si pengarca yang terkenal dengan karya-karya seni geluh abstrak – untuk himpunan musim holiday atau percutian kali ini!
Seandainya Price (1935 – 2012) masih ada, pasti dia melafazkan terima kasih yang berhujung dengan rasa bangga. Kerana apresiasi terhadap hasil keseniannya berkembang rancak, yang kini dikutip oleh Anderson sebagai inspirasi untuk himpunan Loewe musim baharu. Anderson melumpukkan empat hasil kesenian utama Price – La Palme, Easter Island, LA Series dan Happy’s Curious – dan dia menjadikannya motif atau corak pada rekaan-rekaan dalam himpunan Loewe musim holiday.
Warna-warni terang yang Price selalu guna dalam karya-karyanya serta kesengajaan coret-moret yang menggambarkan lukisan-lukisannya dikutip oleh Anderson sebagai motif cetak pada kemeja-kemeja sutera, baju panas, kemeja T dan seluar-seluar denim. Motif yang sama itu juga diolah menjadi intarsia pada kardigan kashmir. Anderson malah tertumpu benar pada karya LA Series yang menjentik perasaannya. Katanya, mood stilistik atau gaya persembahan karya seni tersebut menggerakkan hatinya. Lalu ia membuahkan ilham untuk Anderson menghasilkan rekaan-rekaan yang potongannya berbasi selesa dan relaks.
Megah berpahat dalam jiwa Anderson kerana dia bersama-sama pasukan Loewe menggunakan motif Price sebaik-baiknya. Terutama sekali bagaimana mereka menerapkan ia sebagai penatahan pada material kulit dan proses pembuatan tersebut memerlukan daya cipta serta kepakaran yang tinggi. Contohnya pada beg Puzzle dan Hammock, serta aksesori-aksesori kulit mini.
Anderson betul-betul mahu menghargai karya seni Price. Tiada mahu mengecai kepercayaan Price serta cinta Anderson sendiri pada seni Price.
Mengapa Price menjadi pilihan Anderson kali ini? Kerana Anderson sudah lama mengagumi hasil-hasil kesenian Price, yang dia lihat sebagai artis yang berani berpapasan arus atau tidak konformis. Kata-kata Price masih berbegar dalam ingatannya, “We’ve been cited as the people who broke away from the crafts hierarchy and substituted so-called ‘total freedom’!” – dan Anderson menukilkan kata-kata itu sebagai sumber inspirasinya.
Melihat karya-karya seni Price sebagai seorang pengarca mengajak Anderson berfikir dari banyak sudut. Ia mengubah daya pemikiran Anderson dalam mengerti pengisian yang cuba disampaikan dan tafsir segala maknanya. Karya-karya seni Price, baik arca atau lukisannya, tidak menjadikan minda Anderson kaku. Apalagi dalam himpunan-himpunan kapsul Loewe yang membenarkan Anderson terdorong untuk membuktikan cintanya pada seni yang sederap melangkah dengan kematanan kraf.
Hasil-hasil kesenian Price yang berulang-ulang bersifat abstrak dan diilhamkan daripada bentuk benda hidup mempengaruhi pemerhatian Anderson yang berperingkat-peringkat. Anderson ‘jatuh hati’ pada sikap tidak kisah dan tenaga yang dapat dia ‘tangkap’ daripada hasil-hasil kesenian Price. Contohnya, rona bertenaga pada wajah kota serta lanskap yang sengaja diolah berupa humor oleh Price dalam salah satu hasil keseniannya.
Himpunan kapsul Loewe X Ken Price sudah mula dijual bermula 12 November minggu lepas
Apa pandangan anda?