Posted on October 13, 2020
Untung orang Sweden diperkenalkan dengan sistem Looop yang mula beroperasi semalam – sistem untuk menjelmakan atau mentransformasikan yang lama kepada yang baharu. Sistem ini muncul atas dasar untuk ‘menutup jurang’ atau ‘lompang’ dalam ekosistem dunia fesyen global dan paling penting ia mampu membantu alam, memastikan kehijauan dunia tak lagi terenggut oleh kesulitan.
Apa sebenarnya Looop? Looop adalah sistem yang diperkenalkan oleh H&M. Ia dicipta atau diwujudkan oleh badan bukan untung H&M Foundation dan kerjasama mereka dengan HKRITA (The Hong Kong Research Institute of Textiles and Apparel) dan Novetex Textiles.
Mengapa Looop dikatakan mampu ‘membantu’ dunia, kerana ia adalah sistem kitar semula. Sistem kitar semula garment-to-garment, yang melumpukkan pakaian-pakaian yang tidak dikehendaki lagi atau pakaian-pakaian buangan untuk ditransformasikan kepada pakaian-pakaian baharu, bagi mengurangkan kadar pembaziran. Projek sistem kitar semula ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan komitmen H&M bagi memapankan aspek kelestarian dalam fesyen.
Sistem ini dipanggil Looop, yang dikutip daripada perkataan ‘Loop’ oleh H&M, untuk diasosiasikan dengan prinsip mereka yakni “closing the loop on fashion” atau seperti yang dinyatakan awal tadi berkaitan dengan ‘menutup jurang’ dalam fesyen.
Buat julung kalinya, sistem kitar semula Looop garment-to-garment ini ditampilkan di Sweden secara umum, untuk pelanggan-pelanggan H&M. Secara spesifiknya, di salah satu gedung H&M di Drottninggatan. Di mana masyarakat umum boleh menyaksikan mesin kitar semula sebesar saiz kontena dan proses pengkitaran semula dengan mata kasar!
Bagaimana sistem Looop beroperasi? Ia menggunakan teknik yang menghimpun pakaian-pakaian lama, yang tidak dikehendaki lagi atau yang terbuang ini dengan cara ia dibersihkan terlebih dahulu, kemudiannya dicarik-carik untuk ditukarkan kepada rupa fiber. Selepas dicarik-carik, ia akan dipintal dan diputar, ditukarkan pula kepada bentuk bebenang baharu yang dikait semula untuk menjadi pakaian-pakaian baharu. Tidak membabitkan penggunaan kimia atau air yang berlebihan, kerana tujuan H&M adalah memastikan impak ke atas persekitaran serendah mungkin ketika menghasilkan pakaian-pakaian baharu ini.
Cita-cita yang cuba diukir oleh H&M pabila mempertontonkan secara langsung proses kitar semula di Sweden ini adalah untuk menginspirasikan orang umum tentang mengelakkan pembaziran dan tidak terburu-buru dalam membuang pakaian-pakaian yang tidak dikehendaki lagi. Ini juga berkaitan dengan langkah perubahan H&M terhadap perjuangan sustainability in fashion serta kesedaran tentang kepositifan iklim.
Proses kitar semula pakaian – bermula daripada menghimpun pakaian-pakaian terbuang kepada proses ia dicarik-carik sehinggalah dipintal menjadi bebenang baharu dan dikait semula dipertontonkan secara langsung kepada orang umum
Apa pandangan anda?