Posted on February 19, 2020
Faktor usia, dengan menampilkan model tua atau sudah lanjut usia bukan kekangan di minggu fesyen New York dan London. Mereka kini dilihat sebagai sumber inspirasi yang bukan sahaja appealing untuk kumpulan yang sama umur, malah generasi muda seperti Gen-Z!
Diversifikasi dalam fesyen kini berjaya memperoleh kemenangan dan mencerdikkan pereka-pereka atau jenama-jenama fesyen untuk tidak gentar pada aspek-aspek saiz tubuh, rupa serta usia. Hari Isnin minggu lepas, penata gaya juga fotografer, Charlie Engman antara yang lantang menghapuskan kepincangan yang berkaitan dengan diskriminasi usia. Charlie – yang pernah menjadikan ibunya, Kathlen McCain sebagai subjek utama dalam siri imejan ‘Mother’ – menampilkan ibunya itu di atas pentas fesyen New York.
Mengenali New York yang selalu mematangkan minggu fesyennya dengan aspek diversifikasi – termasuklah diversifikasi usia, ia meraih catatan terbaik dengan menampikkan 15 model tua ketika minggu fesyen musim bunga panas 2020 yang lepas (menurut laporan The Fashion Spot) – memperlihatkan Kathleen, seorang wanita yang sudah lanjut usianya, berjalan ‘mengusung’ sekali pencakar serta melakukan tari gila-gila di atas pentas. Dia berjalan bersama model-model lain yang tak seumur dengannya. Ada di antara model-model yang dipilih hari itu datangnya daripada berbeza ras, wanita mengandung dan muncul mendukung anak masing-masing. Inilah yang dipersembahkan di atas pentas Collina Strada musim luruh dingin 2020.
Kathleen McCain di Collina Strada musim luruh dingin 2020
Ini bukan kali pertama Kathleen bekerja dengan Collina Strada. Dia pernah menjadi wajah utama kempen Collina Strada Resort 2020 – di mana syot-syot imej tersebut ditangkap oleh Charlie. Pendekatan Collina Strada dan Charlie dengan menampilkan wanita tua seperti Kathleen mengaut perhatian umum. Vogue menyisip hal Kathleen dalam laporan fesyen, dan begitu juga dengan The Fashion Spot.
Kami kira, ia adalah satu pergerakan yang memateraikan sumpah untuk mengubah pandangan dunia tentang fesyen serta membawa perubahan demografi – dari aspek kepelbagaian. Di mana apa yang direka atau dihasilkan itu tak lagi diasing-asingkan atau dikelaskan untuk perempuan-perempuan usia muda sahaja. Tidak ada dah istilah live mannequins perlu memiliki standard atau status tertentu. Tidak mahu lagi mengusulkan gagasan model seharusnya muda bergetah, seperti mana yang digambarkan oleh media pada tahun 60an dahulu yang memastikan model-model perlu kelihatan muda, berwajah cantik tidak cacat dan seumpamanya.
Kerana fesyen yang dihasilkan adalah untuk rangkaian klien yang berlainan. Dan pada masa sama, ada juga pereka-pereka atau jenama-jenama fesyen yang memasang hasrat untuk menampakkan versatility pada rekaan-rekaannya, masakan mereka mahu mengabaikan faktor usia, kan?
Menurut Business Of Fashion, pada 2017, Moody melaporkan bahawa generasi Baby Boomers (lahir pada 1946 sehingga 1964), sungguhpun spending power mereka 42 peratus melebihi golongan Millennial juga Gen-Z, golongan ini tidak dipaparkan dalam beberapa kempen jenama fesyen. Kerana ada jenama fesyen yang mengiblatkan kempen fesyen mereka untuk demografi anak-anak muda, dengan harapan ia mampu mengikat perhatian ibu bapa anak-anak muda yang melihat kempen tersebut.
Namun, kini formula itu telah ditukar. Apatah lagi dengan wujudnya teknologi dan media sosial, serta muncul pula sosok-sosok wanita tua yang stailish atau fashionable seperti Lyn Slater (@iconaccidental) yang bisa mempengaruhi dua generasi berbeza, yakni kumpulan orang-orang berusia dan Millennial. Jenama Mango antaranya yang mengambil langkah mengubah paradigma fesyen dengan menampilkan Lyn sebagai wajah utama.
Maka itulah, Lyn diambil untuk menjadi penghias kempen-kempen jenama fesyen. Malah, ada yang berpendapat, sosok-sosok yang sudah lanjut usia atau tua ini umpama penyampai cerita yang mampu menginspirasikan anak-anak muda dan yang seumur dengan mereka.
Lyn Slater, penghias kempen fesyen Kate Spade musim luruh dingin 2020
Bercakap tentang Lyn, musim luruh dingin 2020 sekali lagi memperlihatkan aksinya menjadi penghias kempen atau lookbook. Kali ini, dia disunting oleh Kate Spade pula. Lebih-lebih lagi jenama Kate Spade dan visi Nicola Glass selaku pengarah kreatifnya, yang tak pernah gagal memenangkan konsep kewanitaan, yang melihat wanita-wanita seperti sedarah atau sebangsa. Termasuklah tidak mendiskriminasi wanita yang datangnya daripada berbeza kumpulan.
Membudayakan model-model lanjut usia ini tidak hanya berhenti di New York. Minggu fesyen London musim luruh dingin 2020 turut menyertai bandwagon yang sama. Seperti jenama Palmer Harding yang menampilkan model legenda Amalia Vairelli dan pereka Emilia Wickstead meletakkan lebih empat model wanita tua berjalan melewati pentasnya. Apatah lagi, ibu kepada Emilia antara audiens yang menyaksikan pertunjukannya hari itu. Bermakna aspek rekaan musim luruh dinginnya cater untuk perempuan-perempuan berbeza generasi.
https://www.instagram.com/p/B8jwY3KF0Ln/
Coco Mitchell di Christopher John Rogers musim luruh dingin 2020
Apa pandangan anda?