SEARCH

NYFW F/W 2019 : Dua Bumi Bersatu, Mengatur Teras Longchamp

NYFW F/W 2019 : Dua Bumi Bersatu, Mengatur Teras Longchamp

longchamp nyfw fall 2019 sophie delafontaine

Untuk pertunjukan kedua Longchamp di minggu fesyen New York, terbetik pertemuan dua bumi yang berbeza yang disatukan atas dasar tenaga seorang perantau. Ringkas dan betapa senangnya, Sophie Delafontaine tidak perlu mengamati ‘sains’ dalam mengatur seiring inspirasinya musim luruh kali ini, sebaliknya dia hanya menyimpul ragam Parisian dengan sukma New York. Itu sahaja. Mudah.

Di tengah-tengah rimba Financial District di New York, Longchamp mengeset ruang pertunjukan dengan sentuhan pereka dalaman Perancis, Andree Putman. Terhampar di atas lantai karpet yang mereplikakan karpet bahagian dalam jet Concorde, mengkhabarkan kita dengan idea Longchamp yang memegahkan kisah si perantau. Si perantau yang menjelajah ke pelosok dunia. Namun, akal budi Sophie Delafontaine mencadangkan dua lokasi utama – ke lubuk asal jenama Longchamp, yakni Paris dan tempat berlangsungnya pertunjukan kedua Longchamp, yakni New York.

Tidak melepaskan genggaman jati diri Longchamp, Sophie barangkali mahu melaungkan semangat seorang perempuan yang bisa menaklukkan dunia. Fahaman kolonial baru! Tetapi dalam skala kecil, cukup sekadar Paris dan New York. Mungkin itu adalah ‘metafora’ yang Sophie cuba olah menerusi pangsi ilham Longchamp. Sophie mengutip jiwa keperempuanan acuh tak acuh si Parisian dan dia mencetus perpaduan antara keperibadian tersebut dengan sifat sosial urban New York.

Longchamp masih berpaut teguh pada rapsodi bohemian, mempersembahkan dress-dress yang padat dengan motif serta grafik. Butiran ikatan, fabrik lembut dan pengaruh stail 70an menerbitkan kehebatan Sophie dalam memelihara kod rumah fesyen milik Jean Cassegrain ini. Dia menyaingi aspek rekaan ini dengan material kulit – antara key looks Longchamp musim ini – yang menyempurnakan ‘bahasa’ urbanity yang Sophie cuba untuk semat bersama.  Ditambah lagi kot-kot yang mengikis ketradisionalan, dengan suntikan siluet yang nampak tegap, menunjukkan keperkasaan seorang perempuan.

Lantas kontra ini membangkitkan kedinamikan Longchamp. Satu lembaran baharu buat Longchamp. Dan bercakap fasal pembaharuan, Longchamp malah memperkenalkan logo ‘LGP’ dalam rona hitam putih yang diinspirasikan oleh artis-artis Bauhaus, menghiasi ceraian-ceraian utamanya – juga sesuatu yang baharu buat Longchamp! Bayangkan, lebih tujuh dekad, Longchamp tunduk kepada peralihan. Atas sebab keberanian Sophie!

Definisi traveler Longchamp bukan setakat itu sahaja. Sophie malah meresap ilham tersebut ke atas aksesori-aksesori Longchamp. Seperti La Voyageuse yang direka berdasarkan portable vanity cases, menjadi peneman utama kala merantau.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE