Posted on January 16, 2020
Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Ryan Mohamad & Ashura Hakim
Setinggi mana daya inovasi yang menggodak fikiran, dalam menggubah pakaian menjadi penggayaan artistik dan sesuatu yang luar biasa? Semua itu terpulang kepada si pemakainya, yang memberi ruang untuk berkarya lebih, manaikkan semangat untuk mengekspresikan fesyen yang tak terjangka.
STAIL.MY Fresh Face untuk ‘rekrut’ tahun 2020, sekali lagi menjalinkan gandingan bersama UNIQLO kali ini. Integrasi yang mengajak kami, tim STAIL.MY, untuk mengubah paradigma gaya-gaya normcore seperti asas putih dengan jean dan diterjemahkan bersandarkan kreativiti yang tidak terbatas. Dalam erti kata lain, memberi kebebasan kepada kami untuk berfikir tentang penggayaan dan tidak mengikut kelaziman. Waima yang diilhamkan daripada rujukan pentas-pentas fesyen antarabangsa mahupun yang diolah on-the-spot ketika penggambaran.
Asasnya ialah pakaian-pakaian putih dan denim (rangkaian basic serta jean) UNIQLO yang dipakai ketika sesi pemilihan atau casting pada awal bulan November tahun lepas. Jadi, dalam merai sustainability yang begitu kuat diperjuangkan dan bersungguh-sungguh dibela, apatah lagi sudah masuk 2020, kami – sebagai platform yang bisa menyampaikan mesej positif – mahu melangsungkan idea sustainability tersebut. Kami ‘mengitar semula’ pakaian-pakaian putih dan jean daripada sesi casting, mengharmonikan kesemuanya bersama helaian-helaian daripada himpunan UNIQLO musim bunga panas 2020!
Temanya masih sama seperti tahun lepas : putih dikekalkan sebagai tema utama Fresh Face, yang digabungkan dengan satu ceraian berwarna. Cuma kali ini ada tambahan denim (bagi mengangkat tema normcore) manakala ceraian berwarna pula menjurus kepada keluarga warna lembut, pudar atau pastel. Inspirasi penggayaannya datang daripada idea rencaman. Seperti yang dijelaskan di atas tadi, ada yang dikutip dari pentas fesyen antarabangsa dan ada yang secara spontan.
Bagaimana styling putih, denim dan ceraian berwarna musim bunga panas 2020 membentuk penggayaan artistik #STAILMYFreshFace kali ini pula? Di sini, kami kongsi penataan gaya sebahagian daripada top 15 yang terpilih!
ARTISTIK – MENYAINGI TEMA ARTS & CRAFT MUSIM BUNGA PANAS 2020
UNIQLO musim bunga panas 2020 ada mempersembahkan salah satu fragmen inspirasinya yang terbit daripada alam Arts & Craft. Tema tersebut mempengaruhi kami dalam mengolah gaya untuk sekumpulan lima daripada top 15 #STAILMYFreshFace2020 ini – Nur Aliah Iskandar, Rizal Aziman, Masya Masyitah, Azwan Ali dan Ahmad Fadzlullah.
Kami cuba menjelmakan keunikan dalam aspek berpakaian daripada kelihatan terlalu biasa. Putih dan denim itu bermain dengan percikan satu ceraian berwarna yang diolah pelik, namun menjadi! Semuanya atas dasar artistik. Seperti contoh, gaya Rizal Aziman adalah serba putih. Kami menyatukan jaket adang angin putih yang ringan di dalam, dipakai bersama seluar putih. Kemeja denim kapas dilapiskan di atas jaket tersebut dan ceraian kemeja T berona hijau neon pudar dipakai pula di atas, langsung menutup sedikit kemeja denim serta jaket. Kami sengaja membiarkan kolar hud jaket itu dan lengan kemeja denim terlihat, bagi menegaskan kontra.
Untuk Masya Masyitah yang memiliki fizikal tinggi persis model, membenarkan kami untuk bermain dengan kelainan – yakni double denim! Jean ketat slim dipakai bersama jean labuh longgar (dilapiskan di atas jean ketat) dan menampakkan bahagian waistband. Dalam meneruskan tema satu tambahan warna, kami menyempurnakan keseluruhan gaya Masya dengan dress wrap panjang berona merah.
Ahmad Fadzlullah cukup dengan padanan tiga ceraian. Kiranya, sedikit ringkas untuk menterjemahkan tema putih, denim dan rona. Jadi kami memasangkan ceraian high neck berona putih pada Fadz, dengan jean biru potongan slim dan jaket adang angin oversized berwarna jingga. Jaket pula sengaja dipakai terbalik di mana hud-nya di bahagian depan, kononnya mahu menghidupkan tekstur.
INSPIRASI PENTAS PERAGAAN
Banyak juga rujukan kami berdasarkan pentas peragaan antarabangsa. Misalnya, kami melihat gaya-gaya di atas pentas Saint Laurent, Jacquemus, Burberry dan Prada daripada musim-musim dahulu sehinggalah yang sekarang. Mengutip kata Sir Paul Smith, “Inspiration is everywhere.”
Tumpuan gaya pada Emma Megan Khoo atau lebih senang kami panggil Emma adalah lebih bercorak atletik. Atau athleisure. Jean yang sebenarnya jean panjang, dipotong bahagian kakinya dan menjadikan ia jean pendek paras atas peha. Kami menggabungkan jean pendek itu dengan jaket adang angin ringan berona biru pudar dan bahagian hujung badan baju jaket tersebut dikedut-kedutkan – untuk membentuk gathers. Ditambah tali pinggang anyam putih yang mengetatkan bahagian pinggang Emma, agar memperlihatkan lagi tekstur dengan lebih jelas.
Gaya Nadia Rasidi lebih bersifat feminin tetapi dalam interpretasi baharu. Bukan sekadar kemeja putih dan jean sahaja. Lebih daripada itu! Skirt labuh (daripada fabrik kait yang sedikit berat) diangkat ke paras dada Nadia, kononnya menjadikan skirt itu seperti dress tube. Bahagian tepi skirt ‘dikumpulkan’, kemudian dikedut-kedutkan – untuk membentuk frills berat. Dalam menjadikan ia unik lagi, kami ikat lengan kemeja putih pada bahagian dada untuk memimik rupa ikatan dasi.
THREE’S A COMPANY!
Kami fikir, “Apa yang boleh dibuat dengan hanya tiga helaian sahaja? Bisakah jadi kreatif?” Persoalan itu mencabar kami untuk menguji tahap inovasi – hanya dengan tiga helaian sahaja dan tidak lebih daripada itu.
Kami mencuba gaya ‘tiga helaian’ itu ke atas pasangan adik-beradik Fazrina Razif dan Fazril Razif. Fazrina adalah ahli gimnastik, jadi kami menginspirasikan movement dalam penggayaannya. Kami bermain dengan konsep pengubahsuaian untuk mengaitkan dengan tema movement. Di mana jean panjang yang dipakai oleh Fazrina kami potong menjadi pendek, manakala baju high neck putihnya kami gunting bahagian bahu, menjadikan ia one-shoulder top. Ditambah lagi dress wrap (dilapiskan di atas ceraian putih dan jean), dengan mengikat tali bahagian pinggangnya untuk membentuk dress halter.
Fazril lebih condong kepada inspirasi gaya jalanan Jepun. Fazril memberanikan diri menyarung skirt untuk menjadikan gaya skirt bersifat uniseks. Kemudian cantuman tema gaya ‘putih + denim’ terletak pada ceraian dua kemeja yang dipakainya. Ya, dua kemeja! Kami menggabungkan sebelah badan baju kemeja putih dengan sebelah lagi badan baju kemeja denim kapas. Disatukan menerusi fastening. Sebelah lengan baju masing-masing pula diikat pada bahagian pinggangnya.
Apa pandangan anda?