SEARCH

Neelofa & #STAILEksklusif : Projek ‘Styling’ Untuk AME 2018!

Neelofa & #STAILEksklusif : Projek ‘Styling’ Untuk AME 2018!

Cukup bertuah! Kami di STAIL.MY sekali lagi diberi peluang untuk bekerja bersama Neelofa. Kali ini ia bukan untuk cover atau feature, sebaliknya terlibat dalam proses pembikinan dan styling baju Neelofa untuk Anugerah Meletop Era!

Bemula daripada perbincangan menerusi Whatsapp, perjumpaan sejurus kemudian simbahan idea membuak-buak, akhirnya terhasil juga dua look utama – satu lagi look digayakan oleh STAIL.MY dan satu look dijaga oleh Min Luna – untuk Neelofa pakai ketika menjadi juruacara Anugerah Meletop Era.

neelofa ame 2018

Neelofa sendiri yang menghubungi saya. Mula-mula ingatkan ia satu gurauan kerana tak terkandung dalam ingatan yang Neelofa sendiri akan menelefon. Rupa-rupanya betul! “I was thinking to have STAIL.MY on board, to style me for Anugerah Meletop Era this April and to be part of the experience,” cadangan Neelofa kepada saya. Tanpa ada rasa sangsi dan setelah dibawa berbincang dengan Ketua Pengarang, Azreezal Hafidz, kami bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada rencana perjalanan ini.

“Siapa pereka baju kamu untuk AME (Anugerah Meletop Era) ini nanti?” Soal saya.

Fizi Woo. Saya mahu kamu bekerjasama dengan Fizi Woo, fikirkan baju yang sesuai untuk saya pakai di AME dan bagaimana penggayaan-nya nanti,” balas Neelofa.

neelofa ame 2018

Pada waktu Neelofa menjalankan penggambaran drama siri ‘Ti Amo, Sweetheart 100 Hari’ di Rom, saya bertemu dengan Fizi Woo. Perbincangan bersama Fizi Woo secara kasual di butiknya yang berpusat di pinggiran Kuala Lumpur, memudahkan saya untuk mendalami cita rasa fesyen Neelofa. “She loves pastels and soft colours. Neelofa juga suka bermain-main dengan fesyen, asalkan tidak terlalu ganjil atau rumit,” jelas Fizi.

Fizi berkongsi pengalaman dia mereka baju yang dipakai oleh Neelofa di Milan, untuk acara Swarovski. Dress merah menyala dengan butiran simpulan dasi pada leher, turban merah seraya beg kuning Valentino disilang bersama itu adalah titik perubahan gaya Neelofa. “Kita bagi Lofa pakai turban!” Cadangan oleh Fizi, sementelahan Neelofa juga baru memperkenalkan koleksi turban dalam masa yang sama. “Kita boleh atur seiring turban Lofa dengan looks AME nanti,” sambung saya.

neelofa ame 2018

Di perjumpaan yang kedua, saya datang membawa mood board yang dipenuhi dengan idea-idea look Lofa. Dalam banyak-banyak idea tersebut, kami tertarik dengan gagasan paduan siluet baju kurung dengan drama glamor dan sentuhan maskulin (untuk look pertama) dan gaun kembang besar bak puteri bakawali (untuk look kedua), lalu bersepakat untuk mendandani Lofa dalam kedua-dua look tersebut. Kerana kedua-dua look itu distingtif, kelainan buat Lofa.

Kami saling bersendel bahu, memikirkan dan mempertimbangkan dengan bersungguh-sungguh apa fabrik serta warna yang harus digunakan untuk kedua-dua rekaan. Setelah bertukar-tukar idea – daripada warna kelabu ke merah lembayung, daripada fabrik wool ke belacu – dan Fizi bersama-sama pasukannya membanting tulang, siap juga kedua-dua rekaannya!

neelofa ame 2018

Untuk look pertama, Lofa memakai dress sut yang panjangnya ke lutut dan disudahi dengan butiran ropol keras yang tidak menyapu lantai. Two separate pieces. Siluet ini dikutip daripada bentuk atau gaya baju kurung moden – rekaan baju kurung biasanya panjang ke lutut. Ia memerihalkan satu cerita yang terselindung di balik bayang rekaan.

Fizi mengubah ceraian atas dengan menyuntik rekaan jaket sut seperti lapel, bahu keras juga perincian poket, mengahwinkan maskulin dengan kelembutan tradisional. Bahagian dalam yang berleher tinggi bercantum dengan bahagian dada atas jaket (seakan-akan kelihatan seperti inside dress). Manipulasi pola pada panel poket bodice hadapan pula sengaja diolah tidak bersambung, bagi menjelmakan keunikan.

Skirt pula sedikit dramatik. Mengambil siluet duyung, bahagian ropol bawah pada kaki dibiarkan keras untuk mencetuskan efek ketika Lofa berjalan di dalam dress tersebut. Bahagian depan dibiarkan senteng dan disempurnakan dengan ekor panjang di bahagian belakang.

Yang menariknya, look pertama ini dihasilkan dalam fabrik belacu atau kain mentah, kain yang selalunya digunakan untuk prototaip. Ini kerana Fizi menginginkan kesan contengan atau berusan warna terlukis pada dress itu. “Saya membayangkan dress ini seperti a work of art,” jelas Fizi, yang mempersembahkan kelainan untuk Lofa di AME 2018 tahun ini yakni menggayakan helaian art-to-wear. 

Kami memilih artis lokal yang cukup terkenal dengan hasil seni abstrak, Saiful Razman untuk mencurahkan idea seninya pada dress ini dan lantaran itu, mewujudkan satu lagi kolaborasi. Dress tersebut seterusnya dibawa ke studio Saiful untuk proses ‘mewarna’. Dengan penggunaan warna yang tidak lebih daripada tiga – hitam, emas dan putih – dicoreng-coreng serta dipalit bersandarkan kreativiti Saiful dan juga hasil tangan Fizi sendiri.

Biar bebas dan di luar kawalan, itulah yang cuba dicapai oleh Saiful dan Fizi. Bermain dengan imaginasi, untuk menyerupai satu lukisan.

Untuk look kedua pula, Lofa akan menghiasi dirinya dalam gaun skirt kembang besar yang menudungi bumi. Bak puteri, rona yang dipilih adalah merah lembayung secocok dengan turban yang dipakai. Hasil untuk kedua-dua look? Sesuatu yang di luar jangkaan!

neelofa ame 2018
Aksesori Swarovski menjadi pelengkap gaya Neelofa di AME 2018!

 

neelofa ame 2018

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE