Posted on May 13, 2020
Saat Mira Filzah muat naik gambarnya – gambar #OOTD – menggayakan baju-baju Raya, sejujurnya, ia membangkitkan semangat kami hendak beraya. Mana taknya, semenjak awal April (dalam kita tengah perintah kawalan pergerakan), Mira sakan bergambar memakai baju-baju Raya, berlatarkan rumahnya sendiri… benar-benar terasa suasana berhari Raya. Kemudian, terlihat pula Ain Edruce tak putus-putus berkongsi gambar-gambarnya dalam Instagram, sakan menggayakan baju Raya di rumah… lagilah. Bikin rasa tak sabar untuk merai Hari Raya #NormalBaharu!
Seperkara tentang berhari Raya dalam keadaan normal baharu atau di luar kelaziman, sebenarnya ia tidak ‘mematikan’ semangat kami menyambut Hari Raya. Apalagi bila kerajaan mengumumkan bahawa beraya kali ini tidak seperti sediakala – pulang ke kampung tak dibenarkan, ziarah-menziarahi hanya dalam negeri, yang datang berkunjung pun dihadkan dan tak ada lagi dah rumah terbuka seperti selalu – mungkin ya, segala keriangan itu dirasakan berbeza. Namun, lambat-laun harus mencocokkan diri juga kan, dengan suasana yang menyanggah kebiasaan kita? Hmm, mana tahu, ‘dekad’ baharu Raya 2020 ini adalah permulaan atau ‘tanda aras’ stail beraya unik dan moden pada masa yang mendatang kelak? Insya Allah, we’ll get used to it.
Apa yang kami perasan adalah kebaharuan yang ditampilkan oleh selebriti-selebriti lokal kita yang belum ada-apa lagi, sudah memestakan Raya di akaun Instagram masing-masing! Pendek kata, memuat naik gambar pra-Raya. Baik yang mempromosikan atau bantu memasarkan baju-baju Raya jenama lokal juga jenama sendiri mahupun yang sekadar saja-saja berkongsi gambar #OOTD memakai baju kurung, kebaya dan seumpamanya di rumah – di mana kesemua baju Raya ini daah daripada himpunan Raya tahun 2020. Yang menariknya, ada selebriti-selebriti lokal ini yang sudah disuntik semangat beraya dengan memuat naik gambar-gambar menggayakan baju Raya sebelum bermulanya puasa lagi.
Secara peribadinya, saya suka! Pabila melihat gambar-gambar tersebut dari awal lagi sehinggalah ke hari ini, ia memaniskan senyuman dan membingkaikan keseronokan. Kerana bagai dapat dirasai ‘Hari Raya’ itu. Dalam kepala kita pun berkelana jauh, membayangkan ‘Hari Raya’.
Jadi, sebelum menjelangnya Aidilifitri yang di luar kelaziman (dalam masa dua minggu lagi), kami menghidangkan gaya-gaya Hari Raya 2020 selebriti-selebriti lokal sebagai pencetus semangat kamu!
Apa pandangan anda?