Posted on November 23, 2020
Louis Vuitton menyingsatkan dunia pembuatan jam atau horologi dengan dunia pengembaraan. Mematuhi warisan, Louis Vuitton berinovasi dari aspek memelihara seninya yang seiring sejalan dengan sesuatu yang sangat-sangat ikonik. Bercakap fasal integrasi dua perkara dan inovasi, perihal yang sama dikutip oleh jenama Fendi. Dalam pada kesempatan musim monsun sekarang, Fendi bekerjasama dengan K-Way dan memperkenalkan himpunan jaket adang angin untuk semua jantina – yang tidak hanya praktikal, malah juga disatukan dengan nada gaya chic.
Ayuh! Jangan buang masa. Kita lihat semua yang baharu bulan November ini!
#STAILelaki LATEST ADDITION : JAM TRUNK TABLE LOUIS VUITTON
Bayangkan eskapisme untuk mencari ketenangan hati, membawa sekali segala beg peti besar. Beg-beg peti yang padat dengan motif monogram Louis Vuitton, ‘bertimbun-timbun’, sebagai tanda menghargai falsafah ‘Art of Travel’ Louis Vuitton. Bagaimana seandainya ada beg peti sebegini yang besaiz mikro atau mini?
Sememangnya, ada. Louis Vuitton memperkenalkan jam trunk table, sebagai tambahan baharu dalam keluarga aksesori jam-nya dan ia hadir bersama beg peti monogram bersaiz kecil! Menyatukan kecemerlangan seni pembuatan jam dengan seni dunia pengembaraan, jam trunk table Louis Vuitton ini dicipta mengikut standard jam tangan yang sebetulnya – di mana ia ‘menyalin’ semula rekaan dial cekung Tambour Moon Dual ; menampilkan zon waktu berganda yang penting buat si pelimbang serta dial terang yang mempamerkan dua belas flags berwarna-warni. Manakala diameter keluli berhemisfera-nya yang berukuran 80mm pula diilhamkan daripada kronometer abad ke-18 yang dilengkapi tools untuk pengemudian arah jarak jauh dan sebagainya.
Tidak hairan mengapa jam trunk table yang bersifat travel-savvy ini tampil dalam case yang mereplikakan bentuk beg peti monogram Louis Vuitton. Beg peti monogram Louis Vuitton yang sudah beratus tahun didedikasikan untuk dunia pengembaraan dan sudah tentu, ia dicocokkan mengikut saiz jam trunk table tersebut. Dibaluti oleh kanvas Monogram Eclipse pada bahagian luar dan bahagian dalamnya disempurnakan dengan microfiber.
Melengkapkan segala kehendak Louis Vuitton : beg peti simbolik dan jam trunk table, benar-benar merai falsafah Art of Travel!
BAB KEDUA JAM TANGAN GRIP GUCCI YANG GENDERLESS!
Kita masih lagi berborak mengenai perihal jam tangan. Kali ini, perihal jam tangan beralih pula ke sesuatu yang menjulang azam marcapada dan mengisi janji kemahuan generasi masa kini. Yakni berkaitan dengan kekaburan jantina!
Gucci-lah yang mengangkat azam tersebut, menerusi rangkaian jam tangannya : jam tangan genderless Grip yang direalisasikan atas dasar visi Alessandro Michele. Jam tangan yang diinspirasikan oleh pita cengkam yang selalunya peluncur papan selaju guna pada deck atau papan mereka.
Dan, jam tangan Grip ini sekali lagi menjadi subjek utama untuk projek kolaborasi Gucci! Ia menampilkan barisan penggemar sukan-sukan jalanan, seraya menyarung jam tangan Grip yang menampilkan dial berbentuk segiempat yang tidak berbucu.
Penggemar-penggemar sukan jalanan ini dihimpunkan oleh Gucci dan mereka datang dari pelbagai ceruk kota besar – dari Paris, Berlin, Chengdu, New York sehinggalah ke Los Angeles. Antara wajah-wajah yang dipaparkan dalam bab kedua projek ini termasuklah peluncur papan selaju non-binary dari Amerika yakni Leo Baker, ahli muzik yang juga seorang peluncur papan selaju Cher Strauberry, pemain kasut roda asal Berlin yakni Sara lancerio dan pemain longboard dari China yakni Duo Duo.
Projek ini turut bekerjasama dengan beberapa fotografer seperti fotografer yang berpangkalan di New York yakni Marie Tomanova dan Miriam Marlene Waldner, asal Berlin.
Projek kolaborasi ini bukan sahaja bertujuan untuk mendukung sukan jalanan, malah juga mengongsikan cerita penggemar-penggemar sukan jalanan ini bersama audiens segenap dunia. Tidak hanya memfokuskan pada peluncur papan selaju, Gucci menerokai pelbagai jenis sukan jalanan.
KOLEKSI KAPSUL FENDI X K-WAY
Kami kira bulan November adalah bulan ‘X’. ‘X’ yang dimaksudkan adalah ‘kolaborasi koleksi kapsul’ dan datang-datang sahaja November, pasti akan ada bermacam-macam kolaborasi. UNIQLO X Jil Sander yang muncul kembali, Moschino X Palace yang begitu mengujakan dan yang terbaru… Fendi X K-Way!
Sesuai dengan musim monsun atau musim hujan yang ‘menggila’ sekarang, Fendi memilih jenama yang popular dengan rekaan jaket hujan, yakni K-Way sebagai rakan kolaborasinya. Bayangkan… kemewahan yang sudah menjadi signature Fendi bertemu dengan aspek kefungsian yang tak makan dek zaman daripada K-Way. Apa yang kita dapat? A perfect combo.
Menyediakan rekaan untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak, estetika yang diketengahkan oleh Fendi X K-Way adalah berteraskan imej cool dan urban. Logo FF yang signifikan buat Fendi, penuh menghiasi jaket adang angin K-Way yang boleh diterbalikkan dalam rona senada. Jaket ini tidak mengabaikan identiti K-Way yang sering memanfaatkan kefungsian – di mana ia bisa dilipat ke dalam poketnya dan mudah dibawa sebagai pouch.
Diperbuat daripada material nilon dan ada yang bahagian lining-nya disempurnakan oleh material bulu mink, ia hadir dalam pelbagai rona. Rona hitam digabungkan dengan emas untuk wanita, rona biru tua untuk lelaki dan rona hitam serta merah jambu untuk kanak-kanak. Selain itu, jaket adang angin ala bomber yang senteng pun ada, khusus untuk wanita.
KEMPEN HOLIDAY 2020 PRADA MENYANDIWARAKAN SINEMA HITAM PUTIH
Penulis Inggeris terkemuka, Candice Carty-Williams diundang oleh Prada untuk menulis sebuah cereka pendek. Cereka pendek yang membingkaikan pelbagai perspektif, menghidupkan ruang serta sudut berbeza dalam lingkungan watak protagonis. Ia mempamerkan kematangan visual dari aspek sinematik, percubaan untuk menerbitkan ‘bahasa’ yang menyerupai filem sebenar.
Bagi menyambung keseriusan ‘sifat’ sinematik itu, wayang gambar hitam putih dicedok untuk menghormati seni filem noir. Malah ia menghubungkan semula Prada dengan detik-detik terdahulu yang memiliki nilai sentimental. Merujuk sejarah untuk diadatapasikan dengan generasi digital masa kini.
Inilah yang digambarkan oleh Prada dalam kempen musim Holiday 2020-nya yang terbaru! Syot-syot yang ditangkap oleh Steven Meisel, berdasarkan cereka pendek asli hasil tulisan Carty-Williams, mencadangkan nada dramatik dan memaparkan pelbagai penggalan cerita. Ia menampilkan lima watak utama – Freja Beha, Maty Fall, Mao Xiaoxing, Rudolfs Valbergs dan Merlijne Schorren. Mereka melakonkan aksi masing-masing di sebuah villa terpencil di Itali, yakni Villa Gnutti yang pernah suatu ketika masa dipopularkan oleh Helmut Newton menerusi penggambarannya pada tahun 1981.
Penggalan imej dalam kempen tersebut sengaja diolah berupa jump shots, untuk menyuapkan akal kita dengan rasa tekanan, terkadang bimbang, terkadang nampak romantik dan terkadang seperti membangkitkan perasaan melankolik. Umpama dikaitkan dengan realiti, mimpi dan imaginasi.
Setiap aksesori serta produk Prada diberi penegasan dalam kempen ini. Kesemuanya kelihatan besar dan menguasai pandangan kita. Tujuannya untuk menambat perhatian audiens dan menjadikan aksesori-aksesori serta produk-produk Prada sebagai karakter dalam kempen ini.
Apa pandangan anda?