SEARCH

NYFW F/W 2019 : Coach 1941 – Diimaginasikan Semula, Dalam Semangat Baharu

NYFW F/W 2019 : Coach 1941 – Diimaginasikan Semula, Dalam Semangat Baharu

 

coach 1941 nyfw fall winter 2019

Mungkin ‘semangat Amerikana’ untuk menggambarkan Coach 1941 kedengaran agak cemuih. Acapkali hendak mencorakkan visi Stuart Vevers untuk Coach 1941, nescaya perkataan ‘Amerikana’ yang menjadi perkiraan. Namun, seandainya itu yang Stuart benam dalam pada dia mengerah akalnya mengarah kreatif rumah fesyen Coach, payahlah untuk singkir tafsiran tersebut.

Untuk himpunan musim luruh dingin 2019-nya, adakah kali ini, ‘Amerikana’ masih meligatkan identiti rekaan-rekaannya?

Saat look Coach 1941 musim luruh dingin mendudu-dudu bergerak mengitari ruai American Stock Exchange, menggegarkan lantainya, terus ia menaruh perhatian dan memikirkan adakah ia grunge-prairie? Mengembalikan My Own Private Idaho? Dark-Goth-romantic? Semuanya nampak seperti biasa terlihat, tetapi dibaharui. Shearling yang dilabuhkan saiznya, penginterpretasian semula corak petak dan stail seluar pendek bola keranjang dipakaikan bersama blaus yang mencadangkan padanan di luar jangkaan.

Malah dalam IG story, Coach memancing pengikut-pengikutnya dengan ‘Questions’ dan salah satu soalan dikemukakan adalah “Adakah akan ada lagi dress-dress prairie?” dan Coach membalas, “Ada. Tetapi dalam nada baharu.” Benar, prairie dresses masih belum goyah menjadi sebahagian daripada rekaan-rekaan himpunannya, namun Coach menafaskan ia berbeza mungkin. Jelas sekali, semua arketaip yang bersangkutan dengan Coach masih dipelihara oleh Stuart dan dia mengutip fragmen-fragmen tersebut, mengatur kembali untuk pembaharuan.

Tetapi adakah New York sepenuhnya menjadi pangsi ilham Stuart? Atau Amerika, secara keseluruhan? Stuart dalam lingkungan masa lain, seakan-akan ke California dan menyemat sifat California pada rekaan-rekaan Coach musim luruh 2019. Stuart mengkorelasikan New York dengan California menerusi mata seorang anak dagang? Barangkali juga.

Coach bercanda lagi dengan gaya muda-mudi, mengukuhkan faktor demografinya kali ini. Mengait sifat romantik, diilhamkan melalui khayalan Stuart untuk membangkitkan psikedelik. Dan bercakap fasal psikedelik, Stuart memilih Kaffe Fassett – artis seni hiasan surihan hujung jarum dan pengait  – untuk merealisasikan motif-motif botani atau flora. Kaffe menebarkan kreativiti, menghidupkan tekstur, dikaitnya bunga, ditambahnya cantuman fabrik serta motif-motif kuntuman bunga dalam rona-rona bertenaga, melengkapkan kemahuan ‘mash-up’ Stuart. Menerbitkan motif flora yang kontemporari.

Semangat ‘mash up’ memekat dalam jiwa Stuart dan tidak berhenti di situ. Dia melangsungkan garapan ‘mash up’ yang mendasari buah fikirannya itu, pada rekaan-rekaan serta penataan gayanya. Seperti yang dijelaskan (di atas tadi), yakni padanan di luar jangkaan. Dress-dress lembut romantik disempurnakan dengan seluar pendek ala seluar sukan bola keranjang, dress prairie dimodenkan dengan paduan jaket biker dan disimbah lagi oleh motif geometri tartan yang memadatkan fabrik sehingga kelihatan seakan-akan diolah bak stail satu sut serta butiran deretan juraian yang menyerupai gaya Western abad ke-19.

Di samping semua itu, Stuart mengamati sesuatu yang berbeza buat Coach musim ini dan memfokus kepada tailoring. Menjadikan tailoring sebagai trend utamanya, Stuart mahu menjadikan apa yang familiar becomes unfamiliar – seperti yang dinyatakan dalam nota pertunjukannya. Ditambah lagi outerwear bersaiz besar, membuktikan Stuart tidak gentar membuat eksperimen dan mengubah hala tuju Coach.

 

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE