Posted on September 29, 2020
Siapa yang diundang ke pertunjukan Moschino musim bunga panas 2021? Ada Anna Wintour, Hamish Bowles dan beberapa lagi wajah familiar. Tetapi mereka tidak menghadirkan diri secara fizikal. Kesemua mereka dalam skala kecil bak anak patung Barbie, diletakkan duduk satu baris, seraya konon-kononnya menyaksikan pertunjukan fesyen.
Terlalu comel! Sandiwara miniatur boneka bertali yang terbit daripada akal budi Jeremy Scott kali ini – untuk pertunjukan Mochino musim bunga panas 2021 – datangnya daripada ilham Theatre de la Mode, hampir sama seperti yang pernah Dior buat untuk himpunan couture-nya baru-baru ini.
Ada yang tersirat di balik sandiwara boneka bertali Moschino musim bunga panas 2021. Memanglah apa yang terlihat itu comel dan umpama berkecindan. Namun, pemahaman kami ditatar tentang pemerian pertunjukan Moschino ini – daripada sandiwara boneka bertali ke hal kemelut dunia. Apa yang dipersembahkan oleh Jeremy itu adalah satu alas yang sebenarnya menggambarkan ubrak-abrik marcapada. Dia mencurahkan gelora hebat yang melanda dunia masa kini, tetapi kita sebagai penghuni dunia, harus terima dan ‘telan’ segala manis serta pahit maungnya.
Dalam nota pertunjukannya, Jeremy mengibaratkan dunia seperti kapal besar yang terbalik. Yang berbezanya adalah, jika kapal besar terbalik, makanya ia akan tenggelam. Jika dunia terbalik, berantakan, kita sebagai manusia kena terima hakikat dan teruskan sahaja perjalanan kehidupan. Lantaran itu, Jeremy tulis semula peraturan baharu. Yang lama dan lampau terkambus, yang baharu dirai. Katanya, ia bukanlah satu permulaan segar tetapi adalah permulaan baharu! Jeremy tidak lagi mahu berselindung, sebaliknya dia tidak segan dalam menjadi telus dan menunjukkan terus apa yang terkandung dalam proses ciptaannya.
Sama seperti pengertian Jeremy fasal marcapada, dia juga terpaksa ‘telan’ apa yang terjadi dengan dunia fesyen sekarang. Pertunjukan fizikal barangkali mustahil untuk dilaksanakan. Lalu, dia memunculkan idea untuk mengolah ia dalam rupa Theatre de la Mode. Yakni mempersembahkan pertunjukan fesyen miniatur yang digayakan oleh boneka-boneka bertali. Jelas Jeremy, dalam pada kesempatan dunia kini kerut-merut dengan pandemik, isu politik dan masalah ketidakdilan ras serta sosial, dia hanya mahu mengalih perhatian seketika dengan pertunjukan fesyen miniatur boneka bertali-nya itu.
Mengenali Jeremy, dia tetap mahu ada elemen main-main, keanak-anakan dan yang melucukan. Bukan apa, dia hanya mahu meleretkan senyuman pada dunia sahaja. Lantas Jeremy bekerjasama dengan Jim Henson Creature Shop, dalam menghasilkan boneka-boneka bertali. Jeremy memerihalkan suasana pertunjukan fesyen boneka bertali itu dalam presentasi cereka pendek fesyennya dan cereka tersebut berlatarkan stail pertunjukan salon ala-ala era 50an.
Rekaan-rekaan pakaiannya itu dicedok sebulat-bulatnya daripada saiz sebenar manusia, kemudian dikecilkan mengikut proportion boneka bertali. Jeremy memberi perhatian sepenuhnya pada setiap butiran, perincian dan tidak terlepas satu pandangan pun pada siluet-siluet rekaannya. Sungguhpun diolah kecil, sekecil anak patung. Dan salah satu sebab lagi mengapa Moschino beria-ia dengan idea pertunjukan fesyen miniatur boneka bertali? Kerana ia mahu menyampaikan mesej bahawa untuk memulakan sesuatu yang baharu, sebaik-baiknya kamu harus bermula secara kecil-kecilan. Faham?
Konon-kononnya suasana belakang pentas
Apa pandangan anda?