Posted on May 19, 2020
Bukan sekadar aksesori sahaja. Pelitup muka kini adalah sebahagian daripada ‘asas’ perniagaan jenama-jenama fesyen. Baik lokal mahupun antarabangsa, atas tujuan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menyedarkan nusa masing-masing. Bermula daripada pereka-pereka fesyen seperti Marine Serre, Christian Siriano serta Proenza Schouler yang mengutamakan penciptaan pelitup muka dan kini, tindakan menghasilkannya sudah ‘bertebaran’ ke serata dunia!
Apakah pelitup muka lantas menjadi trend dunia? Kita tak bisa lagi menjangka sama ada kemelut Covid-19 ini akan hilang serta-merta atau tidak. Makanya, kita takkan berhenti melihat trend pelitup muka di mana-mana sahaja dan jenama-jenama fesyen akan terus mencipta atau menghasilkan ia. Biarpun hari dan musim bersilih ganti. Malah baru semalam artikel dalam EcoWatch membincangkan tentang mengapa trend pelitup muka seharusnya digalakkan. “The experts we spoke with agree that until the threat of this pandemic has been neutralized, people should embrace the protection masks allow them to provide to those around them.”
Berbicara tentang jenama-jenama atau pereka-pereka lokal pula, apatah lagi Hari Raya menyamperi, pelitup muka turut menjadi pelengkap gaya. Kita tak lagi atau bukan sahaja berbelanja ke atas baju Raya, malah pelitup muka pun. Jenama Behati – yang diasaskan oleh Kel Wen – antara yang terawal menyertai bandwagon ini. Dalam pada mengeluarkan himpunan baju Melayu oversized ‘Baju Oversaiz’, Behati turut melepaskan pelitup muka yang cocok gayanya dengan Baju Oversaiz berdasarkan warna masing-masing. Untuk rekaan pelitup muka ini, Kel menggunakan fabrik duchess satin yang sama material dengan baju. Kel mementingkan faktor sustainable dalam menghasilkan pelitup muka Behati di mana ia bisa diguna semula, tanpa perlu dibuang dan hanya dengan cara menggantikan penapis pada poketnya.
Dan yang bagusnya, sekali lagi membuktikan industri fesyen berjuang bersama menentang pandemik Covid-19, Behati menderma RM15 daripada hasil jualan setiap pelitup mukanya kepada badan kebajikan yang terbabit dengan pandemik Covid-19.
Inisiatif #KitaJagaKita ini diambil serius oleh jenama-jenama atau pereka-pereka lokal kita, sementelahan negara kita bukan sahaja dinasihatkan malah diberi peringatan awal tentang kebimbangan bilangan kluster yang meningkat pada musim perayaan kelak. Melinda Looi juga tak ketinggalan dalam menampilkan pelitup muka sebagai aksesori tambahan Hari Raya kali ini. Sama seperti Behati, Melinda menghasilkan pelitup muka yang bisa dicuci, sustainable serta mesra alam. Sudah tentu objektif utamanya adalah to keep everyone safe.
Datuk Radzuan Radziwill, antara pereka fesyen terawal yang berusaha menghasilkan pakaian pelindung untuk frontliners, turut menghasilkan pelitup muka bersama-sama himpunan Rayanya.
Jenama tudung, Inner Sejuk tidak alang-alang dalam mencipta pelitup muka yang disesuaikan dengan corak serta rona tudung.
Jovian Mandagie menghasilkan pelitup muka yang hadir dalam beberapa saiz. Sama seperti pereka-pereka lain, Jovian mencipta pelitup muka sebagai langkah untuk menyumbang kepada pengurangan penularan Covid-19.
Pereka fesyen Calvin Thoo memunculkan inisiatif di mana setiap pembelian baju Rayanya akan didatangkan bersama pelitup muka.
Apa pandangan anda?