SEARCH

PFW F/W 2019 : Bucket Hat, Statement Tee & Perempuan Bukan Pengakur… 7 Perkara Tentang Dior

PFW F/W 2019 : Bucket Hat, Statement Tee & Perempuan Bukan Pengakur… 7 Perkara Tentang Dior

Di atas sehamparan lantai yang penuh dengan silangan garis mendatar, berlatarkan penyekat ruang yang dihiasi ilustrasi anatomi wanita, masih belum tumbang lagi ‘armada’ Maria Grazia Chiuri menegakkan daya juang kewanitaan untuk Dior musim luruh dingin 2019. Kuat sungguh urat, tulang-temulang dan akal fikiran Maria mengais segala dan mencari-cari hal, detik, perkara pokok serta sosok-sosok terunggul yang bertalian dengan gerakan feminis.

Ada yang bilang Maria sekadar menyokong, namun ada juga yang tanggap dia seorang pelampau? Terpulang. Kerana penilaian itu subektif. Maria peduli apa, asalkan dia puas dengan apa yang dia pamer di atas pentas!

7 perkara tentang Dior

Sebaik menyelia Dior, Maria seakan-akan mengabdikan dirinya kepada tema kuasa wanita. Dia sangat berdedikasi, berwawasan dan bercita-cita tinggi saat menyentuh hal-hal kewanitaan. Maria selesa dengan kepercayaan tersebut, tidak mahu melepaskannya sementara masih bertenaga lagi mengarah kreatif Dior. Lalu pabila menjelma sahaja musim luruh 2019, Maria melangsungkan idea ini sekali lagi.

Tangan kanan Maria memegang erat feminisme, tangan kirinya menggenggam teguh warisan Dior. Dia mengapuh kedua-dua sekali, yang mengajak dirinya mengamati apa yang sudah terkandung sebagai kod fesyen Dior. Untuk dia sisip bersama budaya gerakan kewanitaan yang mencorakkan nada rekaan-rekannya. Maria mulih ke tahun 1947, menyunting kembali kata-kata Carmel Snow yang menjentik hati Christian Dior : ‘New Look’. ‘New Look’ yang biasa sudah kita dengar, dari dulu lagi – dari zaman saya belajar lagi – dan Maria baru hendak gigih mengorek apa ia sebenarnya.

Bagaimana stail yang menegaskan bahagian dada, pinggang berlekuk serta menyerlahkan pinggul itu mampu memegahkan inspirasi gerakan kewanitaan? Maria menyerapkan ‘New Look’ ini pada pengaruh Teddy Girls yang mendasari rekaan-rekaannya. Bukan mudah untuk mengatur seiring kedua-duanya sekali. Apatah lagi kerana tidak mahu membinasakan warisan yang amat signifikan buat Dior. Tetapi Maria cekap dalam mengiramakan watak Teddy Girls dengan New Look, mengambil sifat berontak itu dan dilembutkan dengan pembaharuan.

1. 
TEDDY GIRLS INSPIRASI UTAMA DIOR

7 perkara tentang Dior

Sub-budaya British menjadi rujukan Maria untuk Dior. Secara spesifiknya, pengaruh gaya Teddy Girls – gerakan sekumpulan perempuan menggayakan jaket Edwardian, dengan skarf, skirt, jean dan sebagainya – dikutip oleh Maria dalam mencorakkan trend Dior musim luruh 2019. Teguh menegapkan pendirian yang berkaitan dengan feminisme, Maria memandang Teddy Girls sebagai aspek semangat kewanitaan.

2.
PENTAS OLEH TOMASO BINGA

7 perkara tentang Dior

Musee Rodin menjadi lokasi pertunjukan dan melantik Tomaso Binga sebagai insan yang bertanggungjawab menghidupkan pentas Dior kali ini. Dinding-dinding penuh dengan ilustrasi anatomi perempuan yang bersangkutan dengan harakah feminis Maria. Memilih pula artis konseptual wanita seperti Tomaso, benar-benar membangkitkan “Who run the world? Girls!”

3. 
BUCKET HAT, BUCKET HAT!

7 perkara tentang Dior

Aksesori utama Dior musim luruh dingin 2019? Topi bucket! Setiap look disempurnakan dengan topi bucket, yang terhias lagi kain jaring serta lining monogram Dior.

4.
GAUN MALAM DENGAN TOPI BUCKET

7 perkara tentang Dior

Gaun malam bukan dengan aksesori tipikal, sebaliknya Maria menyesuaikan gaya malam bersama topi bucket. Sesuatu yang berbeza, tidak terfikir pun topi bucket bisa dijadikan aksesori formal.

5. 
BAR JACKET DIBAHARUI

7 perkara tentang Dior

Fabrik dan potongan memainkan peranan penting dalam membaharui jaket ‘Bar’ Dior. Ia menjurus kepada aspek stail yang sedikit maskulin – barangkali dikaitkan dengan Teddy Girls. Maria meminjam semula siluet New Look yang jarang sekali diamati olehnya, lalu musim luruh dingin kali ini, jaket ‘Bar’ diberi perhatian. Alang-alang Maria sorot balik detik Teddy Girls pada tahun 50an, dia turut mengenang kembali siluet Dior yang terdahulu.

6. 
‘SISTERHOOD’ ADALAH PERKATAAN YANG DIINGATI

7 perkara tentang Dior

Dior tak pernah lelah melepaskan kemeja T statement setiap musim. Oleh kerana perjuangan kewanitaan masih kuat meramas jiwa Maria, dia memberi penghormatan kepada pemuisi Robin Morgan. Menggunakan tajuk atau bait-bait yang terkandung dalam puisi Robin sebagai statement kemeja T. Seperti Sisterhood Is Powerful, Sisterhood Is Global dan Sisterhood Is Forever, menjadi ajaran yang diselitkan oleh Maria.

7.
FITTED & OFTEN BELTED

7 perkara tentang Dior

Gaya bertali pinggang ketat yang menegaskan bentuk pinggang membanjiri pentas Dior musim luruh dingin 2019. Semua ini mungkin pengaruh prinsip manifesto New Look – belted out kerana mahu mahu memperlihatkan kontras antara kelebaran pinggul dan bentuk kembang skirt.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE