Posted on February 26, 2020
Satu perkataan untuk menggambarkan minggu fesyen Milan FW 2020 atau musim luruh dingin 2020 : unik. New York menggempakan dunia fesyen dengan sandiwara ekstravaganza, manakala London is being London-lah – daripada gaya klasik London ke gaya eksentrik. Di Milan pula, ia sangat mengujakan kerana setiap satu rumah fesyen mengangkat keunikan masing-masing.
Namun dalam pada fesyen masa kini mengagungkan sustainability serta kepelbagaian yang cuba berkembang rancak, minggu fesyen Milan masih lagi kelihatan berat untuk akur dengan hal tersebut. Terutama sekali kepelbagaian. Secara spesifiknya berkenaan dengan diversifikasi tubuh. Hanya Fendi sahaja yang dironai diversifikasi tubuh musim ini. Buat julung kalinya, Fendi menampilkan dua model plus-sized yakni Paloma Elsessser dan Jill Kortleve, lalu mengukir sejarah buat Fendi.
Pertunjukan yang paling ditunggu-tunggu orang, yakni Bottega Veneta mencetus gelombang seni baharu Daniel Lee. Dalam nota pertunjukannya, tertulis “celebrate sublime evolution.” Daniel tidak mencampak jauh sifat mewah Bottega Veneta yang sudah lama terbina. Semangat mewah itu dioborkan olehnya dengan pengamatan gaya selesa dan menyuntik kefungsian. Persembahan co-ed Bottega Veneta kali ini menyenangi penggayaan, tidak mengusutkan pemikiran kita tentang pengolahannya. Misalnya, Daniel memodenkan rekaan sarat jemeki, butiran ruching serta pakaian malam dengan aspek-aspek gaya bersahaja. Dalam erti kata lain, tidak membataskan si pemakai. Sebagaimana jati diri Bottega Veneta terdahulu yang mementingkan keselesaan dan movement.
Sama seperti Daniel Lee memimpin Bottega Veneta yang membangkitkan 1001 persoalan awal-awal dahulu, serasa keterujaan itu sewaktu Walter Chiapponi mempersembahkan sebut Tod’s musim ini. Seriosa Itali kuat mengatur ilham Walter, namun diperkayakan dengan pembaharuan. Pembaharuan yang menafaskan kemudaan, sensual dan lebih condong kepada sesuatu yang memulihkan ingatan kita pada… Bottega Veneta – kerana Walter pernah bernaung di bawah Bottega Veneta sebelum ini. Makanya, estetika Tod’s yang baharu ini ada sedikit-sedikit pengaruh Bottega Veneta, ish. Kami suka juga pada salah satu look Tod’s yang sedikit tomboy, dengan rekaan ceraian blazer serta seluarnya longgar. Nampak relaks untuk musim luruh dingin.
Kami juga tertarik dengan penceritaan Max Mara yang berbicara dengan alam dan mengiaskan fantasi jeladeri sebagai inspirasinya. Fantasinya tentang jeladeri sepertikan mencuit jiwa kita dengan bermacam-macam pandangan. Tentang cinta, harapan, perasaan megah dan sifat berani. Oleh itu, Max Mara menculik segala aspek yang ada kaitan dengan laut seperti simpulan tali kapal serta sifat nautikal sebagai sendi gaya-gayanya. Kot hujan nelayan, kot duffle, butiran ropol-ropol yang selalu terlihat pada seragam lanun juga topi beanie menyempurnakan gambaran Max Mara. Melihat moodboard Max Mara untuk musim luruh kali ini, jelas terang-terangan inspirasi yang dicedoknya.
Moodboard Max Mara untuk musim luruh dingin 2020
Bila bercakap fasal inspirasi juga moodboard, kami di STAIL terus turut sama mahu membentangkan sembilan look (dari rumah-rumah fesyen Milan FW 2020) yang menjadi pilihan dan menyusunnya dengan interpretasi inspirasi kami sendiri – sebagai rujukan gaya kamu nanti!
Bottega Veneta
Nia Long dalam Fresh Prince of Bel Air + perempuan Jazz Era + Intreciatto
Fendi
Nicole Kidman sebagai Virginia Woolf dalam The Hours + Bishop William Buller
Gucci
Little House On The Prairie + ‘Vanity’ lukisan hasil Frank Cadogan Cowper + ‘Fetish’ Christian Louboutin
Max Mara
Simpulan tali kapal + kempen fesyen Ibiza Loewe + filem The Lighthouse
Moschino
Moschino musim luruh dingin 1986 + Outlaws Motorcycle Club + Marie Antoinette
Prada
Yuppie + Scarlet Witch dalam Avengers + filem The Christmas Chronicles
Tod’s
Gaya ‘street’ anak muda 90an + Lady Gaga dalam sut Marc Jacobs
Versace
Punk Vivienne Westwood + Pasukan ragbi British + filem Robin Hood
Apa pandangan anda?