Posted on September 21, 2020
New York Fashion Week atau NYFW yang berakhir pada minggu lepas menyaksikan jenama-jenama atau pereka-pereka fesyen semerta menjadikan pelitup muka sebagai aksesori utama. Apakah kita berani untuk kata ia fashion statement tahun 2020? Ya. Apakah ia trend di minggu fesyen New York untuk musim bunga panas 2021? Sudah tentu.
Sinkronisasi antara dunia fesyen dengan senario pandemik sekarang yang berpanjangan atau berentetan membuatkan beberapa jenama atau pereka fesyen sepertikan berada di bawah satu desakan untuk menjadikan pelitup muka sebagai aksesori tambahan. Hmm, mungkin ia bukanlah berbentuk desakan… desakan kedengaran agak keras. Mungkin, tuntutan adalah perkataan lebih baik untuk digunakan? Mungkin. Dan tuntutan tersebut mendasari kecenderungan jenama-jenama atau pereka-pereka fesyen ini untuk tidak meminggir terus aspek penggunaan pelitup muka dalam setiap penggayaan.
Bukan pertama kali kami membincangkan hal jenama atau pereka fesyen dan pelitup muka. Sebelum-sebelum ini sudah berkali-kali hal ini dibicarakan oleh kami – kami mengingatkan semula, antaranya tentang pelitup muka oleh jenama lokal dan UNIQLO melepaskan pelitup muka AIRism? Oh, pelitup muka Burberry bernilai 400 lebih yang rasa-rasanya hanya mampu dimiliki oleh si rangkaya? Ya, semua itu pernah dibicarakan.
Lantaran itu, beranjak ke minggu fesyen New York yang berlangsung pada pertengahan bulan September ini (berakhir pada 16 September lepas), tidak ada apa yang nak dihairankan atau sulit pun tentang jenama-jenama atau pereka-pereka fesyen New York menjadikan pelitup muka sebagai satu trend atau statement – oh, kecuali Tom Ford dan adalah juga beberapa jenama atau pereka yang tidak mendapat ‘memo’ tentang pelitup muka sebagai trend. Dalam pada Donald Trump pernah sekali tidak mempercayai keberkesanan pelitup muka dan di Amerika wujudnya gerakan anti-pelitup muka yang beralasan bodoh, jenama pereka fesyen seperti Collina Strada, Chromat, Anna Sui, Christian Siriano dan beberapa lagi mengucilkan diri daripada gerombolan itu, hadir mendidik tentang penggunaan pelitup muka. Pandangan klise sekarang tentang pemakaian pelitup muka – bagaimana untuk tampil stailish dengan memakai pelitup muka.
Aksesori yang bukan sekadar satu statement pada wajah, namun juga bersifat perlindungan ini mengajak jenama-jenama atau pereka-pereka fesyen untuk tidak mengehadkan daya kreatif mereka dalam mengubah gaya pelitup muka. Contohnya Burberry dengan pelitup muka material corak check vintajnya dan Louis Vuitton yang mengeluarkan pelindung muka monogram. Di minggu fesyen New York pula, Christian Siriano – antara pereka fesyen pertama yang bertindak menghasilkan pelitup muka sewaktu awal-awal kemelut pandemik – menghasilkan pelitup muka yang mengikut kecocokan rona atau corak rekaan pakaiannya. Aspek yang sama ini dikutip oleh jenama-jenama atau pereka-pereka lain, termasuklah Libertine, Alice + Olivia, Rebecca Minkoff dan Anna Sui. Cuma yang membezakan mereka adalah material atau fabrik yang digunakan, malah corak, motif atau rona pada pelitup muka masing-masing.
Alice + Olivia mengetengahkan nada gaya psikedelik bohemian pada pelitup muka yang hampir sama gayanya dengan Anna Sui, manakala Rebecca Minkoff menjadikan motif floral dengan kemasan seperti renda (agaknya) pada pelitup mukanya pula. Collina Strada, seperti lazim, menterjemahkan semangat berjiwa bebasnya, menghiasi rekaan pelitup mukanya dengan corak ikat celup. Seperkara tentang Collina Strada lagi adalah keberaniannya memunculkan rekaan unik pada pelitup muka, seperti mengambil bentuk kuntuman bunga dan juga pelitup muka yang dilengkapi tali ikatan besar, bak ikatan dasi.
Jika ada yang menyoal lagi apakah pelitup muka kini satu fashion statement? Jawapannya… ya.
7 TREND PELITUP MUKA DI NYFW S/S 2021
Eckhaus Latta
Rebecca Minkoff
Alice + Olivia
Christian Siriano
Collina Strada
Anna Sui
Libertine
Apa pandangan anda?