Posted on May 5, 2020
Met Gala 2020 “About Time : Fashion And Duration” sepatutnya berlangsung hari ini, 4 Mei 2020 (ikut waktu dan hari di New York) dan pada masa sama ia mengiringi usia The Met yang sudah lebih sepuluh dasawarsa! Namun atas sebab penularan pandemik COVID-19 dan sejagat kini berpingit dalam rumah, Met Gala 2020 terpaksa ditunda tarikhnya. Buat pertama kalinya, acara yang menghimpun selebriti, personaliti serta insan-insan terpenting fesyen ini tak lagi diadakan mengikut hari serta tarikh yang sudah menjadi tradisi Met Gala – yakni first Monday in May.
About Time : Fashion And Duration adalah apresiasi ke atas fesyen-fesyen terdahulu dan bagaimana evolusi atau perubahannya sebaik sahaja merentas dari satu jangka masa ke masa yang lain. Ia mengepung pemerhati serta pencinta fesyen untuk menghargai, malah menjiwai rentetan peristiwa fesyen yang lama dengan yang baharu. Bagaimana suatu lanjutan fesyen itu disambung gaya atau rekaannya – digarap ke dalam bentuk revolusi atau melalui perubahan – mengikut peredaran masa, sehingga ‘merawat’ ingatan kita fasal titik rujukannya. Umpama wujudnya ‘dialog’ di antara yang lama dengan yang baharu. Bukan ‘dialog’ sekadar mengobrol tetapi ia adalah ‘dialog’ di mana yang lama memesani yang baharu bahawa beginilah asalan aspek fesyen itu.
Sepertikan proses seni (dalam pembelajaran seni) : ada imitation dan stylization. Mendidik kita bahawa segala benda itu merujuk pada yang satu – boleh jadi ada yang menganggap ia bersifat imitatif – dan penggayaannya diubah mengikut selera semasa si pengkarya. Terpulang kepada siapa yang mentafsirkannya dan bagaimana ia ditafsirkan. Makanya, tetap akan ada perkaitan yang terjalin : di antara yang lama dengan baharu, malah dengan masa akan datang.
Inilah yang cuba diterokai oleh The Costume Institute dan Vogue dalam menerbitkan gagasan untuk tema Met Gala tahun ini. Pendek kata, ia sebenarnya mengkaji atau dalam bahasa mudahnya, melihat semula perhubungan menerusi bentuk, siluet, teknik, fabrik dan seumpamanya. Sebagai contoh, tanpa disedari, rupa-rupanya ada ‘imbuhan’ stail Directoire abad ke-18 yang tersesuai dalam fesyen 90an Deconstructionism, yang pernah dipopularkan oleh pereka-pereka fesyen Belgian. Atau fesyen yang dimangkinkan oleh revolusi Perancis yang menyingkir terus gaya Rococo dahulu, tersisip menjadi bentuk mahupun siluet gaya The New Romantic pada akhir era 70an. Pendek kata – seperti mana perkataan yang digunakan oleh Vogue – ia dikaitkan dengan garis masa yang “disruptive”. And in other words, it goes back to fashion cycle.
Seandainya Met Gala jadi diadakan hari ini, Nicolas Ghesquiere, Lin-Manuel Miranda, Emma Stone dan Meryl Streep bertindak sebagai co-chair. Seperkara lagi, Nicolas mempersembahkan himpunan Louis Vuitton musim luruh dingin 2020 pada bulan Mac lepas, yang menghidupkan ilhamnya bersendikan tema Met Gala tahun ini. Di mana dia mengamati kembali perjalanan masa fesyen pada abad ke 18, kemudian menyemat ia bersama kecintaannya pada ruang lingkup gaya futuristik, sehingga berjaya menjadikan rekaan-rekaannya nampak cohesive.
Apa pandangan anda?