SEARCH

MFW F/W 2019 : Topeng Menghidupkan ‘Persona Grata’ Gucci?

MFW F/W 2019 : Topeng Menghidupkan ‘Persona Grata’ Gucci?

Percaturan sains politik dalam fesyen? Krisis identiti? Apa yang meruntun hati Alessandro Michele dan Gucci kali ini? Sehingga pertunjukannya semalam dilewati topeng-topeng?

Kata-kata Hannah Arendt menyusup ke telinga Alessandro Michele. Alessandro menggenggam teguh adicita Hannah, mencungkil ajarannya tentang identiti sosial. “Hanna Arendt reminds us that we are persons when we choose the mask through which we appear on the world’s stage,” tersusun menjadi tonggak Gucci musim luruh dingin 2019. Sesudah itu, topeng memainkan peranan penting untuk membayangkan aspirasi Alessandro.

Dalam gelap memekat semalam, laungan bunyi auman menggeram dengan tingkah genderang di awal pertunjukan bagai ‘mengganasi’ suasana. Tidak sama dengan penghormatan buat Perancis musim lalu yang sedikit melodramatik dan merawan hati, sebaliknya kali ini, ia menyandiwarakan keekstreman. Dengan barisan topeng yang pelbagai lagi, pemahaman Alessandro terhadap ajaran Hannah bagai melarat.

Jelasnya, topeng itu bermain dengan pancaindera kita, memisahkan tanggapan – berbentuk persembunyian atau mempamerkan diri, penyataan jelas mahupun berupa perlindungan dan mengiaskan keangkuhan atau kerendahan hati. Pada masa sama, Alessandro sepertikan ‘beranekdot’ sebenarnya. Menguji akal budi kita, mungkinkah dia hanya menguntumkan kesinisan?

gucci fall 2019 milan

Topeng yang seakan-akan menggamit gerak isyarat lucah yang dipasangi pancang, umpama meligatkan pemakaian fetisy, menjadi pembuka acara. Terus kita terkenang kembali akan daya tarikan seks yang pernah Tom Ford bawa ke dalam Gucci. Cuma seksualiti itu hanya terletak pada topeng sahaja, tidak pada pakaiannya yang menudungi seluruh tubuh. Malah topeng-topeng asas dalam roman muka ringkas yang bisa kita beli di Japanese dollar store pun menghiasi pentas Gucci musim ini. Rona merah, biru, hijau dan putih – tidak ada hitam, kerana barangkali Gucci tidak mahu mengulang kejadian blackface – meronai topeng-topeng ini. Kami jangka mengapa Alessandro menggunakan topeng sedemikian rupa adalah kerana mahu bermain dengan tafsiran audiens (seperti yang dinyatakan dalam perenggan atas).

gucci fall 2019 milan

Bahu-bahu keras lebar antara yang menjadi perhitungan Alessandro, disempurnakan lagi bersama sut dengan skirt praktikal yang panjangnya paras lutut. Leher penuh ropol yang menggambarkan semiotik Alessandro tentang simbol status turut menjadi butiran utama musim ini. Digabung padan lagi bersama ceraian-ceraian tailoring, mencadangkan pembaharuan. Bercakap fasal tailoring, aspek tersebut begitu ‘kuat’ terlihat di atas pentas Gucci musim luruh dingin 2019. Sut lengkap – baik untuk lelaki mahupun perempuan – memanifestasikan ilham workwear Alessandro yang seolah-olah menyemat semula era ‘Make Do And Mend’.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE