Posted on June 16, 2020
Rentetan perjalanan karier Matthew M Williams telah melayakkan dirinya untuk dilantik sebagai pengarah kreatif Givenchy yang baharu! Sidney Toledano, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH, melihat perkembangan Matthew dalam lapangan fesyen dan menaruh keyakinan ke atas Matthew untuk mengepalai rumah fesyen Givenchy, selepas pengunduran Clare Waight Keller sewaktu kegentingan pandemik COVID- 19 bulan April yang lalu.
Terbetik khabar Matthew M. Williams sebagai pengarah kreatif Givenchy semalam dan simbahan ucapan tahniah menghujani akaun Instagram milik Matthew serta Givenchy. Bakal mengeluarkan himpunan sulung pada bulan Oktober nanti di Paris, Matthew bertindak dalam menyelia kedua-dua himpunan womenswear dan menswear.
Tetapi, mengapa Matthew yang dipilih dan siapa dia?
Perkara Tentang Matthew : Pengasas Alyx & Obses Subbudaya Anak Muda
Matthew M. Williams adalah pengasas jenama Alyx – 1017 A L Y X 9SM. Jenama Alyx yang diasaskan pada 2015 di New York kemudian berpangkalan di Milan, meraih perhatian dan diterima sejagat sungguhpun keberadaannya dalam lapangan fesyen dianggap baharu. Matthew berjaya melumpukkan peminat-peminat Alyx dan di antaranya adalah selebriti ternama, termasuklah Bella Hadid. Budaya jenama Alyx lebih terarah kepada anti-establishment, menjulang aspek kemudaan dan bersifat moden.
Cita rasa Matthew yang taasub pada subbudaya begitu menebal – seperti menggemilangkan parti rave 90-an di Eropah, budaya anak-anak muda skateboarder dan New Wave – dan mendorong dirinya untuk menyimpul ia sebagai estetika Alyx. Sehingga menjadikan Alyx sebagai jenama yang punya kualiti distingtif.
Barangkali Matthew yang mengerti benar budaya anak muda ini adalah faktor kepada pelantikan dia di Givenchy? Apalagi pasaran semasa yang sudah berpusat pada anak-anak muda. Apakah Givenchy akan mengakomodasikan identitinya dengan budaya atau estetika Matthew?
Matthew Adalah Family Man
https://www.instagram.com/p/B7J0cD6pq-C/
Nama jenama Alyx diambil daripada nama anak perempuannya yang bernama Alyx. Perniagaan jenama milik Alyx ini diuruskan sepenuhnya oleh isteri Matthew, yakni Jennifer yang menyelia bahagian jualan. Kiranya, Alyx adalah perniagaan famili. Menurut temu bualnya bersama The New York Times, Matthew bertemu Jennifer di salah satu butik di Los Angeles. Ketika itu, Jennifer memakai helaian daripada Dries Van Noten dan Matthew menegurnya, “Those are Dries, right?” Daripada perbualan tersebut, Matthew dan Jennifer berkenalan, lalu membina keluarga. Akhirnya, menguruskan jenama Alyx bersama-sama.
Teman Baik Virgil Abloh, Kanye West & Lady Gaga
Matthew dan Virgil Abloh sama-sama mendewasa sebagai pereka fesyen secara bebas. Matthew bekerja rapat dengan Lady Gaga sebagai pengarah kreatif untuk beberapa projek khas, seperti konsert world tour Lady Gaga dan dia juga pernah bekerja untuk Kanye West. Berbicara tentang Kanye, semua sudah maklum, yang Virgil dan Kanye adalah kawan rapat. Jadi ketika Virgil bekerja dengan Kanye – pada masa ini, Matthew sudah bekerja dengan Lady Gaga – Matthew dan Virgil mula berkenalan. ‘Jodoh’ pertemuan Matthew dan Virgil yang dikatakan sekepala, telah beranjak kepada kerjasama. Di mana mereka berdua mengasaskan #BEENTRILL – platform seni serta muzik yang bermula dengan konsep DJ-ing, untuk pengalaman hiburan malam hari.
Sungguhpun tidak lagi terbabit dengan Been Trill, Matthew dan Virgil aktif dalam lapangan fesyen. Virgil kini mengepalai Louis Vuitton, manakala Matthew pula sudah berperanan sebagai pengarah kreatif Givenchy.
Namun, pelantikan Matthew di Givenchy tetap menjadi persoalan umum dalam pada dunia sekarang yang cepat tersinggung dan sensitif. Bila Givenchy menyunting Clare Waight Keller sehingga menjadi ‘baris kepala’ “pengarah artistik wanita pertama Givenchy setelah lebih enam dekad” dan dijangka akan duduk di kerusi pengarah artistik tersebut selama mungkin, orang meneka ada ura-ura people of colour atau POC pertama pula yang akan dipilih sebagai pengarah kreatif baharu Givenchy. Sebaliknya, tidak. Tambahan lagi, orang menjangka Givenchy melantik Matthew kerana estetikanya yang dipengaruhi oleh budaya streetwear dan bila ia dikaitkan dengan faktor tersebut, ada yang seperti tidak bisa menerima – kerana sedari dulu lagi, sebahagian besarnya dimulakan oleh bangsa berkulit hitam. Makanya, timbul satu lagi persoalan mengapa Black creatives tidak dijadikan opsyen pengarah kreatif Givenchy.
Apa pandangan anda?