Posted on January 20, 2021
Di dalam hati Miuccia Prada, tersemat ribuan harapan. Manakala di kepala Raf Simons ada ribuan fikiran. Bila bertemunya dua akal geliga yang masing-masingnya seperti ada dua cabang berbeza, gabungan idea mereka berhasil. Memperhebat sebuah rekaan yang bertunjangkan kolaborasi, Prada F/W 2021 – gabungan falsafah, konsep malah perspektif yang ‘digaul’ dalam satu gagasan.
Umpama kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari, tidak ada bantahan keras yang disuarakan di antara kedua-dua belah pihak Prada dan Simons. Simons tidak jemu dengan tenaga serta gaya rekaannya dan Prada pula tidak melunturkan terus estetika Simons tersebut di atas pentasnya. Misalnya, gaya atau styling lengan baju disingsing ke siku sehingga menampakkan corak lengan ceraian dalam serta siluet lapang dan rekaan ultra-relaks pada pemakaian lelaki – aspek-aspek yang pernah ditonjolkan oleh Simons sebelum-sebelum ini ‘dibangunkan’ semula oleh Prada.
Bancuhan idea itu juga ‘menang’ di pihak Prada. Dalam himpunan Prada ‘X’ Raf Simons musim luruh dingin 2021 ini, Prada menyelang sekali konsep rekaannya yang terdahulu . Seperti contoh, gaya pakaian dalam yakni long johns atau seluar dalam panjang lelaki yang menyerupai gaya rekaan set kardigan serta seluar ketat musim bunga panas 2008-nya, dihidupkan kembali.
Apakah rekaan Prada nampak bati benar dengan rekaan Simons? Ya. Mereka sebenarnya sealiran senada. Bolehkah kolaborasi mereka berdua menjadi satu himpunan fesyen yang cohesive? Tidak mustahil. Kerana barangkali ia mampu melumpukkan sekali pencinta fesyen Simons dengan pelanggan setia Prada dan meraih pelanggan baharu yang suka pada gabungan idea Prada ‘X’ Simons.
Menerusi kolaborasi ini, Prada dan Simons menyesuaikan pendapat sesama sendiri, mencapai persetujuan untuk mengaitkan himpunan musim luruh dingin 2021 dengan keakraban. Atau wujud perihal intim. Keintiman itu dirangkaikan dengan jasmani manusia. Dalam nota pertunjukannya, “The human body, and its freedom.”
Prada dan Simons tidak hanya mahu perihal intim itu berselindung di sebalik rekaan pakaian mereka. Sebaliknya cerita keintiman itu biarlah ‘berjela-jela’, bertunas ke set atau ruang pertunjukannya sekali. Mereka merencanakan perjalanan cerita keintiman itu menerusi kepelbagaian serta keberpecahan tekstur dan tekstil pada permukaan ruang pertunjukan yang dilintasi model-modelnya. Objektifnya adalah mahu membangkitkan kepuasan atau mengecap keseronokan yang mendorong kepada sesuatu rasa “yang nyata, dapat dilihat dan dapat disentuh.” Umpama berbalik ke asas pendidikan seni visual yang berkaitan dengan seni jalinan : jalinan tampak dan jalinan sentuh.
Dirancang serta direka oleh arkitek Rem Koolhaas bersama-sama AMO, taburan idea tampak dan sentuh pada set atau ruang presentasi digital Prada F/W 2021 – for some reason, ruang pertunjukan ini mengingatkan kami pada babak red room dalam siri Twin Peaks – dijelaskan secara terang-terangan. Mereka membina panel set atau ruang tersebut dengan menggunakan bahan-bahan seperti marmar, resin, plaster dan faux fur. Kata Prada, set atau ruangnya yang memperlihatkan keberpecahan gaya di setiap ceruk itu seperti pembangkit yang mengajak, malah menggoda audiens.
Menyentuh tentang ruang di setiap ceruk itu, menurut Prada lagi, set atau ruangnya itu berkonsepkan ‘non-spaces’. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘non-spaces’?
Jika berdasarkan pemahaman atau pemerhatian rapi kami ; dalam konteks Prada ; ia bermain dengan ruang rencaman yang dibina dengan bahan-bahan konvensional. Jadi, barangkali penggunaan bahan-bahan konvensional (marmar, resin, plaster dan faux fur) pada ruang-ruang pertunjukan Prada tersebut mencabar kenormalan – contohnya faux fur di atas lantai serta dinging dan marmar pada dinding. Sehingga menyesatkan fikiran kita, “Adakah ini ruang dalaman atau bahagian luaran?” Disguise itself to become something else, hence the ‘non-spaces’. Kerana kita sebagai orang biasa, lebih mudah faham tentang sesuatu ruang itu dan boleh membezakan sama ada ia ruang dalaman atau ruang luaran. Tetapi apa yang Prada dan Rem Koolhas cuba buat adalah untuk mengacau pemahaman lazim itu. Mengenali Koolhaas, yang diundang oleh Prada untuk mereka set atau ruang pertunjukan, dia pula sememangnya sinonim dengan julukan ‘provokatif’ dan speculative. Seorang arkitek yang kiranya (atau mungkin) tergolong dalam kelompok pejuang pascamoden, Koolhaas suka menongkah angin, push the boundaries dan tidak gemar pada gaya-gaya senibina normal.
Mengamati dua aspek ini, – rekaan pakaian Prada ‘X’ Simons dan makna ruang pertunjukan yang direka bersandarkan daya intelek Koolhaas – ia membuka jendela minda kita untuk lebih mengerti makna perihal intim itu : tentang pandangan kita terhadap perpaduan idea rekaan Prada dengan Simons, makna ‘freedom’ dalam konteks keintiman dan teka-teki ruang pertunjukan speculative yang sarat dengan mesej tampak dan sentuh. Sebenarnya kesemua itu menerbitkan bermacam-macam interpretasi dan ekspresi. Terserah kepada diri kita bagaimana mahu menterjemahkannya. Yang terkadang kita sendiri tidak bisa pun mencongak rasa itu. ‘Perasaan’ kita itulah yang (barangkali) cuba dicorakkan oleh Prada menerusi tema musim luruh dingin kali ini, yakni ‘Possible Feelings’.
Apa pandangan anda?