SEARCH

Neelofa Di Minggu Fesyen Milan & Paris, Representasi Malaysia Berkongsi Pengalaman

Neelofa Di Minggu Fesyen Milan & Paris, Representasi Malaysia Berkongsi Pengalaman

“Sampai bila-bila pun saya takkan singkir ia daripada ingatan,” jelas Neelofa, bercakap fasal pengalaman manisnya menghadiri minggu fesyen Milan juga Paris belum lama ini. Kembaranya di minggu fesyen menjadi percakapan kita, pencinta-pencinta fesyen, di sini. Rasa bangga bertugu dalam hati setelah melihat sosok muslimah, rapi bertudung, masih utuh dengan kepercayaan juga memelihara sahsiah diri, duduk cantik di barisan hadapan pertunjukan-pertunjukan fesyen utama.

Tidak terlindung seri Neelofa, cemerlang gayanya masakan dunia tidak memusatkan mata pada dia. Neelofa umpama membina jambatan, merentangi alam fesyen yang luas dan memecah stereotaip. “Ketika di minggu fesyen London, Milan serta Paris, saya satu-satunya yang bertudung (atau berhijab). Gaya-gaya yang saya pilih – daripada Fendi, Ferragamo sehinggalah Yohji Yamamoto – semuanya disesuaikan dengan penggayaan tudung saya. And it works! Sehinggakan Ketua Pengarang majalah Citizen K yang mewawancarai saya juga kagum dengan identiti atau jati diri yang saya pegang ketika menghadiri minggu fesyen tersebut,” jelas Neelofa saat menyentuh imejnya waktu itu.

Untuk mendalami lagi isi jurnal perjalanan Neelofa di minggu fesyen London, Milan dan Paris, saya menemu soalnya dan dia berkongsi dengan lebih terperinci lagi fasal pengalaman yang menakjubkan ini!

Hai Lofa! Kamu diundang ke pertunjukan-pertunjukan di tiga lokasi minggu fesyen utama ini – London, Milan dan Paris. Mengapa kamu rasa penting untuk menghadirkan diri ke minggu fesyen kali ini?

Ketika mendekati agensi yang mewakili saya di Eropah, saya memberitahu mereka bahawa tahun ini saya mahu memberi tumpuan kepada lapangan fesyen dan kecantikan pula. Saya mahu memperkuatkan portfolio. Antara langkah untuk menyempurnakan profil tersebut, saya rasa penting untuk berada atau menghadirkan diri ke minggu fesyen. Sebab sebelum-sebelum ini, saya banyak terlibat dengan kerja-kerja editorial, penggambaran kempen dan seumpamanya. I am already on the right track. Namun saya fikir ia tidak harus berhenti di situ sahaja. Jadi, dengan kehadiran ke minggu fesyen, ia memperkayakan lagi portfolio saya.

Alhamdulillah, ia berhasil! Bukan sahaja membantu penjenamaan diri, malahan saya mengubah persepsi orang terhadap perempuan bertudung atau berhijab. They take me seriously and they take women in hijab seriously. Lama-kelamaan, ia akan membangkitkan satu kesedaran terutama sekali dalam industri fesyen dan kecantikan. Tambahan lagi, kehadiran saya juga bukan sahaja kerana fesyen semata-mata, saya mahu menjadi inspirasi kepada yang lain. Empowering women.

Saya kira, agensi kamu telah melakukan kerja mereka dengan bagus!

Ya, benar. Kerana ada beribu-ribu orang yang diwakili oleh agensi masing-masing. Apa yang membezakan saya dengan yang lain adalah, saya seorang muslimah. I have a story to tell. Back home, I am a celebrity, TV host and entrepreneur. Tetapi ketika di minggu fesyen tersebut, saya dikenali sebagai lebih daripada itu dan agensi saya berjaya mengetengahkan saya. Dan saya lihat agensi saya mempunyai potensi yang besar. Kesungguhan mereka amat saya hargai. Sampaikan mereka mahu saya menghadiri minggu fesyen couture pada bulan Julai ini nanti juga minggu fesyen musim bunga pada September kelak.

Kamu ke minggu fesyen ini sebagai ‘Neelofa, seorang selebriti, pengacara televisyen dan pelakon’ atau ‘Neelofa, pemilik jenama Naelofar dan usahawan’?

Seperti yang dijelaskan tadi, saya hadir sebagai Neelofa, as a whole. Neelofa, seorang usahawan, selebriti, pengacara televisyen, pelakon dan sebagainya.

Bagaimana penerimaan orang di sana, sebaik melihat kehadiran seorang muslimah ke pertunjukan-pertunjukan fesyen?

Saya diterima dengan baik sekali! Contohnya fotografer-fotografer jalanan ‘memberhentikan’ saya dan mengambil gambar-gambar saya kerana turban atau tudung yang saya pakai. Mereka melihat turban atau tudung yang saya pakai seperti art piece atau artistik. Lebih-lebih lagi Paris. Mungkin kerana orang Paris sedikit artsy dan mereka pula jenis yang menghargai fesyen. Terus apa yang mereka lihat tersarung pada diri saya adalah sesuatu yang menarik atau mengagumkan.

Antara pertunjukan yang kamu pergi termasuklah Prada, Salvatore Ferragamo, Fendi, Tod’s, Yohji Yamamoto dan Miu Miu. Which one is the absolute standout?

Setiap pertunjukan ada vibe tersendiri. Masing-masing unik. Contohnya Prada menampilkan kepelikan serta aspek eksentrik yang hanya Prada sahaja tahu cara melakukan ia. Ferragamo pula lebih kasual, moden, wearable dan ada suntikan Amerika sedikit.

Fendi lebih serius. Sementelahan selepas pemergian Karl Lagerfeld, di sebalik seting yang serius itu, pertunjukannya berubah kepada sesuatu yang penuh emosi. Manakala Tod’s pula tidak pernah menghampakan, dalam membariskan aksesori-aksesori yang menarik dan moden. Sayangnya, Malaysia tidak membawa masuk ready to wear pieces dan saya sangat suka himpunan RTW Tod’s. Mereka memperkenalkan pelet baru yakni rona hijau zamrud gelap yang begitu cantik.

Yohji Yamamoto seperti melihat persembahan. Bukan pertunjukan fesyen biasa, ia adalah persembahan seni. Disudahi dengan barisan model-model muncul dalam kelubung hitam yang hanya nampak bahagian mata mereka sahaja… it looks creepy, but it was beautiful. Dan saya tertarik dengan gaya undangan-undangan Yohji, kerana walaupun mereka datang dalam gaya tersendiri – contohnya, saya dengan imej bertudung – tetapi tidak mengabaikan DNA Yohji.

Sudah tentulah kamu berjumpa dengan individu-individu terpenting fesyen, kan?

Saya bertemu dengan Edward Enninful. Malah saya berada dalam kapal terbang yang sama dengannya sewaktu terbang dari London ke Milan. Saya berjumpa dengan Olivier Rousteing di parti Balmain. Oh! Saya juga berkesempatan bertemu dengan pelakon-pelakon Stranger Things di sana!

Sepanjang pengalaman di minggu fesyen London, Milan dan Paris, apakah perkara yang kamu rasa orang Malaysia harus belajar? Terutama sekali dari segi budaya fesyen.

Saya perasan budaya fesyen di sana disimbahi penghargaan dan orang kita perlu meresap apresiasi sebegini dalam jiwa mereka. Yakni apresiasi terhadap fesyen. Saya faham, kerana kita semua berbeza, tak semuanya sama di dunia ini. But how I wish Malaysians could show a little appreciation. Janganlah kerana ada yang pelik sedikit, ia sukar diterima. Minda kita haruslah lebih terbuka dan melihat keindahan di sebalik setiap karya atau ciptaan itu. Jangan terlalu cepat menghakimi.

Menyentuh hal penggayaan kamu di sana pula, ia dibantu oleh strong team kamu – Colin Sim yang menata gaya, Naz dari segi penggayaan tudung dan Khir Khalid yang menjaga bahagian solekan.

Penting untuk saya membawa sekali pasukan saya kerana minggu fesyen bukan perkara main-main. Saya mahu kemunculan saya sebagai seorang yang berhijab, mampu membawa nama baik. Colin akan memberi beberapa pilihan dan semuanya secocok dengan modest fashion. Ada sesetengah helaian yang agak kurang sesuai, namun kami play around with it. Menguji kami untuk menjadi kreatif. Contohnnya, pakaian yang berlengan pendek, kami pakaikan dengan sarung tangan panjang. Disempurnakan lagi dengan gaya tudung atau turban moden untuk menjadikan ia lebih fashionable.

Dari segi solekan, Khir bermain dengan warna-warna minima atau bare. Tidak terlalu melampau, tidak ada blusher dan memfokuskan bahagian mata sahaja.

neelofa fashion week milan paris london muslimah hijab

And again, you open a lot of doors to other women, especially the muslimah. Kamu membuka mata segenap dunia bahawa tidak ada limitasi untuk perempuan-perempuan bertudung atau berhijab seperti kamu.

Saya bersyukur kerana saya membekalkan inspirasi tersebut. Halima Aden is doing on the runway, I am doing it off the runway. Saya mahu membuktikan yang muslimah juga ada tempatnya dalam industri fesyen. Kami juga sama penting dengan yang lain. Saya sangat terharu apabila saya melihat perubahan itu sedikit sebanyak sudah mula disemai. Contohnya ketika menonton pertunjukan Fendi, saya melihat ada satu gaya untuk perempuan berhijab seperti saya. Selain itu, Max Mara pun sudah menyelit gaya perempuan bertudung. It’s good that people starting to be more inclusive.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE