Posted on March 3, 2021
“Where shalt we begin?” Megan Thee Stallion diibaratkan sebagai Regina George dalam filem ‘Mean Girls’. Kemunculan Thee Stallion yang megah menjangkah keluar ke padang ragbi, bercampur ayunan longlai, seraya menjerat lelaki-lelaki di padang tersebut dengan kecantikannya. Kehadirannya itu membara perasaan orang lain, tidak kurang juga yang menyanjungnya. Ada yang seakan-akan menelan kepalsuan mesra Thee Stallion, ada yang memuji dan ada yang ‘menguar-uarkan’ Thee Stallion mengunci matanya pada Medusa… sehingga membuatkan ular-ular Medusa ‘bersatu’?
Mengumpul kisah serta khabar angin Thee Stallion, dipunggah dan dibawa balik untuk diceritakan kepada orang lain. Tidak membiarkan ia ‘bertugu’ dalam mulut. Babak yang dilihat ini memang sebiji seperti babak dalam filem ‘Mean Girls’ – sewaktu pengenalan audiens kepada watak Regina George!
Good job, COACH! Kerana menelanjangi glamor dan tidak mengendahkan yang lain. Sebaliknya mengembalikan keseronokan dan kegilaan dalam kempen fesyen baharunya. Meminjam plot daripada cult classic (seperti filem ‘Mean Girls’) untuk mencorakkan siri #CoachForever2, yang dipersembahkan oleh Coach TV – presentasi digital Coach untuk himpunan musim luruh dingin 2021 dan semuanya diarahkan oleh Frances Frances.
Bukan sahaja ‘Mean Girls’, Coach malah mengambil cult classic serta budaya pop yang lain untuk membentuk siri Coach Forever 2. Antaranya siri ‘Friends’, bilik berita ala bacaan berita era 90an dan rangkaian membeli-belah dalam rumah. Coach tidak lagi terbelenggu dengan idea lazim dan tidak perlu nak mencipta cereka fesyen yang terlalu berseni sehingga mengaburi kepala kita, sampai kena mengasah fikiran. Tidak. Cukuplah sekadar menceritakan ia dalam garapan straight to the point, berbantukan budaya pop yang relatable dengan audiens. Dalam keadaan dunia sekarang terdera oleh pandemik, keseronokan dan kegilaan yang Coach tampilkan inilah yang kita perlu.
Komen & permintaan orang kepada Coach untuk menghasilkan pakaian yang Megan Thee Stallion pakai – baju panas, skirt pendek & stokin yang sarat motif monogram
Tentang cereka ‘Mean Girls’ Thee Stallion pula, ia berjaya merangkul perhatian, sekali gus meraih permintaan orang. Secara spesifiknya, sepersalinan pakaian yang Thee Stallion pakai dalam cereka tersebut! “Can you make one similar for the general public? It’s amazing,” tulis salah seorang yang meminta Coach untuk menghasilkan pakaian yang sama dipakai oleh Thee Stallion. Ada juga yang bertanya di mana dia boleh beli baju panas serta skirt yang Thee Stallion pakai. Balas Coach? Pakaian itu direka khas untuk Thee Stallion dan hanya untuk cereka fesyen tersebut. Tidak dijual kepada umum.
Berdasarkan jawapan Coach lagi, look Thee Stallion itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan maklum balas yang baik. Jelas mereka, “We’re going to feed this back to our design team!” Tidak mustahil Coach akan menghasilkan sepersalinan pakaian ini, semata-mata mahu memenuhi permintaan orang ramai! Kiranya, Megan Thee Stallion berjaya.
Apa pandangan anda?